Samsons kongsi kenangan terindah - Utusan Malaysia

Samsons kongsi kenangan terindah

Samsons kini diterajui oleh Irfan, Aldri, Aria dan Erik selepas Bams membuat keputusan meninggalkan kumpulan pada 2012.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI SEMUA pelosok negara termasuk Malaysia, Brunei, Singapura, bahkan di Thailand, kumpulan Samsons ternyata tidak cuma berbangga menjulang gelaran sebagai jaguh kampung di tanah kelahiran mereka, Indonesia.

Bahkan sejak mereka mencipta populariti di awal tahun 2000, seangkatan dengan kumpulan fenomena seperti Sheila On 7, Peterpan mahupun Padi, Samsons berupaya memastikan nama mereka tidak tenggelam dalam arus persaingan.

Kini selepas 15 tahun, Samsons masih lagi meniti di bibir para pengagung mereka selain terus kukuh membina profil kerjaya dalam industri seni muzik.

Berbangga dengan kredibiliti Samsons sepanjang tempoh 15 tahun ini, Irfan berasa bertuah kerana meski mereka sudah tumbuh dewasa dengan masing-masing juga menggalas tanggungjawab sebagai suami dan bapa, mereka masih mempunyai peminat baharu dalam kalangan generasi muda.

“Selain peminat sedia ada, agak mengejutkan apabila melihat pengikut kami di saluran YouTube mahupun di Spotify, kebanyakannya adalah pendengar yang berusia 18 hingga 24 tahun.

“Itu menunjukkan, ketika Samsons berada dalam industri, mereka ini masih berusia tiga tahun dan kami tidak menyangka setelah bertahun-tahun mereka kemudiannya menjadi peminat kami,” katanya.

Menurut Irfan, dia sedar Samsons tidak akan pernah mampu bertahan lama jika tidak muncul popular menerusi lagu berhantu mereka, Kenangan Terindah yang disisip dalam album berjudul Naluri Lelaki pada 2006.

Malah, barangkali kerana lagu itu jugalah Samsons berupaya mengumpul kalangan peminat setia mereka walaupun kini mereka hadir tanpa sosok Bams yang bersama-sama menaikkan kumpulan itu satu ketika dahulu.

“Kalau bercakap mengenai kenangan terindah, tentu sekali bersama Bams, kami semua pernah mencipta banyak kenangan bersama apalagi sewaktu Samsons meniti jalan ke puncak.

“Malah, kami juga sehingga sekarang tidak dapat melupakan momen manis ketika berpeluang beraksi di Malaysia dan bertemu peminat di sana.

“Di Planet Hollywood Kuala Lumpur, wah.. Di situ juga telah mencipta satu kenangan terindah buat kami,” katanya.

Turut berkongsi rasa, Aria selaku vokalis juga menganggap peluang untuk berkumpul dan beraksi bersama adalah apa yang paling dirindukan memandangkan sebelum dunia dilanda pandemik Covid-19, semua itu dapat dilakukan tanpa halangan.

“Memanglah sekarang kami tetap menghasilkan muzik, tetapi lain rasa dan suasananya apabila dapat berkumpul dan beraksi bersama apalagi hubungan kami semua sudah seperti satu keluarga.

“Terlalu banyak kenangan manis yang kami cipta bersama-sama, saya secara peribadi berbangga dengan pencapaian Samsons yang tetap bertahan sepanjang 15 tahun perjalanan kami dalam industri,” katanya.

Bams pernah mencipta fenomena bersama kumpulan Samsons sebelum ini.

 

Menyedari bukan mudah juga untuk terus kekal sebagai sebuah kumpulan dalam tempoh yang lama, Irfan mengaku mustahil mereka tidak punya pertelingkahan atau perselisihan faham sesama anggota.

Cuma, katanya, barangkali kerana faktor kematangan dan dewasa, maka masing-masing kini sudah semakin bijak mengamalkan komunikasi sebagai kunci untuk mencapai kesepakatan.

“Macam sebuah perkahwinan jugalah, perlu ada komunikasi agar dapat komited bersama-sama. Bunyinya mungkin seakan klise, tetapi benar.

