Jemson: Takkan berhenti, takkan mati - Utusan Malaysia

Jemson: Takkan berhenti, takkan mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORANG selalu cari mesej tersirat dalam lagu. Lirik dikupas lapis demi lapis, bunyi dipecah trek demi trek. Apa kata kali ini, kita cuba cari makna di luar lagu?

Apabila Jemson tampil dengan Balada Cinta Kosmos, tidak ramai yang beri perhatian kepada kolaborasi dalam EP tersebut. Maklumlah, hanya empat dari lima lagu dalam EP tersebut yang menampilkan kolaborasi.

Namun apabila Jemson tampil dengan album 12 lagu (termasuk lima lagu dari Balada Cinta Kosmos), ramai perasan kegilaan Jemson yang berkolaborasi dengan 11 artis berbeza untuk 10 lagu dalam album itu.

“Mahu cepat, gerak sendiri. Mahu jauh, gerak bersama,” kata Jemson apabila saya bertanyakan tentang idea kolaborasi ini.

Kongsi kugiran itu, Jemson sendiri bermula atas semangat kolaborasi apabila Najmi dari Incarnation dan Myo dari Oh Chentaku memutuskan untuk bekerjasama menghasilkan Rock N’ Roll Sampai Mati.

“Kami anggap itu suatu dakwah berterusan oleh Jemson untuk menggalakkan semua penggerak seni bersatu menjadi sebuah komuniti yang lebih gagah untuk berdagang muzik tempatan ke aras antara benua,” jelas Jemson.

Membaca sahaja jawapan ini, dapatlah saya sahkan bahawa memang Jemson hasilkan album ini, jikapun tidak sepenuhnya, dengan agenda. Ia sebuah seruan. Ada sesuatu yang Jemson mahu tunjukkan kepada semua penggiat seni tempatan.

Kedua-dua Najmi dan Myo juga bukan baru setahun dua dalam industri. Mereka tahu selok-belok dan segala jerangkap samar dalam industri yang zalim ini. Maka berkolaborasilah. Bersatulah membentuk komuniti muzik dan lawan segala kezaliman yang ada. Lebih-lebih lagi untuk lapangan muzik independen tempatan yang kecil, tiada pilihan selain berkolaborasi untuk tampil lebih gagah dan berdaya tahan.

Itu makna tersirat luar lagu yang saya jumpa pada album Jemson ini. Pemilihan konsep yang secara tersirat mensyarahkan sesuatu. Dan tuan-tuan, album fizikal ini sudah terjual kira-kira 700 unit. Percayalah, ia jumlah yang besar untuk pasaran Malaysia pada 2021.

Jemson sejak mula kehadirannya sudah memberi impak kepada lapangan muzik independen. Rata-rata peminat kenal dengan vokal ikonik Myo tetapi ada sesuatu yang berbeza pada Sakit Hati (walaupun Rock N’ Roll Sampai Mati lagu pertama mereka, Sakit Hati lebih meninggalkan impak).

Mereka sekali lagi mengujakan peminat muzik independen apabila tampil dengan Pape Saje, dengan konsep yang hampir sama dengan Sakit Hati. Muziknya rock tulen dengan perisa moden, liriknya jujur dan tepat. Video muzik kedua-dua lagu itu juga bersinambung.

Kita fikir itulah Jemson. Kugiran rock yang selamba dan ‘kering’, menyampaikan mesej terkini dengan bahasa yang ringkas. Kemudian, muncul Lagu Paling Kecewa Dalam Dunia.

Seperti tajuknya, ia lagu tentang patah hati. Dibuka dengan rakaman suara kisah legenda Samad dan tunang materialistik dalam segmen Brader Love di XFM. Melalui lagu ini, Jemson memberi nyawa baharu kepada rock leleh.

Dan Jemson tidak pernah berhenti memberi kejutan. Lu Power tidak menampilkan Noh Salleh tetapi Noh Phrofile. Mereka bikin lagu dengan Naim Daniel, dan lagu itu sangat pop sehingga saya fikir kalau ada radio yang tolak lagu itu nanti, eksekutif muzik mereka sudah hilang pedoman.

Antara Benua, XPDC, Kau Jiwaku dan Nostalgia melengkapkan Jemson sebagai kugiran yang tiada sempadan. Mereka boleh jadi apa sahaja. Tiada ahli nujum atau buruj bintang yang dapat meneka hala tuju mereka.

Keberanian ialah kuncinya kerana menurut Jemson, kepelbagaian muzik mereka hadir dari proses cuba jaya, eksperimentasi dan kesanggupan untuk keluar dari ruang selesa.

Semua ini menjadikan kita semakin teruja untuk mengikuti perkembangan kugiran ini. Kita sentiasa mahu tahu, apa lagi yang Jemson boleh tawarkan.

Malah, seperti yang dikongsi Jemson, untuk album ini sendiri masih banyak yang mahu dilakukan. Mereka sudah bersedia untuk persembahan secara langsung sebagai pelancaran album ini namun tertangguh kerana pandemik. Cenderamata juga akan dilancar dan lebih banyak video muzik akan dihasilkan.

Ya, pandemik. Ia meragut peluang untuk kita menikmati lebih banyak hadiah dari Jemson. Namun, ia tidak seharusnya membunuh keterujaan untuk kita terus menunggu.
Seperti mantera yang dikongsi Jemson kepada saya: apa pun yang jadi, muzik takkan berhenti dan takkan mati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN