Pelakon yang baik dan hebat ialah apabila seseorang itu mampu membawa pelbagai watak yang diarahkan tanpa gagal untuk menarik penonton melihat sesuatu karya.
Oleh itu, pelakon-pelakon harus sentiasa menguji kebolehan diri dan mengasah bakat yang ada untuk menjadi antara pelakon yang terbaik di dalam industri ini.
Muhammad Nabil Aqil Mohd. Salehuddin atau nama komersialnya Nabil Aqil telah mula menapak dalam industri seni tanah air ini sejak tahun 2017 sebagai seorang pelakon dan model.
Boleh dikatakan pemuda berusia 23 tahun itu sudah banyak pengalaman dalam bidang lakonan. Namun katanya, watak yang sering diberikan sudah terlalu biasa buat dirinya.
“Saya ingin mencuba sesuatu yang baharu berbanding apa yang sering dilakonkan sebelum ini. Saya mahu watak yang mencabar supaya boleh terus memperbaiki diri sehingga boleh menguasai watak itu.
“Saya teringin untuk membawa watak lelaki lembut kerana ia sesuatu yang saya tidak pernah lakukan sebelum ini,” katanya kepada Pancaindera.
Jelasnya, pengalaman di set penggambaran dan bertemu dengan pelbagai jenis orang telah menimbulkan perasaan untuk membawa watak itu.
Katanya, dirinya yakin mampu menguasai watak tersebut kerana dia sering memperhatikan sikap dan telatah jurusolek yang ada di set penggambarannya sehingga terikut-ikut telatah mereka.
Bagi siapa yang belum kenal jejaka ini, Nabil sebenarnya memulakan langkahnya dalam industri dengan menyertai pertandingan Hero Remaja ddan memenangi tempat keempat dalam rancangan realiti itu.
Sejak itu, anak kelahiran Perak itu banyak dipanggil untuk berlakon dalam drama seperti Mr Grey, Celup, Papa Ricky, Degup Cinta, Ryan Aralyn, The Maid, Marry Me Senorita, Hati Yang Dikhianati serta lain-lain lagi.
“Drama yang sedang disiarkan sekarang ialah Hati Yang Dikhianati di Astro Prima. Saya membawa watak Syafiq, seorang yang sering ditindas oleh masyarakat kerana penampilannya yang agak luar biasa.
“Sebenarnya Syafiq ialah seorang pemuda yang baik tetapi oleh kerana penampilannya, dia sering dituduh membuat jahat,” jelasnya mengenai salah satu watak yang dilakonkan.
Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi, Nabil memberitahu, untuk mengukir nama dalam industri ini seseorang perlu bersikap tabah dan kebal terhadap komen-komen yang akan dilemparkan oleh pengarah mahupun penonton.
Nabil berkata, menjadi seorang pelakon yang baik tidak boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Ia memerlukan pengalaman dan usaha untuk memperbaiki diri sama seperti kerja-kerja yang lain.
“Masa saya mula-mula berlakon dulu orang ada kecam cakap saya berlakon macam kayu. Mula-mula memang terasa tetapi lama-lama kena belajar untuk tidak cepat ‘koyak’ dan terus menambah baik kemahiran.
“Sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan juga membantu saya untuk kuatkan diri dan terus berusaha,” ujarnya yang masih solo itu.
Nabil berharap akan menjadi antara pelakon yang dikenali ramai dan hebat seperti bapa saudaranya iaitu Syafiq Kyle, pada masa akan datang.










