MENDEDIKASI figura berusia 37 tahun ini dalam catatan Khabar Legenda mungkin menimbulkan persoalan. Pasti ada yang bertanya selama mana dia bertapak atau sejauh mana perjalanan seninya diukur penulis.
Tidak ramai mengetahui, anak pasangan Habibah Jaafar dan Ngasri Sain ini sudah mendahului mereka yang sezaman dengannya. Manakan tidak, sejak berusia tiga tahun lagi dia sudah menakluk bidang seni bermula sebagai pelakon iklan sehinggalah ke drama di televisyen.
Bersama Mingguan Malaysia, pemilik nama Nasreen Ngasri, 37, atau lebih mesra dengan panggilan Darling, berkongsi cerita tentang kerjaya dan cabaran terkininya sejak bergelar penerbit muda yang saban hari semakin menyerlah.
“Memang kebiasaannya setiap kali Ramadan saya akan berehat dari kerja di set penggambaran. Namun waktu terluang itu saya isi dengan tugas lain seperti memeriksa dan memilih skrip untuk pelakon serta lakukan perbincangan bersama team produksi sebelum ke set penggambaran selepas Aidilfitri nanti.
“Insya-Allah, seminggu selepas hari raya nanti kami akan kembali menyambung tugas dan selesaikan kerja-kerja penggambaran yang tertangguh,” katanya membuka bicara.
Tidak menafikan bergelar penerbit merupakan idaman buat setiap anak seni, namun tugas penting ketika berada di kerusi itu bukanlah mudah untuk dilaksanakan.
Selain komitmen tinggi, dia juga berdepan pelbagai cabaran terutamanya dalam memastikan hasil kerja yang diperoleh berkualiti serta menepati apa yang diinginkan peminat.

“Setiap kerja ada cabarannya. Ketika aktif berlakon dahulu saya sekadar baca skrip, pergi ke set dan buat apa diminta pengarah. Saya tak perlu ambil tahu perkara lain. Tetapi bila jadi penerbit barulah tahu betapa sukarnya untuk menjana kualiti itu. Selain perlu puaskan hati penonton, kena juga puaskan hati pihak stesen TV.
“Saya bukan jenis yang suka ‘kacau’ penggambaran di lokasi. Singgah pun hanya sesekali. Saya beri kepercayaan penuh kepada pengarah. Saya lebih banyak habiskan masa ketika buat suntingan. Sebab itu, bila dapat artis yang bagus bekerja dengan kita, kerja akan jadi lebih mudah,” katanya.
Pemilik syarikat produksi NS Star Sdn. Bhd. ini akui berasa lebih selesa berada di belakang tabir. Tidak berhasrat untuk bersara dari bidang lakonan, namun ada kalanya dia gundah jika tidak mampu memikul tanggungjawab dan memberi hasil terbaik seperti dahulu.
Setelah berkeluarga kekangan masa merupakan masalah utama. Aktif berlakon pada awal perkahwinan, anak jati Kuala Lumpur ini akui pernah melanggar janji pada suami apabila hujung minggunya diisi dengan tugas di set penggambaran.
“Dah lama tak berlakon memang kekok. Pernah satu ketika saya kembali ke lokasi berlakon, tapi rasa janggal. Waktu shooting mata asyik pandang arah kamera. Terasa hilang segala skill yang ada.
“Sekarang ini saya banyak tawaran buat VC (voice over) untuk iklan-iklan radio dan TV. Selain lebih mudah, saya juga ada banyak masa bersama keluarga.
“Memang pada awal perkahwinan saya sudah janji dengan suami, Sabtu dan Ahad adalah hari keluarga dan tak ambil job shooting, tetapi bila dah leka berlakon mula lupa. Habis segala janji saya ‘langgar’. Jadi sekarang kena kembali ke asal,” katanya tertawa.

