Realiti Kaka Azraff - Utusan Malaysia

Realiti Kaka Azraff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELALUI tempoh awal rumah tangga yang agak sukar, ketika ini ada yang mahu dikongsi dirinya. Kaka Azraff berjaya membuktikan apa yang dihadapinya cukup berbaloi.

Tambahnya, tiada sekelumit rasa menyesal untuk dirinya sehingga kini.

Bahagia dengan keluarga kecilnya, ternyata kehadiran suami, Adam Azriff dan anaknya, Aslan melengkapi kehidupannya kini.

Mahu pengalaman ini menjadi inspirasi kepada mereka yang turut berhadapan situasi yang sama, jelas Kaka perkara pertama yang perlu dipegang jangan pernah putus asa.

“Pada awal perkahwinan memang tidak dinafikan perasaan kami bagaikan roller coaster. Tetapi bukan kerana kami sendiri kerana orang luar yang sering memberi anggapan buruk.

“Ikutkan bila saya buat keputusan untuk berkahwin dengan Adam memang ramai yang tidak setuju selain memperkecilkan suami saya. Sebab sewaktu itu Adam tidak bekerja jadi ada yang kata takut saya yang kena tanggung keluarga dan sebagainya.

“Namun apa juga kata orang ketika itu memang saya tidak ambil peduli. Saya sahaja yang kenal dia. Saya tahu bagaimana Adam adalah seorang yang sangat kuat bekerja. Buktinya sekarang selepas beberapa tahun dia sebenarnya lebih berjaya,” katanya yang turut memberi tahu bagaimana penyakit bipolar dan gangguan obsesif kompulsif (OCD) dihidapi suaminya turut merumitkan keadaan pada waktu itu.

Tidak malu untuk berkongsi realiti yang dilaluinya sebagai seorang wanita, isteri dan ibu dalam lagu terbaharunya berjudul Janjiku, tambah Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, ini adalah bahagian kehidupan yang mahu ditonjolkan kepada umum.

“Apa yang berlaku dalam muzik video Janjiku dan maksud lagu ini sendiri adalah berkisar tentang apa yang saya lalui dalam rumah tangga. Memang adegan yang terdapat dalam itu juga adalah kejadian sebenar, bagaimana kami bergaduh dan akhirnya berbaik memang itu yang berlaku.

“Janjiku adalah lagu saya untuk mereka yang turut melalui fasa yang sama. Ini adalah cara saya untuk memberitahu mereka perhubungan dalam perkahwinan adalah sesuatu yang biasa untuk melalui apa yang dianggap tidak sempurna.

“Tetapi ini yang akan menguatkan perasaan kita. Janjiku juga adalah wasiat saya kepada Aslan. Jika saya tiada kelak saya mahu dia dengar,”katanya yang turut menggunakan khidmat suaminya sebagai pelakon lelaki utama dalam muzik video tersebut.

Lambat yang berbaloi

Menyoroti perjalanan seninya, siapa sangka selepas sembilan tahun namanya kini meniti di bibir peminat. Melalui pelbagai dugaan berbeza untuk berada di kedudukan ini, kata Kaka, semua pengalaman itu berbaloi.

“Tidak kisah lambat sebab penting untuk saya ingat selalu, bahawa keikhlasan akhirnya akan menang. Memang itu yang saya pegang sejak dahulu dan perjalanan ini berbaloi walaupun lambat.

“Akan tiba masa yang sesuai untuk kita buktikan. Sehingga kini juga saya tidak pernah simpan apa-apa rasa perasaan tidak puas hati dalam apa juga yang berlalu memandangkan itulah yang mematangkan kita,” katanya lagi.

Kehadirannya dalam dunia seni pernah dibayangi ibu saudaranya yang juga Ratu Rock, Ella. Tidak pernah menepis dengan sikap berontak, jelas Kaka pada waktu itu apa yang mampu dibuktikan dirinya adalah melalui kerja keras.

“Kalau dahulu orang sering bandingkan saya dengan Ella, tetapi saya yakin untuk buktikan suatu hari nanti mereka nampak sendiri kemampuan saya.

“Ikutkan kehadiran dalam bidang seni sememangnya dibayangi Ella sebabnya saya membawa nama keluarga dan saya tahu bagaimana dia cukup disegani sebagai seorang penyanyi.

“Jika hanya untuk memalukan keluarga memang saya akan menarik diri sahaja. Tetapi Alhamdullillah dia juga senang melihat pencapaian saya kini selain turut berbangga,” tambahnya.

Dugaan AJL

Kemenangan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35 bulan lalu nyata memberi persepsi berbeza mengenai kerjaya seninya kini.

Menolak mahu mendabik dada, kata Kaka, kemenangan yang dilihat juga merupakan dugaan buat dirinya.

“Memang itu yang saya beritahu pasukan agar jangan terlalu meninggi diri. Sebab kemenangan itu bukan kerana saya tetapi lagu itu sendiri. Tidak tahu sama ada ini adalah sikap merendah diri atau apa saya anggap ini juga adalah dugaan sebenarnya.

“Melihat kembali apa yang dilalui sebelum sampai ke tahap ini, saya juga pernah beranggapan bagaimana kehadiran saya dalam industri ini sekadar serpihan sahaja. Tidak penting, tetapi bagaimana usaha dan sikap tidak putus asa banyak membantu saya untuk berada di tahap ini.

“Apa yang penting perjalanan saya dalam industri ini masih lagi panjang dan banyak yang perlu saya pelajari,” katanya yang turut berhadapan momen sedih apabila kehilangan arwah neneknya beberapa hari sebelum pentas akhir AJL35.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai kontroversi tercetus melalui persembahan Nabila Razali yang dikatakan mengaburi kemenangan lagu Gila pada malam itu, reaksi penyanyi berusia 31 ini juga agak terkejut. Jelasnya, sebagai rakan dalam industri dia tidak pernah terkesan selain turut bangga dengan kemampuan Nabila yang dilihatnya begitu berani.

“Saya sendiri tidak sedar keadaan itu. Saya menghormati Nabila kerana mampu melaluinya dengan baik di atas pentas.
“Sebagai penyanyi saya sangat menghormati keberaniannya itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN