KEHADIRAN lebih ramai pelakon muda selain umur yang semakin meningkat kini memerlukan dia lebih bersedia dengan cabaran yang lebih besar. Bukan menidakkan rezeki dalam bidang lakonan, ketika ini ada realiti yang perlu dihadapi pelakon Saharul Ridzwan sendiri.
Jelasnya selepas hampir 10 tahun bergelar anak seni, bukan sesuatu mudah untuk mengekalkan populariti yang pernah dikecapinya. Bangkit daripada kenyataan ini ada perubahan yang perlu dilakukan demi memastikan keperluan keluarganya terus terjamin.
“Bukanlah saya kata dunia lakonan ini tidak lagi mendatangkan pendapatan kepada saya. Cuma saya jangka dalam tempoh dua hingga tiga tahun sahaja lagi untuk saya dapat kekalkan watak utama.
“Selepas itu kalau tetap mahu berada dalam dunia lakonan juga boleh, cuma ada perbezaan mungkin saya perlu pegang watak yang memerlukan saya berada di tiga set satu hari untuk mendapatkan bayaran yang sama seperti watak utama,” jelasnya.
Mengakui status seorang suami dan ayah, antara faktor dia kini semakin terpinggir daripada menjadi pilihan produksi drama.
Namun ini tidak pernah sesekali membuatkan dia menyesal untuk terus bergelar anak seni. Malah kongsi Saharul, 32, atau nama sebenarnya Mohd. Saharul Ridzwan Hashim dia akan terus kekal dalam bidang ini untuk tempoh yang lama.
“Di Malaysia inilah realiti sebenar yang perlu dihadapi seorang pelakon. Saya tidak tahu bagaimana ada yang kata masih ada ada rezeki dalam bidang lakonan selepas berkahwin. Jujurnya memang ada rezeki tetapi rezeki selepas berkahwin bagi saya datang cara lain bukan dalam bidang lakonan.
“Saya tidak nafikan tawaran juga semakin kurang, selepas dapat anak tidak banyak produksi yang memilih nama saya. Faktornya mungkin orang sudah jemu selain wujud lebih ramai wajah baru.
“Saya setuju di Malaysia makin kita tua, bayaran juga semakin kurang. Sebolehnya saya tidak mahu berada pada tahap itu memandangkan saya mahu memberi kehidupan yang lebih baik untuk isteri dan anak saya,” katanya.

Melihat apa yang berlaku ini tidak memberi sebab untuk melupakan terus dunia seni. Tambahnya, dia tidak akan pernah lupa bagaimana bidang ini membawa kelebihan buat kehidupannya sehingga kini. Bersedia untuk terus menonjolkan bakat yang dimiliki, namun ada fokus penting yang perlu dicapai dahulu.
“Saya tidak akan boleh keluar daripada industri ini kerana ia minat saya, malah melalui duit dalam bidang inilah saya dapat beli rumah, kereta dan kahwin pun.
“Jadi untuk keluar terus secara total mungkin tidak. Siapa tahu dengan perniagaan yang saya mulakan ini membolehkan saya menjadi seorang pengarah atau berlakon dalam filem produksi sendiri,” katanya positif.
PERTARUH WANGIAN ORDE SCENTS
Mencari ruang dalam bidang perniagaan kini, ternyata populariti yang dimiliki sedikit sebanyak memberi cabaran besar buat dirinya. Berhadapan dengan sikap skeptikal sesetengah pihak, Saharul yakin pengorbanan itu akan membuahkan hasil suatu hari nanti.
“Cabaran terbesar apabila orang tidak melihat saya sebagai pemilik perniagaan tetapi sekadar duta sahaja. Sebelum ini saya ada berniaga antaranya serunding, minyak wangi dan skrub muka tapi tidak menjadi, orang tak beli. Saya mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.
“Memang sedih sebab buat benda tak jadi sampai satu tahap saya tak mahu berniaga kerana tak mahu rugi tapi disebabkan ada anak dan juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya tetap kena berusaha. Andai kata suatu hari nanti saya tidak lagi berlakon ini yang akan diteruskan,” jelasnya.
Selepas beberapa kali mengalami kegagalan dalam perniagaan, kini Saharul bangkit dengan azam berbeza. Menjadikan ilmu sebagai panduan untuk terus mencuba, dia juga melihat kejayaan rakan artis lain sebagai inspirasi buat dirinya.
“Tidak boleh harapkan populariti diri sahaja untuk menjana pendapatan, apa yang saya belajar kena ada ilmu yang betul. Sebelum ini saya acah-acah berniaga tapi tanpa ilmu dan tunjuk ajar. Tetapi saya faham kini kena ada orang yang membantu kita dalam bidang ini.
“Bila dengar motivasi daripada peniaga lain yang mengalami kerugian lebih besar, pengalaman kegagalan mereka itulah yang membakar semangat saya untuk tampil dengan produk sendiri selepas 10 tahun dalam industri. Ramai sebenarnya yang saya idolakan dalam bidang perniagaan antaranya Shuib Sepahtu dan Datuk Rosyam Nor,” katanya.

Muncul dengan produk haruman aromatik jelas pelakon drama bersiri Cinta Sekali Lagi ini, dia juga turut membuat percaturan berani dengan melaburkan RM250,000 dalam perniagaan pertamanya ini. Yakin dengan strategi yang sudah disediakan rakan kongsinya, Ode Scents adalah adalah penentu kepada semua kerja kerasnya selama ini.
“Kini selepas enam bulan membuat persediaan dan dikurniakan rezeki berjumpa dengan rakan kongsi, Nadzir Samsuddin serta pasukan yang baik, saya percaya boleh berjaya dengan adanya sokongan.
“Ikutkan apa yang penting dalam perniagaan adalah pasukan pemasaran yang kuat dalam memasarkan dan mempromosi produk kita.
“Melihat pengalaman rakan kongsi saya dalam perniagaan haruman saya yakin Ode Scents memiliki potensi besar diterima pengguna. Dengan harga RM15 sebotol, Ode Scents turut mempunyai lima wangian,” katanya.