“Untuk saling menerima dan memahami, ia bukan satu tempoh cuma sehari. Tetapi kami bersyukur kerana masing-masing sepakat untuk kekal menggerakkan Samsons sampai ke hari ini,” katanya.

ALBUM V CABAR KEMAMPUAN SAMSONS

Membuka lembaran tahun 2021 menerusi kehadiran album kelima, V bagi Samsons begitu istimewa kerana kali ini mereka berpeluang bekerjasama dengan seramai 55 pemuzik terbaik orkestra Budapest.

Idea itu sudah tentu membawakan Samsons ke lembah cabaran memandangkan ia bukan satu tugasan yang mudah, malah pada satu tahap lain, ia mengangkat kumpulan itu ke mata dunia.

Mengaku hal tersebut, kata Irfan, pembikinan album V sebenarnya pernah beberapa kali melalui proses penundaan pada tahun lalu kerana mereka sukar menemukan garapan karya yang mengena.

“Semua itu kerana kami mahukan kualiti terbaik. Tidak mungkin kami mahu menghasilkan karya yang sama sebagaimana 15 tahun lalu, tentulah sebagai sebuah kumpulan, Samsons perlu berevolusi.

“Album ini sebenarnya sudah siap sejak 2016, tetapi disebabkan banyak perkara lain maka ia cuma dapat dihasilkan sekarang. Tambahan pula, kami memandang serius dengan kerjasama orkestra dari Budapest yang mencantikkan lagi pembikinan album ini secara keseluruhannya,” katanya.

Berbicara mengenai V, kata Irfan, ia menguji dan mencabar kebolehannya sendiri memandangkan dia menggalas tanggungjawab sebagai komposer dan penulis penuh untuk album ini.

Merupakan kali pertamanya, Irfan mengaku dia melalui proses yang sangat memenatkan selain berdepan dengan jurang komunikasi.

“Saya cuma tahu asas sahaja dan bukan pakar dalam muzik nuansa orkestra. Tentu sekali di pertengahan jalan wujud waktu-waktu sukar dan ia lebih mencabar kerana tidak semua pasukan orkestra dari Budapest yang boleh bertutur bahasa Inggeris.

“Mahu atau tidak kami perlu lunaskan segera kerana ada tarikh yang telah ditetapkan untuk memastikan segalanya siap mengikut jadual.

“Susah, tetapi semua itu membuahkan senyuman di wajah kami kerana V menjadi bukti curahan segala usaha keras kami sebagai pemuzik,” katanya.

Tambah Irfan, album ini secara tidak langsung mendapat inspirasi daripada kumpulan popular antarabangsa, Coldplay yang dilihat sering tampil berevolusi untuk setiap karya mereka.

 

Samsons kini tampil lebih matang menerusi penghasilan album V yang mendapat kerjasama orkestra Budapest.

SAMSONS 15 MINIT

Dalam pada itu, mengalih topik perbualan kepada perancangan mereka dalam situasi getir pandemik ini, Irfan sedar usaha untuk beraksi depan peminat tentunya masih belum dapat direalisasikan.

Tetapi itu tidak bermakna mereka harus duduk diam berpeluk tubuh sementelah sesuatu harus juga dilakukan bagi merancakkan aktiviti seni mereka.

Mengenangkan ini adalah zaman di mana semua pihak terpaksa bergantung kepada kemudahan teknologi, maka Samsons juga mahu mengambil peluang ini untuk mencuba sesuatu yang berbeza.

Merancang untuk mengadakan konsert maya sempena ulang tahun ke-15 dalam industri, Irfan dan anggota Samsons lain hadir dengan idea untuk mengadakan konsert selama 15 minit khas untuk menghargai peminat mereka.

“Signifikan 15 minit itu juga adalah simbolik kepada 15 tahun perjalanan kami dalam bidang seni dan ia akan dilakukan secara virtual termasuk di saluran YouTube.

“Pendekatan kami nanti adalah persembahan secara medley dan mash up lagu-lagu lama dan baharu daripada Samsons sejak album pertama hingga sekarang. Kalau tiada halangan, konsert ini akan dilaksanakan pada bulan depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×