Kenapa penganjur ada sikap pilih kasih? - Ayai - Utusan Malaysia

Kenapa penganjur ada sikap pilih kasih? – Ayai

Ayai Ilusi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika menghubungi penyanyi ini, dia sedang asyik menonton filem Labu Labi yang dibintangi Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Sebaik sahaja ingin memulakan sesi temubual, dia sempat menyampuk dan bertanya, adakah saya juga peminat filem-filem Allahyarham. Saya sekadar tertawa dan beritahu semestinya saya peminat filem-filem beliau.

Lantas dia bertanya lagi, jika benar saya seorang peminat filem P.Ramlee, cuba berikan tiga tajuk filem yang dibintangi Allahyarham, di mana dalam filem tersebut beliau memegang watak yang tidak mempunyai nama. Saya terdiam dan lantas berfikir. Agak sukar untuk saya jawab.

Setelah beberapa minit berfikir, saya tidak berjaya memberi jawapan. Dia akhirnya memberitahu satu persatu. Saya tertawa. Memang benar setiap jawapannya. Berdekah saya tertawa. Saya tidak sangka dia mampu mengkaji sejauh itu.

Itulah dia sosok mesra empunya nama sebenar Zaharuddin Kamruddin, 59, atau lebih dikenali dengan nama Ayai. Bersama Khabar Legenda, dia berkongsi kisah silam, zaman kegemilangannya bersama kumpulan Illusi sehinggalah bergelar penyanyi solo hari ini.

“Selepas bergelar juara program realiti, Gegar Vaganza musim pertama, Alhamdullillah, tawaran persembahan yang diterima tidak putus. Cuma masalahnya bila jadi juara itu ada juga penganjur yang berfikir dua tiga kali untuk panggil saya. Takut kalau saya letakkan harga tinggi.

“Sebenarnya saya tak pernah pun tetapkan harga untuk setiap persembahan. Biasanya saya tanya penganjur terlebih dahulu berapa bajet yang mereka ada. Saya bukan seorang yang demand. Saya tahu bukan semua orang mampu keluarkan bajet yang tinggi, namun biarlah situasi menang-menang. Adil untuk kedua belah pihak,” katanya membuka perbualan.

Menurutnya lagi, atas sebab itulah dia lebih suka mengurus sendiri kerjaya daripada melantik individu lain. Bukan soal tidak percaya, tetapi dia tidak mahu wujudnya sebarang isu berbangkit, terutamanya berkaitan soal wang ringgit.

Tidak menyembunyikan rasa kesal dan terkilan apabila wujudnya segelintir penganjur yang tidak professional, katanya perkara sedemikian bukanlah sesuatu yang baru dalam industri. Malah, dia sudah lali dengan sandiwara sebegini. Ada yang seakan menidakkan kredibilitinya walaupun sudah berjuang lebih 30 tahun sebagai anak seni.

“Saya dah lama dalam industri. Memang tak nafikan orang tengah ini kadang-kadang letak harga yang tidak masuk akal. Dia deal dengan penganjur letak harga tinggi. Penyanyi dapat ciput. Lepas itu tak pasal-pasal orang labelkan harga kita ini mahal. Sampaikan mereka nak panggil show pun takut. Mereka tak tahu yang kaut untung tu adalah orang tengah.

“Penganjur juga kenalah bersikap adil. Saya beri satu contoh mudah. Sebelum ini saya dapat satu tawaran show majlis makan malam. Penganjur kata dia cuma ada bajet RM3,000 sahaja. Saya kata okeylah, saya terima kalau itu bajetnya.

“Tapi di waktu yang sama dia jemput juga seorang penyanyi yang merupakan juara program seperti saya. Tetapi dia tawarkan penyanyi tersebut RM10,000 untuk persembahan di pentas yang sama. Jadi saya rasa itu tidak adil. Kenapa perlu ada pilih kasih di situ?

Dalam era 80-an, penyanyi ini cukup terkenal bersama Illusi. Namun selepas muncul dengan tiga buah album dia bergerak solo dan menerbitkan album pertamanya bertajuk Ayai Illusi. Album yang mendapat sentuhan komposer terkenal, Datuk M.Nasir ini diterbitkan di bawah label EMI pada tahun 1995.

Hilang sebentar dari dunia glamour, Ayai meneruskan kariernya dengan bermain muzik di kelab-kelab malam terkemuka sekitar ibu kota. Namun siapa sangka, perjalanan kariernya terhenti tiba-tiba apabila berlakunya insiden yang tidak diduga dalam hidupnya. Yang membuatkan dia hampir bersara terus dari dunia seni ketika itu.

“Insiden ni berlaku pada tahun 2003. Waktu itu saya perform di Holiday Inn, Miri, Sarawak. Suara saya ‘koyak’ sehingga tidak boleh bercakap. Suara langsung tak keluar. Kalau nak bercakap terpaksa kena teran. Jika cakap seperti biasa hanya angin yang keluar.

“Waktu itu memang rasa down sebab langsung tak boleh menyanyi. Puncanya adalah kerana saya langsung tak jaga kesihatan. Bayangkan show tiap-tiap malam, lagu-lagu pula semuanya key tinggi, tidur dan rehat tak pernah cukup. Saya pula ketika itu addicted dengan Panadol. Boleh katakan setiap malam kalau rasa tak sihat saya akan telan Panadol.

“Berat badan saya naik mendadak sehingga 72 kilogram. Sebelum itu saya pakai seluar size 28, tetapi dalam waktu yang singkat terus size 31. Saya pelik kenapa jadi begitu. Selepas saya dapatkan rawatan doktor barulah saya tahu rupa-rupanya ubat yang saya ambil selama ini adalah steroid.

Bangkit selepas tewas

Dia terpaksa melupakan seketika bidang seni dan pulang semula ke Kuala Lumpur. Berbekalkan kemahiran yang ada pada dirinya ketika itu, dia akhirnya berjaya mengilap kerjaya di sektor pembinaan sebagai safety and traffic officer di salah sebuah syarikat terkenal di ibu kota.

Kerjaya tersebut merubah sisi hidupnya. Namun rindu terhadap bidang seni masih terbuku di hati. Diberi peluang menggantikan penyanyi Jatt, untuk beraksi di pentas sebuah kelab di sebuah hotel terkemuka ibu kota, ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Tidak menolak, dia lantas meluahkan apa yang terpendam.

Ibarat langkah kanan apabila dia ditawarkan menyertai Pertandingan Lagu Puisi Anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka pada tahun 2003. Lagu yang diangkat dari puisi Usman Awang sekali lagi melonjakkan namanya apabila dinobatkan sebagai pemenang, menewaskan penyanyi-penyanyi terkenal lain seperti Rahim Maarof, Ezad Lazim, Saleem, Roy dan beberapa nama besar yang lain.

Ketika kisah ini ditulis, Ayai diberi kepercayaan oleh pengusaha pusat peranginan Savana Hill Resort di Ulu Tiram, Johor apabila dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah untuk memajukan Kelab Kopi Lama yang baru seminggu beroperasi. Premis ini menyediakan pelbagai hidangan dan minuman istimewa untuk pelanggan. Namun dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, mereka hanya menyediakan perkhidmatan penghantaran sahaja.

“Insya-Allah, sebenarnya banyak yang sudah saya rancang untuk memajukan tempat ini. Selain boleh menikmati hidangan, pelanggan juga boleh buat tempahan untuk pelbagai acara seperti sambutan majlis hari jadi, jamuan dan sebagainya.

“Selain itu saya juga ada merancang untuk adakan persembahan karaoke dan live band. Tapi kena tunggu pandemik ni selesai,” katanya mengakhiri perbualan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN