BARU mengumumkan perancangan nikah beberapa minggu lalu, nama Haqiem Rusli kembali menjadi bualan ramai. Sama ada itu hanyalah satu gurauan, kita tidak tahu. Sehingga hari ini tiada jawapan konkrit daripada penyanyi itu.
Namun yang riuh berkicau di media sosial adalah peminatnya. Ada yang berkompang menyambut pengumuman itu. Tetapi ada juga yang entah dari mana datangnya, seperti menidakkan dan mendakwa tu hanyalah propaganda penyanyi muda itu.
Enggan terus diasak dengan persoalan, Jawablah! mendapatkan Haqiem. Sukar untuk dia membuka mulut pada mulanya. Dia tidak mahu bercerita apa-apa. Acap kali juga dia meminta maaf. Namun, setenangnya dia menjawab apa yang boleh.
Sebelum kita ke soalan panas, kita nak tahu juga kehidupan Haqiem kini bagaimana? Kita sedia maklum, ramai yang terkesan dek Covid-19. Dari segi kerjaya? Kehidupan harian?
Oh, simpan dulu ya yang panas-panas. (ketawa) Kalau cerita bab kerjaya, saya masih seperti biasa. Alhamdulillah, tiga buah lagu yang dilancarkan tahun ini semuanya mendapat sambutan. Saya pun mahu jaga juga susunan kerjaya.
Saya lebih suka untuk menjaga eksklusiviti. Kalau boleh dalam setahun, cuma tiga lagu maksimum. Kita pun kena ikut peredaran masa. Tak boleh harap satu single sahaja setahun. Kena ada variasi dan berani ambil risiko.
Sekarang ramai yang memuji kematangan dan pembawaan sosial Haqiem. Adakah pengalaman berhadapan dengan pelbagai kontroversi dahulu menjadikan Haqiem lebih dewasa dan berbeza dari sebelumnya?
Semestinya. Saya banyak belajar daripada pengalaman. Bagaimana saya membawa diri di atas pentas, apabila bertemu orang. Itu semua mendewasakan Haqiem Rusli. Memang kita tidak boleh lari daripada kontroversi dan kecaman, tetapi itu semua satu proses pembelajaran.
Dahulu asal dengar nama Haqiem pasti ada yang mencebik tidak suka. Kurang berminat dengan suara dan vokal Haqiem. Tetapi sekarang berbeza, sudah ramai yang mengakui kemampuan Haqiem, baik dari segi nyanyian dan karya.
Alhamdulillah. Saya belajar untuk memperbaiki diri. Sentiasa berlatih vokal dan buat kajian tentang suara saya. Bila saya mula jadi artis dulu, memang suara tak terus sedap. Ambil masa untuk tambah kualiti persembahan.
Saya tak mahu serabut fikir. Apa sahaja orang kecam atau kritik, saya ambil positif. Niat saya cuma mahu menghiburkan dan mencari rezeki dalam industri seni.
Okey, Haqiem baru-baru ini membuat kejutan dengan mengumumkan bakal bernikah hujung tahun ini. Rata-rata memang terkejut sehingga ada yang cakap, itu hanya propa! Komen?
Minta maaf sangat. Memang ramai yang cuba menghubungi saya untuk bertanyakan tentang isu itu, tetapi saya tidak jawab. Bagi saya itu terlalu peribadi dan privasi. Saya mohon sangat kerjasama abang untuk faham situasi saya.
Kalau boleh, saya tidak mahu bercakap tentang isu itu buat masa sekarang. Tunggu reda dan sudah bersedia, saya akan buka mulut. Maaf ya abang.
Haqiem tak takut kehilangan peminat? Atau daripada minat boleh tukar jadi obsesi. Kita lihat sahaja apa yang berlaku kepada artis Korea. Bercinta pun kena pilih dengan siapa. Peminat tak restu katanya.
Saya sudah ’melatih’ mereka untuk jadi peminat yang tahu menghormati privasi dan hal peribadi. Dalam kelab peminat saya, Qiemilio ada budak-budak dan orang dewasa pun. Jadi mereka sama-sama menyokong saya seikhlas hati.
Kami saling menghormati sesama sendiri dan paling penting, tidak masuk campur hal privasi serta peribadi. Itu sudah cukup menyenangkan hati saya. Terima kasih Qiemilio.










