Aaron serius dalam bisnes pakaian - Utusan Malaysia

Aaron serius dalam bisnes pakaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bintang terkenal, Datuk Aaron Aziz cukup dikenali di persada arena hiburan baik di negara sendiri, Singapura mahupun di Malaysia. Sepanjang pembabitan sebagai pelakon selama dua dekad, Aaron, 45, telah berjaya meraih pelbagai kejayaan. Sekali gus menjadikan Aaron antara pelakon yang kekal relevan sehingga kini.

Seiring kematangan usia dan kerjaya, Aaron pacu ke hadapan dengan melibatkan diri ke dalam bidang bisnes menjual koleksi pakaian street wear di bawah jenamanya sendiri, Hombre 21.

Siapa sangka Aaron juga sudah mampu berdiri sama tinggi dengan kebanyakan ahli perniagaan lain. Buktinya, Aaron turut tersenarai sebagai penerima pada Malaysia Prestigious Industry Awards (MYPIA) yang berlangsung baru-baru ini.

Menurut Aaron, Hombre adalah perkataan yang diambil daripada bahasa Sepanyol yang membawa maksud semangat persaudaraan atau brotherhood.

“Kalau ikutkan koleksi pakaian ini sudah dijual di Singapura. Selepas pemiliknya iaitu Azhar Sulaiman menjadi rakan perniagaan, saya ambil keputusan untuk pasarkan di sini pula.
“Saya mahu jenama Hombre ini menjadi pilihan masyarakat dan terkenal seperti kebanyakan jenama streetwear lain.

“Didatangkan dengan jaminan kualiti terbaik, saya yakin koleksi ini mampu memberi kepuasan kepada sesiapa sahaja yang memakai dan memilikinya. Dari segi harga pula, ia cukup berbaloi dengan rekaan dan kualiti yang ada iaitu RM100 dan ke atas,” katanya.

Menariknya, koleksi itu didatangkan dengan lima rekaan dengan setiap daripadanya menceritakan kisah dan perjalanan hidup Aaron dari dulu sehingga sekarang. Ceritanya, zaman remaja yang dianggap sebagai ‘zaman jahiliah’ sebelum menemui titik cahaya yang akhirnya menyinari hidupnya sehingga kini bersama isteri dan tiga anak tercinta.

“Setiap manusia ada masa silam, ada yang untuk kebaikan dan ada juga sebaliknya.

“Untuk saya, apa boleh dikatakan adalah masa silam yang penuh keperitan atau boleh dikatakan ‘zaman jahiliah’. Malah, saya akui pernah beberapa kali melampaui batas dan akhirnya mendapat balasan.

“Pelbagai cabaran dan dugaan perlu dilalui sebelum saya berjaya keluar daripada kegelapan itu. Namun, itu semua yang mendewasakan dan mematangkan diri.

“Walaupun ada ketika dipandang hina, tapi saya percaya keadaan kita tak selamanya di bawah jika ada rasa ingin berubah.

“Itulah yang saya buat sehingga berada pada tahap sekarang. Betul, nak menjadi baik bukan senang. Tapi, bagi saya paling penting adalah pegangan diri perlu kuat selain saya sentiasa berfikiran positif.

“Jadi, semua koleksi ini sangat istimewa dan mempunyai nilai tersendiri. Saya mahu setiap orang memilikinya dan menjadikan ia koleksi peribadi. Mungkin ada antara mereka juga mempunyai cerita sama seperti saya,” katanya.

Bukan sahaja bersifat street wear, koleksi Hombre 21 ini juga memiliki rekaan Islamik sekali gus menjadikan ia berbeza daripada rekaan jenama lain.

“Macam saya katakan, setiap koleksi mempunyai cerita tersendiri. Malah, dalam rekaan juga ada ciri-ciri khas yang bukan sahaja memberi keselesaan tetapi juga sedap mata memandang.
“Kesemua koleksi Hombre 21 boleh didapati di laman web www.hombre21.store ,” tambahnya.

Mengenai perkembangan kerjaya seni, biarpun ramai bakat muda dan baharu muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan, Aaron meluahkan rasa syukur.

Sebabnya dia masih dihujani tawaran berlakon drama dengan memegang teraju utama dalam drama Imamku Lelaki Pendosa terbitan Global Station Sdn. Bhd. dan bakal ditayangkan di Slot Akasia, TV3.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada penerbit dan stesen TV yang masih memberi kepercayaan kepada saya.

“Drama ini antara karya yang memberi cabaran baharu buat saya dari segi karakter.

“Malah, dapat berlakon dengan pelakon baharu iaitu Sophia AlBarakbah turut memberi pengalaman baharu kepada saya di samping pelakon ternama sedia ada.

“Saya tidak mahu terlalu meletakkan harapan tinggi pada drama ini, tapi apa boleh dikatakan Insya-Allah, karya ini memang lain dari yang lain,” katanya.

Selain Aaron, drama arahan Eyra Rahman itu turut menampilkan Shima Anuar, Fauzi Nawawi, Gambit Saifullah, Aleza Shadan, Maria Farida dan ramai lagi

Dalam masa sama, Aaron juga terbabit dalam penggambaran drama Undercover terbitan Skop Production juga untuk tayangan TV3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN