Kalau sebut nama pelakon ini, mungkin tidak ramai yang kenal. Almaklumlah, masih baharu dalam gelanggang seni. Adalah ternampak kelibat wajahnya dalam beberapa drama. Taklah popular mana.
Tetapi namanya pernah sekali menjadi bualan ramai kerana wajahnya salin tak tumpah seperti seorang pelakon popular. Cuma, cerita itu berakhir di situ sahaja. Sampai bila kita nak guna cerita sama kan?
Baru-baru ini, ada yang menyampai cerita kononnya si polan itu asyik berkepit dengan seorang pelakon lama. Malah, mereka dikatakan kelihatan cukup mesra sekali ketika menghadiri sebuah majlis baru-baru ini.
Kalau hendak kata si pelakon lama tadi mahu mencuba nasib mengurat, belum pernah dengar pula cerita sedemikian. Cuma, dakwa teman Poklip, pelakon baharu ini nampak sangat mahu ‘mengendeng’ si jejaka tadi.
Untuk apa, Poklip tak pasti. Adakah sekadar mahu mencipta kontroversi semata, entahlah. Tak berani pula hendak menuduh sedemikian kan. Tetapi pelik juga kenapa dia beriya-iya mahu rapat dengan pelakon lama itu.
Takkan hadap populariti sampai begitu sekali? Kalau itu niatnya, janganlah memperjudikan nama orang lain demi kepentingan peribadi. Lagipun pelakon lelaki itu bahagia menjalani kehidupan berumah tangga.
Tak perlu mencipta kontroversi hanya demi populariti. Lain yang dirancang, lain jadinya nanti. Jabatan Netizan negara pun menungga masa sahaja. Seriau!