Dolla dedah kisah sendiri dalam telefilem - Utusan Malaysia

Dolla dedah kisah sendiri dalam telefilem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Selepas mencipta nama dalam dunia nyanyian, artis wanita berkumpulan popular, Dolla, kini melangkah pula ke dunia lakonan menerusi penglibatan mereka dalam sebuah telefilem berjudul Dolla Watch Me Glow.

Telefilem terbitan Zeel Production dan mendapat kerjasama Astro dan Universal Music itu diinspirasikan daripada kisah benar anggota kumpulan tersebut, Tabby, Syasya, sabronzo dan Angle.

Menurut Sabronzo, dia tidak menyangka pihak Astro menunjukkan minat untuk mengangkat kisah hidup mereka menjadi sebuah telefilem dan ia tentunya dilihat sebagai satu peluang yang besar buat mereka.

“Apabila pihak Universal Music memaklumkan mengenai tawaran tersebut, kami sangat terkejut. Bukan apa, jika hendak dibandingkan dengan kumpulan atau penyanyi lain, kami masih lagi terlalu hijau dan kerdil.

“Lagipun kami masih belum mempunyai sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan. Jadi, kami merasakan Dolla belum layak untuk menerima pengiktirafan sejauh itu, bagaimanapun kami tetap berbangga sekurang-kurangnya ada pihak yang mengiktiraf bakat kami,” katanya.

Menurut Sabronzo lagi, kisah di dalam telefilem tersebut hampir 70 peratus tepat dengan kisah hidup anggota kumpulan itu selain mengaku tidak kisah mendedahkan perjalanan hidup Dolla dengan peminat.

“Hampir kesemuanya yang dipaparkan dalam telefilem itu ada kena-mengena dengan kami. Cuma 30 peratus yang ditokok tambah bagi mewarnai telefilem itu dan menjadikan jalan cerita drama itu menjadi lebih menarik.

“Dolla juga sudah bersedia dikritik oleh penonton. Kami tidak kisah sekiranya ada yang mengatakan kami ‘kayu’ selepas menonton aksi pertama kami dalam bidang lakonan.

“Kami dikenali sebagai penyanyi dan penari, bidang lakonan bukan kepakaran kami, jadi adatlah jika penonton merasakan mutu lakonan kami belum memuaskan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kreatif dan Penulis Skrip, Marr Mohamad memuji kemampuan anggota kumpulan itu dalam aspek lakonan biarpun kesemuanya pertama kali beraksi di hadapan kamera.

Menurut Marr, idea untuk menerbitkan drama itu datang daripada pihak Astro yang kagum dengan penerimaan peminat terhadap Dolla sehingga mereka muncul trending di serata dunia.

Kata Marr, bagi mengorek kisah hidup empat gadis berkenaan, dia meluangkan masa antara empat hingga ke lima jam semata-mata untuk menemu bual mereka.

“Dolla mencetuskan fenomena apabila mereka dikatakan meniru kumpulan dari Korea Selatan, Black Pink. Tapi setelah bertentang mata dan berbual pelbagai perkara dengan empat anggota Dolla, saya lebih tertarik untuk mengangkat kisah sebenar mereka.

“Ada pelbagai kisah menarik yang mungkin peminat tidak tahu mengenai Dolla sebelum ini. Antaranya bagaimana kumpulan itu mendapat tentangan keluarga kerana ingin bergelar penyanyi, kerana ada antara mereka yang datang daripada keluarga yang alim.

“Malah, kami paparkan juga bagaimana anggota Dolla berdepan dengan kecaman peminat hingga ada yang terpaksa berjumpa dengan kaunselor kerana tertekan dengan buli siber,” katanya.

Telefilem Dolla Watch Me Glow arahan Izuan Mokhtar ini akan menemui penonton dan peminat 22 Mei ini pada pukul 9 malam menerusi saluran Astro Citra dan Astro Citra HD.

Selain Dolla, telefilem itu turut dibarisi Fauziah Nawi, Angeline Tan, Aniq Suhair, Catriona Ross, Aida Aris, Douglas Lim dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.