SEBUT sahaja kugiran Luncai Emas, ramai yang memandang tinggi. Mereka dilihat sebagai kugiran berkualiti kerana nama Luncai Emas itu sendiri sudah sangat besar, apatah lagi apabila disandingkan dengan nama Datuk M. Nasir.
Namun, tidak ramai yang tahu, Luncai Emas bukanlah syarikat rakaman gergasi seperti Warner Music atau Universal Music. Ya, nama mereka besar tetapi itu kerana pengaruh M. Nasir dan artis naungannya sebelum ini. Dari segi modal syarikat dan praktis, mereka berbeza.
Hal ini, dari satu sisi, agak malang bagi kugiran-kugiran yang bernaung di bawahnya. Ramai yang menyangka mereka sudah selesa kerana dinaungi syarikat rakaman ternama tetapi sebenarnya, mereka juga bergelut.
Mereka ini, bersama beberapa kugiran yang dilihat ‘elit’ dalam lapangan independen, saya kategorikan sebagai kugiran M40. Mereka tak termasuk dalam golongan kayangan T20 artis arus perdana yang serba-serbi mewah. Mereka juga tidak terlalu marhaen seperti artis independen kerana masih ada tempat bernaung.
Seperti nasib golongan M40, mereka sering tersisih daripada bantuan dan sokongan kerana pada mata sesetengah pihak, mereka sudah selesa. Pada mata sesetengah yang lain pula, mereka masih ‘cikai’ dan tidak cukup glamor untuk diangkat ke kayangan.
Contoh mudah: mereka tak layak masuk Anugerah Lagu Indie (ALI) kerana bernaung di bawah label tetapi dalam masa yang sama, susah nak masuk Anugerah Juara Lagu (AJL) kerana tak cukup popular.
Macam orang mati dalam hutang, rohnya bergentayangan antara langit dengan bumi. Begitulah nasibnya kugiran M40 ini. Salah satunya Ramayan.
Saya memang memandang tinggi kugiran ini kerana kualiti karya mereka bukan biasa-biasa. EP swatajuk mereka cukup untuk memberikan gambaran betapa pekat nilai seni yang dikendong mereka.
Namun, walau bagaimana baik karya mereka, ia tetap sukar menembusi telinga pendengar massa. Masih ramai tidak kenal mereka dan lebih malang lagi, masih ramai yang tidak pernah mendengar lagu mereka.
“Kalau boleh, kami hanya mahu muzik kami diperkatakan. Jika contohnya, radio memainkan lagu secara adil, sekurang-kurangnya lagu kami akan diperkatakan,” kata Omar, pemain bes Ramayan.
Hadir bersama Omar dalam wawancara Rondivu ialah Pi’e, vokalis dan gitaris manakala pemain dram, Que tidak dapat hadir kerana berada di Singapura.
Ramayan baru-baru ini muncul dengan album sulung mereka, Di Persiaran Cakrawala. Album 10 lagu itu jika dibandingkan dengan EP swatajuk mereka, lebih matang dan dewasa.
Lagu pertama yang diperdengarkan kepada umum ialah Lamunan Anak Bulan melalui video muzik yang dilancarkan pada 3 September lalu. Lagu itu pantas menggegar lapangan independen dengan suntikan padat elemen psikedelik klasik dan video muzik berkualiti.
Ia juga berjaya memenangi kategori Lagu Terbaik dalam TAPAUawards 2020. Dengan kerjasasama TAPAUtv juga, mereka menganjurkan Pesta Dengar dan pelancaran album secara dalam talian untuk album mereka. Usaha inovatif dalam tempoh pandemik ini.
Di Persiaran Cakrawala juga tampil dengan pakej yang lengkap. Selain trek-trek yang mengancam (anda dengar trek pertama, Signal, boleh terus terbang merentasi masa ke zaman kegemilangan kugiran pop 70-an), kerja seni pada sampulnya sangat menarik.
Namun, semua itu seakan-akan belum cukup untuk menolak Ramayan ke tahap yang lebih tinggi. Bertentangan dengan kes klasik kaca dianggap permata, mereka adalah permata yang dianggap kaca. Kualiti tinggi karya mereka tidak diiktiraf dan tidak mendapat perhatian yang sepatutnya dalam industri secara massa.
“Lorongan untuk muzik macam kami ini tak mencukupi. Industri kita semakin sempit. Bukanlah muzik yang baharu sangat, cuma muzik yang pelbagai.
“Kita patut tambah baik hal ini, jangan ada berat sebelah terhadap jenis muzik. Kalau sebaran itu adil, platform diberikan kepada kami secara adil, kami yakin ada ruang untuk muzik kami dalam industri,” kata Ramayan.
Hal ini ada logiknya dan perlu mendapat perhatian mereka yang dikatakan sebagai tastemaker muzik massa, seperti stesen radio, televisyen dan media massa.
Jika usaha menyuntik nafas baharu dalam muzik dekad 70-an dan 80-an mendapat perhatian di peringkat antarabangsa, seperti yang dilakukan Bruno Mars dan Anderson .Paak, mengapa hal sama dilakukan kugiran tempatan disambut suam-suam kuku?