Ketika abang sulungnya sohor di industri, dia akui turut rasa bangga. Menurutnya, Bell berhak mengecapi populariti kerana hasil kerja kerasnya selama ini. Selain berbakat besar, Bell juga seorang pelakon yang berdedikasi serta serius dalam kerjanya.
“Memang Bell layak menerima pujian sebegitu. Saya pernah berlakon dengannya dan saya tahu perangainya. Skrip itu adalah ‘kitabnya’. Dia memang jaga sangat. Sesiapa pun tak boleh pinjam kerana biasanya dia akan buat nota-nota penting pada setiap helaian skrip kepunyaannya.
“Dia profesional dalam kerja. Walaupun berlakon dalam production saya, tidak pernah dia buat sambil lewa atau ambil kesempatan. Tetap anggap saya majikan dan bukan sebagai adik. Senang bekerja dengannya. Jadi jika ada watak sesuai memang saya akan tawarkan padanya,” katanya.
Lakonan macam resipi masakan
Melalui kaca mata seorang penerbit, Darling akui kemunculan pelakon baharu kala ini merancakkan lagi industri yang semakin berkembang. Tidak pernah menutup malah jauh sekali melupakan pelakon lama, baginya berkongsi rezeki adalah jalan terbaik buat semua anak seni yang bertapak di medium ini.
“Seperti masakan juga. Resipinya kena lengkap dengan pelbagai rencah. Jika serba serbinya cukup, hasilnya pasti enak dinikmati. Begitu juga dengan karya. Adunan pelakon baharu dan lama perlu digarap dengan baik. Barulah seiring dan berkualiti.
“Saya tak nafikan ramai penerbit cari pelakon baharu yang punyai ramai pengikut di media sosial untuk melariskan karya. Itu satu strategi berkesan, tetapi adakalanya tidak mencukupi. Pelakon perlu ada bakat dan disiplin untuk pergi jauh,” katanya.
Walaupun suami bukan lahir daripada keluarga seni, namun dia jujur dalam memberi penilaian pada setiap hasil kerjanya. Setiap kali karya terbitannya muncul di kaca TV, suami akan bertindak sebagai seorang penonton dan pengkritik untuk dia memperbaiki kesilapan.
“Sebelum berumah tangga, suami tak tahu pun saya seorang pelakon. Dia tak ambil ‘port’ langsung tentang industri hiburan. Kalau berbual tentang industri tidak boleh lama. Nanti dia akan masuk ke dunia lain.
“Setiap kali karya saya keluar di TV, saya akan tadah sahaja telinga dengar dia komen. Walaupun dia komen ikhlas sebagai seorang penonton, tetapi kadangkala menyakitkan hati juga,” katanya tertawa.

Selain mengangkat kisah cinta dan masyarakat dalam karyanya, Darling mencipta kelainan apabila mempertaruhkan kehidupan dan kerjaya ahli bomba sebagai percaturan idea beraninya.
“Drama bersiri Hero memang dekat di hati. Saya berterima kasih kepada RTM dan seluruh anggota bomba di Malaysia atas sokongan yang tidak terhingga ketika menjayakan naskhah ini selama dua musim.
“Harapan saya agar drama ini disambung lagi kerana ia memberi banyak pengajaran kepada penonton,” katanya.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan pada hari raya kali ini sedikit sebanyak merencatkan kemeriahan. Dia berharap masyarakat akan membiasakan diri dengan norma baharu demi mengekang penularan pandemik Covid-19 yang semakin meruncing kala ini.
“Walaupun keluarga dan adik beradik semua tinggal di Kuala Lumpur, namun saya turut berkongsi kesedihan kepada mereka yang tidak boleh pulang ke kampung menziarahi keluarga.
“Sama-samalah kita berdoa agar negara pulih daripada wabak ini dan kita dapat menjalani rutin hidup seperti biasa,” katanya mengakhiri perbualan.
Antara telemovie terbitannya yang akan disiarkan termasuklah Fateema Azzahra pada 14 Mei 2021 (TV3) serta Majalah TV Etnik Kita (RTM).
Yang masih dalam penggambaran pula adalah komedi Misi Seramedi (RTM) dan sebuah filem thriller yang dijangka siap hujung tahun ini.










