Jangan sesekali ragui bakatnya. Sejak awal 70-an lagi insan ini sudah berada di pentas menghiburkan peminat bersama kumpulannya, Black Dog Bone (BDB) yang ketika itu bertapak di Singapura. Kehebatannya terus meniti di bibir peminat apatah lagi waktu itu kemunculan kumpulan muzik yang berkebolehan mampu dihitung dengan jari.
Beraksi di pentas kelab malam sebelum ditawarkan sebagai artis rakaman merupakan tradisi di kala itu. BDB juga tidak terkecuali. Nasibnya baik apabila namanya melonjak naik sehingga terkenal di segenap ceruk rantau Asia.
Dengan populariti yang diraih, BDB melebarkan sayap merentas sempadan bumi Singapura ke Malaysia, Brunei, Taiwan dan Belanda.
Bersama Khabar Legenda, pemilik nama sebenar Tahir Ali, 65. atau lebih sohor dengan panggilan Jatt Ali berkongsi pengalaman serta perkembangan terkininya dalam industri hiburan tanah air.
“Selesai Program Realiti TV Gegar Vaganza musim ke-6, memang ada banyak show, tetapi sejak negara dilanda pandemik Covid1-19 pada Mac tahun lepas, semua tawaran terhenti, malah mana yang sudah dirancang pun terpaksa dibatalkan.
“Sebelum ini pernah juga buat show secara dalam talian, tetapi feel itu tak sama macam di pentas. Namun baru-baru ini adalah juga rezeki apabila dapat jemputan untuk rancangan Suara Emas di Klasik Nasional sempena ulang tahun RTM ke -75,” katanya.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Walau berjauhan dengan keluarga dan sahabat handai yang bermastautin di seberang tambak, ikatan silaturahim antara mereka tetap terjalin utuh walaupun sekadar bertentang mata dan melepaskan rindu di alam maya.
Penyanyi lagu Merpati Putih ini nekad tidak mahu merencanakan perjalanan seni ketika ini kerana takut apa yang dirancangkan tidak menjadi kenyataan selagi wabak yang melanda tiada menunjukkan kesudahan. Menurutnya selagi kebenaran merentas, daerah, negeri dan kekangan persembahan masih dilaksanakan mana mungkin untuk merancang sesuatu yang tidak pasti.
“Kena tunggu pandemik ini berkurangan dan kerajaan tentukan mekanisma baru untuk anak seni. Setakat ini saya tidak mahu merancang apa-apa yang tidak pasti. Takut impian tidak jadi kenyataan.
“Waktu pandemik ini saya sekadar membantu rakan-rakan artis yang berada di Johor melakukan kerja-kerja kebajikan (CSR) seperti beri bantuan kepada golongan yang terkesan. Hanya itu sahaja program yang boleh dibuat sekarang,” katanya.
Bercerita tentang perjalanan seni yang penuh liku dan cabaran, Jatt akui tidak mudah untuk menempatkan diri walaupun nama pernah dijulang satu ketika dahulu. Analog dan digital membezakan zaman, itu tidak dicampur lagi dengan idea dan kreativiti yang menjadi pilihan generasi hari ini.
Tiket bergelar artis kala ini juga dilihat cukup mudah berbanding dahulu. Katanya, penghibur dahulu terpaksa menjual bakat secara pakej terutamanya bila ditawarkan menjadi artis rakaman.
Kerana itulah artis hari ini terpaksa menanggung risiko sama ada mampu bertahan lama ataupun sekadar bergelar artis semusim.
“Dahulu nak jadi artis bukannya mudah. Kena cukup latihan. Kalau berlaku kesilapan waktu rakaman, kena ulang semula dari awal sehinggalah selesai. Sekarang banyak buat konsep cut and paste. Sebab itulah ada yang tidak boleh menyanyi secara live depan penonton.
“Artis dahulu sampaikan lagu sepenuh jiwa. Study melodi line, lirik serta maksud lagu tersebut. Kena delivered dan jiwai seratus peratus. Baru lagu itu boleh melekat di hati pendengar,” katanya
Sebagai penghibur berpengalaman, Jatt sentiasa mengalu-alukan kehadiran pendatang baharu dalam mewarnai industri hiburan tanah air. Atas faktor itu juga dia tidak menolak dan bersedia untuk berkolaborasi bersama mereka.
Tuturnya, dia bukan seorang yang cerewet atau terlalu memilih. Keutamaan pastilah konsep yang ingin diterjemahkan dalam karya tersebut. Jelasnya yang penting adalah sikap keterbukaan yang mampu dimenangi kedua belah pihak.
“Memang ada perancangan untuk jalinkan kolaborasi bersama penyanyi MimiFly untuk single duet akan datang. Bagaimanapun bergantung pada keadaan. Tentang konsep saya memang jenis yang terbuka. Sebab bila berduet kita tak boleh ikut kepala sendiri.
“Namun jika ditanya, pastinya saya akan cadangkan konsep grunge dan blues. Bagi saya kombinasi dua elemen tersebut memang dekat dengan jiwa saya. Tetapi apa pun bergantung pada keadaan. Muzik ini kita sendiri yang corak dan warnakan,” katanya.
Nostalgia bersama black Dog Bone
Tidak keterlaluan menzahirkan nama Jatt lebih dikenali ketika bersama kumpulan Black Dog Bone walaupun pernah muncul dengan beberapa buah album solo. Lagu-lagu hits seperti Khayalan, Rileks, Gadis Ayu, Hatiku Luka lagi antara karyanya yang sering diputarkan sehingga kini.
Kumpulan ini dilihat cukup versatil dalam setiap rilisan apabila tampil dengan pelbagai genre muzik seperti pop, blues, ballads, slow rock mahupun irama joget. Bersama BDB dia berjaya menghasilkan tujuh buah album yang kesemuanya berjaya mendapat pengiktirafan peminat.
“Bersama Black Dog Bone adalah memori indah. Walaupun sekarang kami kurang aktif, namun jika ada penganjur yang sudi menaja, pastinya kami akan kembali ke pentas seperti dahulu.
Contohnya seperti yang pernah kami jayakan sebelum ini di Planet Hollywood, Istana Budaya, dan yang terakhir sempena konsert 45 tahun BDB yang bertempat di The Grand Ballroom, Orchid Country Club pada 2015 lalu.
“Walaupun kami ini masing-masing sudah berusia, namun semangat untuk berada di pentas masih utuh seperti dahulu. Bila ada tawaran tu terpaksalah kami berlatih semula. Maklumlah kudrat sekarang ni tidak macam dulu. Semua pun dah otai belaka. Ada yang sudah 6 series dan 7 series,” katanya ketawa.
Ketika ditanya tentang bakat dan keistimewaannya yang mampu menyanyi sambil bermain dram Jatt akui itu bukanlah tugas yang mudah. Selain perlukan stamina yang tinggi, dia juga perlu mengambil kira tempo serta susunan muzik yang dipersembahkan ketika itu agar tidak terkeluar dari landasan.
“Menyanyi sambil bermain dram memang tidak mudah. Setiap anggota tubuh kena mainkan peranan. Kaki, tangan, suara semua kena berfungsi dan bertenaga. Sebab itu selalu amalkan brisewalk, berenang dan sebagainya untuk jaga pernafasan serta stamina dalam persembahan.
“Menyanyi sambil main dram ini pun satu masalah juga sebenarnya kerana kita di belakang. Jadi bila ada anggota lain yang menggantikan saya bermain dram, saya akan pergi ke hadapan melayan penonton. Perlu juga tunjuk muka dengan penonton sebab nanti mereka tak kenal pula muka saya,” katanya ketawa mengakhiri perbualan.










