NAMA jurumekap ini memang sohor. Siapa sahaja tidak kenal Datuk Alha Alfa? Orangnya cukup bersahaja dan senang untuk dibawa berbual. Malah ketika saya menghubunginya untuk bertanyakan soalan panas, dia hanya tergelak.
Tiada riak jelik atau marah, dia hanya menjawab satu persatu dengan seadilnya. Dia sedar, status selebriti memungkinkan dia untuk berhadapan dengan kontroversi dan spekulasi yang entah dari mana datangnya.
Bergelar Datuk di usia muda, dia tidak terkecuali daripada rasa cemburu dan dengki manusia. Apatah lagi dalam dunia seni yang semua sedia maklum berbagai jenis sifat, Pengasas Alha Alfa Cosmetic ini reda.
Jawablah! minggu ini mendapatkan jawapan konkrit daripada Alha. Benarkah dia sering menjadi mangsa dengki manusia? Adakah kejayaannya membuatkan ramai yang panas hati? Ini jawapan Alha Alfa.
Selama 11 tahun dalam industri kecantikan, pasti banyak yang Alha sudah hadap. Cemuhan dan fitnah itu semua, bagaimana Alha membina semangat?
Kalau hendak cakap pasal fitnah itu semua, memang dari dulu ada sahaja yang dengki. Sejak mula berkecimpung dalam industri kosmetik ini, macam-macam saya hadap. Perangai manusia ini bermacam-macam jenis.
Cuma saya ambil pendekatan teruskan sahaja apa yang sedang diperjuangkan. Saya cuma mahu cari rezeki halal dan bantu keluarga. Itu sahaja. Jadi bila ada yang dengki itu semua, saya pejamkan mata sahaja.
Memang wujud ya manusia yang dengki dan tidak berpuas hati dengan kesenangan manusia ini Alha?
Mana-mana pun ada, tidak kira apa sahaja industri. Mungkin mereka tidak cemburu atau dengki sangat, tapi bila ada yang cuba bawa konsep berbeza, ada yang panas punggung tak senang duduk.
Alha sebagai antara jurusolek yang berjaya mengubah persepsi negatif segelintir masyarakat terhadap profesion itu, apa komen Alha?
Ya, dulu ramai cakap jadi jurusolek ini tiada masa depan. Hidup merana lah, apalah. Tetapi sekarang kita dapat lihat, profesion ini membantu ramai pihak. Jurusolek bukan setakat tonyoh muka orang sahaja.
Bangga melihat ramai pelajar saya sekarang sudah menjadi jurusolek yang ada jenama sendiri. Popular pula itu. Jadi saya cukup seronok melihat bagaimana profesion sebagai jurusolek ini berkembang.
Sebelum ini Alha pernah mencetuskan kontroversi apabila masjid yang dibina bertahan hanya enam bulan. Selepas setahun, adakah Alha sudah bertemu pengganti?
Buat masa ini, saya fokus kepada perniagaan dan membina jenama. Ada yang cuba mengenali dan emak saya pun ada cuba kenalkan dengan anak-anak kawan dia, biasalah itu tapi saya belum bersedia.
Melihatkan kesibukan saya sekarang, lebih baik fokus diri sendiri. Saya tak mahu perkara sama berulang dan menyusahkan sesiapa. Semua lelaki mahu berkahwin, ada anak-anak tetapi mungkin bukan sekarang.
Belum bersedia atau Alha trauma?
Tak adalah sampai trauma. Kami berpisah secara baik. Mungkin sampai di situ sahaja jodoh kami. Keputusan itu demi kebaikan kedua-dua pihak.











