‘Setiap hari saya berhijrah sedikit demi sedikit’ - Cik Manggis buka cerita proses penghijrahan awal - Utusan Malaysia

‘Setiap hari saya berhijrah sedikit demi sedikit’ – Cik Manggis buka cerita proses penghijrahan awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anggota kumpulan De Fam, Cik Manggis, 31, mendedahkan dia telah melalui proses penghijrahan lebih awal sebelum membuat keputusan untuk berhijab sekitar Februari tahun lalu.

Empunya nama sebenar Nurshazwani Samsuddin ini menceritakan proses penghijrahannya itu ketika tampil dalam rancangan The Amin Idris Show yang dikelolakan pakar motivasi terkenal, Amin Idris.

Katanya, sejak dahulu dia sudah merancang dan memulakan perubahan dalam dirinya untuk menjadi insan yang lebih baik.

“Dari awal lagi saya cuba untuk menjadi seorang yang lebih baik, tidak semestinya dengan bertudung.

“Setiap hari saya berhijrah sedikit demi sedikit. Daripada seorang yang kurang sabar kepada yang lebih penyabar.

“Sampaikan satu masa tiba-tiba saya rasa nak bertudung, jadi saya pakai sahajalah,” katanya.

Bercerita lanjut, Cik Manggis mengakui ramai yang tidak menyedari perubahan awal dalam dirinya sehinggalah dia mengambil keputusan untuk berhijab.

“Mungkin penghijrahan lain orang tidak nampak. Oleh kerana berhijab ini sesuatu yang ketara barulah orang melihat penghijrahan saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini memberitahu niat berhijab itu sudah dipasang sejak awal namun terpaksa ditangguhkan atas sebab tertentu.

“Sebenarnya ada satu masa itu saya sudah merancang untuk berhijab. Tetapi terpaksa dilupakan kerana terikat dengan kontrak yang sudah dipersetujui dengan sebuah jenama. Saya rasa tidak adil untuk mereka.

“Sebaik tamat tempoh (kontrak) saya tidak banyak bercakap. Kebetulan ketika itu saya dalam proses menyiapkan sebuah kandungan (media sosial) yang dijadualkan untuk dikeluarkan pada bulan seterusnya.

“Saya berkata, macam mana kalau tidak pakai (tudung) sekarang. Jadi ketika itu juga saya terus bertudung,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN