KETIKA ini namanya menjadi antara yang cukup dekat dengan penonton drama Melayu. Selain menawarkan bakat, ketampanan yang dimilikinya turut menjadi igauan peminat. Namun di sebalik populariti yang diraih, siapa sangka perjalanan sebagai seorang anak seni ini bukanlah semudah disangka.
Mengambil masa beberapa tahun untuk mengukuhkan nama, ternyata apa yang dilalui cukup berbaloi buat Syafiq Kyle. Sentiasa mahu menikmati cabaran dengan cara tersendiri, kongsi pelakon drama Nur ini juga, dia tidak bersetuju sekiranya ada yang melihat pendatang baharu yang muncul melalui populariti laman sosial adalah perosak buat industri lakonan di negara ini.
“Setiap daripada kita mempunyai perjalanan sendiri, macam saya mengambil masa beberapa tahun untuk berada pada kedudukan ini. Namun bukanlah bermaksud saya perlu bangga dengan apa yang dimiliki cumanya proses pembelajaran itu akan berterusan.
“Soal kehadiran ramai pendatang baharu yang lahir daripada laman sosial bagi saya ia adalah perbezaan yang perlu diraikan. Tidak semua yang muncul sebagai selebriti laman sosial ini tidak mempunyai bakat. Buktinya ramai sahaja yang berjaya.
“Cuma pada pandangan saya beri mereka ruang dan peluang untuk menyerlah. Sebab semua perkara juga memerlukan masa untuk tampil lebih bersedia. Jadi apa yang mematangkan kita adalah pengalaman. Kalau tidak bermula bagaimana mahu mendapatkan pengalaman,”jelasnya kepada Pancaindera.
Timbul isu pelakon kayu, jelas pelakon kacak ini dia tidak pernah membezakan pelakon baharu atau lama. Sebagai seorang yang turut berada dalam bidang yang sama untuk mencari rezeki, jelas Syafiq ,dia lebih senang menghulurkan bantuan daripada sekadar menjadi pengkritik.

“Saya pernah berada pada kedudukan yang sama, sebagai orang baharu kita tahu bukan semuanya mudah. Jadi untuk melabel mana-mana pelakon baharu sebagai kayu bagi saya agak keterlaluan. Mereka ini memerlukan ilmu dan masa untuk menjadi lebih baik.
“Mempunyai pengalaman dan ruang, saya tidak ada masalah sekiranya untuk membantu. Dunia seni kita ini kecil sahaja, jadi daripada menyerang antara satu sama lain mengapa tidak kita membantu agar lebih ramai pelakon berbakat sekali gus dapat memeriahkan industri lakonan kita,” katanya positif.
Tidak terlalu taksub dengan populariti, jelas Syafiq atau nama sebenarnya Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, ketika ini apa yang penting adalah penghargaan peminat melalui lakonannya. Jelasnya, berada dalam dunia seni, tidak akan membawa makna apa-apa jika seseorang itu gagal mengetengahkan bakat.
“Bagi saya populariti itu sekadar bonus. Sebab apa yang akan membuatkan seorang pelakon itu kekal relevan untuk tempoh yang panjang adalah bakat. Apa-apa juga orang akan kembali persoalkan bakat. Cuma bukan semua orang masuk saja industri terus hebat berlakon, jika perlu ambil masa tidak mengapa asalkan tidak pernah berhenti berusaha.
Laman Sosial
Mengakui keperluan laman sosial untuk kerjaya lakonannya, ketika ini ada batas yang perlu dipatuhi. Bukan tidak mahu terlalu aktif berkongsi kisah peribadi, namun kata jejaka berusia 29 tahun ini, dia perlu lebih berhati-hati.
“Semuanya boleh bermula melalui laman sosial. Jadi sebagai pemilik akaun kita perlu mengatur setiap perkongsian. Zaman sekarang sedikit kesilapan mampu membawa kemudaratan besar.
“Bukanlah saya tidak aktif, namun dalam memastikan setiap perkongsian sesuai dengan peminat yang datang daripada pelbagai latar belakang, saya perlu memikirkan setiap sudut kelebihan setiap perkongsian kepada mereka,”ujarnya padat.
Tidak meletakkan kesalahan buat pihak yang menggunakan laman sosial untuk mengukur populariti setiap artis, ternyata kala ini pilihan untuk berada dalam mana-mana produk juga bergantung kepada jumlah pengikut. Melihat ini sebagai antara cabaran baharu, bagi pelakon filem Pusaka ini, dengan kekuatan yang dimiliki pengguna laman sosial dia juga harus akur.
“Mungkin memang itu yang sedang berlaku kini, untuk tahu sama ada seseorang itu relevan atau popular boleh dinilai melalui laman sosial. Macam resume, untuk selebriti. Saya tidak melihat ada salah pun. Kita sendiri tahu bagaimana laman sosial ini bergerak, sesiapa sahaja mempunyai peluang untuk terkenal,” katanya.

Kahwin
Pada usianya kini soalan perkahwinan mungkin bukan sesuatu yang asing. Sentiasa yakin dengan ketentuan jodoh, kala ini dia sendiri sentiasa mengharapkan yang terbaik. Diusik mengenai kisah cintanya dengan pelakon Mimi Lana, ini jawapan Syafiq.
“Kami masih berkawan secara profesional, berada dalam bidang yang sama memerlukan saya dan dia sentiasa bersedia untuk bekerjasama. Jadi tiada masalah jika ada yang kata saya kembali mesra. Sebab jawapannya kami akan sentiasa menjadi kawan.
“Mengenali Mimi dia juga ialah seorang yang mudah berbincang jadi usia pengenalan kami juga sedikit sebanyak membuatkan kami selesa. Cuma soalan sama ada cinta antara kami, buat masa ini saya lebih senang untuk tidak terlalu terbuka.
“Cuma bila ada yang mendoakan jodoh saya dengan Mimi, saya sangat hargainya. Bagi saya setiap doa itu adalah sesuatu yang baik,”akhirinya.










