“SAYA tidak perlukan kontroversi sekarang ataupun bila-bila.” itu jawapan yang diberikan penyanyi ini ketika ditanya mengenai dirinya yang tidak pernah sunyi daripada perhatian.
Bersetuju dengan kenyataan dia bagaikan magnet kontroversi, balas Adira Suhaimi apa juga yang berlaku sejak awal kemunculan sebagai anak seni bukanlah sesuatu yang dirancang.
Malah jika boleh membuat pilihan, tegas anak seni kelahiran negeri di bawah bayu ini, dia lebih rela dikenali sebagai selebriti yang bersih tanpa perlu melibatkan kisah peribadi. Namun kembali kepada realiti, Adira tetap akur dengan perjalanan hidupnya.
“Cukup saya terangkan, dalam tempoh sekarang tiada apa yang akan didedahkan secara umum. Apa juga yang berlaku ketika ini atau sampai bila-bila, saya lebih rela selesaikan secara tertutup. Lebih penting kalau boleh saya akan cuba elakkan apa sahaja yang boleh menimbulkan keadaan yang tidak senang.
“Memulakan karier sejak 10 tahun lalu, memang tidak dinafikan saya tidak pernah sunyi dalam melalui perkara yang sama. Tahun demi tahun ada yang saya belajar sebenarnya. Jangan pernah memberi respons sebabnya perkara ini akan berlalu dengan sendiri,”katanya tersenyum.
Akui cukup lali dengan perkataan kontroversi, ketika ini juga hatinya kalis melalui dugaan sama.
Tambah Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi sebagai manusia dia tidak mahu menafikan kekhilafan diri. Tetapi pada satu peringkat hidupnya, kini dia lebih senang mencari ketenangan.
“Perkara ini kalau kita layan hanya akan menganggu perasaan. Macam saya sendiri berhadapan dengan perkara ini, selepas sekian lama ada cara yang lebih baik untuk keadaan ini tidak terus berlarutan.
“Cumanya saya akui kesilapan itu datang daripada saya pada mulanya, tetapi lama kelamaan perkara ini tidak sepatutnya mencuri fokus saya lagi. Sebagai seorang yang ada tanggungjawab berbeza, banyak perkara perlu diberikan perhatian. Pada umur sekarang juga saya perlukan kehidupan lebih tenang tanpa bergelut dengan keadaan yang tidak selesa,”katanya panjang lebar.

Anak-anak fokus utama
Agak sukar untuk membuka mulut bertanyakan soalan ini. Tetapi melihat kematangan yang ditunjukkan wanita berusia 29 ini, dia bagaikan sudah bersedia dengan jawapan. Tatkala ditanya mengenai status dirinya kini, Adira dengan pantas menjawab tiada apa yang berubah sehingga saat ini.
“Saya masih isteri orang, cukuplah sampai di sini sahaja saya jawab soalan yang mungkin dalam fikiran ramai orang.
“Persoalan apa yang berlaku dalam rumah tangga saya, kenapa itu kenapa ini, masih bahagia atau tidak. Bukan kewajipan untuk saya jawab. Tiada apa yang saya minta selain menghormati pilihan saya untuk tidak lagi terlalu terbuka berkongsi kisah peribadi,”jelasnya.
Tahu apa sahaja mampu dicetuskan melalui laman sosial, tentunya bersikap berhati-hati adalah cara terbaik untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini. Sentiasa menilai setiap perkongsian, sebagai ibu kepada tiga cahaya mata, ini adalah langkah penting dalam melindungi keluarganya.
“Apa yang saya kongsi dalam laman sosial adalah kehidupan yang mahu saya kongsi dengan peminat. Tidak timbul persoalan lain mengapa tiada gambar lain selain apa yang mahu saya tunjukkan ketika ini.
“Saya tahu spekulasi boleh muncul dengan mudah, tetapi saya lebih jelas dengan keperluan diri ketika ini. Paling penting ini adalah cara saya,”ujar penyanyi lagu Maaf ini.

Kembali berlakon?
Pernah bergelar seorang pelakon beberapa tahun lalu, ternyata ketika itu ada yang menyebabkan dia mengambil keputusan untuk hanya bergelar penyanyi sehingga kini. Bagaimanapun kembali mengintai peluang, bukan sesuatu yang mustahil untuk Adira merampas gelaran seorang pelakon sedikit masa lagi.
“Bila kita dalam fasa mencuba, memang saya ambil keputusan untuk berlakon beberapa tahun lalu. Tetapi dalam tempoh itu ada yang perlu saya korbankan. Sebab untuk melakukan dua kerja dalam satu masa bukan mudah. Pada suatu ketika saya mengabaikan nyanyian kerana komitmen besar dalam lakonan.
“Tetapi selepas melalui sendiri keadaan pandemik kini, mungkin sudah sampai masanya untuk saya mempertimbangkan kembali kerjaya berbeza. Kalau benar ada peluang untuk kembali ke dunia lakonan mengapa tidak? Malah bukan sahaja lakonan sebab menjadi impian saya juga untuk bergelar pengacara,”akhirinya.

Rindu Sabah
Kehadiran pandemik yang melanda dunia sejak dua tahun lalu diakui Adira memberi perubahan cukup besar buat dirinya. Selain bergelut dengan kehidupan norma baharu sebagai anak seni kini, apa yang turut memberi kesan kepada dirinya apabila terpaksa menanggung rindu untuk pulang ke Sabah.
“Memang diakui sepanjang pandemik melanda, aktiviti biasa yang dilalui sebagai anak seni semuanya berubah sekelip mata. Sebagai seorang yang masih menjadikan lapangan ini untuk mencari rezeki pendapatan itu memang terjejas.
“Cumanya rezeki itu sentiasa datang dalam bentuk yang tidak diduga, macam saya, sepanjang tiada aktiviti pentas ini, memang banyak permintaan untuk membuat produk review. Alhamdulillah, bukan saya sahaja tetapi kalau lihat ramai rakan artis juga buat perkara sama.
“Apa yang paling sedih, saya sudah hampir dua tahun tidak dapat menjejakkan kaki di tanah kelahiran saya. Malah kehadiran Ramadan dan Syawal kali ini juga dapat saya rasakan sama macam tahun lepas.
“Kalau mahu jelaskan rasa rindu itu memang susah, sebabnya sebagai seorang anak yang terpaksa berjauhan dengan ibu itulah keadaan yang paling sukar sebenarnya. Walaupun boleh berhubung dengan teknologi terkini, perasaan itu tidak mungkin akan sama,” katanya yang turut merindui suasana kampungnya di Ranau.










