BUKAN main hebat lagi segelintir pengguna media sosial yang kononnya berstatus pempengaruh, berkobar-kobar mempromosi ideologi tidak perlu belajar tinggi-tinggi pun boleh jadi kaya.
Kalau diperhatikan, kebelakangan ini akan muncul ‘manifesto’ sedemikian daripada kalangan individu pempengaruh media sosial ini entah siapa-siapa ini, yang seakan memberi mesej bahawa mencari ilmu itu tidak penting.
Asalkan pandai cari duit dan bijak gunakan media sosial sebagai satu daripada senjata utama untuk mencipta kejayaan, itu sudah memadai. Demikian fahaman mereka.
Perkara itu turut menjadi kebimbangan wanita cantik bernama Daiyan Trisha ini.
Bergelar seorang selebriti, pelakon, penyanyi, komposer malah pengacara dalam satu masa, Daiyan sedar kedudukan dan kelebihannya pada tahap ini hakikatnya turut terselit satu tanggungjawab besar khususnya buat para pengikut termasuk masyarakat.
Tidak menganggap ia sebagai satu bebanan, sebaliknya kata wanita berusia 28 tahun ini, semua itu membolehkannya untuk berkongsi banyak perkara positif dan memberi manfaat yang baik pada mereka yang mengikutinya di laman media sosial.
“Saya pernah dengar kata-kata itu, tak belajar tinggi pun tak apa. Maaf, saya tolak bulat-bulat ya! Cuba anda fikir, di mana logiknya kenyataan macam itu sedangkan orang yang mencipta media sosial itu sendiri pun mencari ilmu untuk menghasilkan aplikasi dan kemudahan buat orang ramai.
“Jangan cakap tanpa menggunakan akal kerana ia juga mencerminkan siapa diri kita,” katanya.
Menurut Daiyan, dia sedar, barangkali ada individu dalam kalangan masyarakat yang tidak mampu untuk meneruskan alam persekolahan atas sebab pelbagai kekangan.
“Ada yang tidak dapat menghabiskan pengajian walaupun di peringkat sekolah, tetapi itu tidak bermakna kita boleh katakan, oh tak belajar pun tak apa, boleh berjaya.
“Mungkin ada yang bertuah membina laluan begitu dalam hidup. Namun janganlah sampai kita memperlekehkan usaha seseorang untuk berjaya jika dia memasang impian dengan mencari ilmu.
“Ilmu itu penting dan sebab itu saya selalu beritahu pada pengikut dalam media sosial agar jangan lepaskan peluang untuk terus belajar,” katanya.
Daiyan rasa bertanggungjawab untuk menyalurkan tenaga positif buat pengikut dalam media sosial memandangkan dia sedar rata-rata mereka adalah generasi muda yang bakal menjadi pelapis masa hadapan.
Malah, dia juga mahu memanfaatkan platform media sosial dengan menyebarkan kebaikan kerana sedar ramai yang sedang memerhati dan barangkali memilih untuk mencontohi.
“Apabila memilih media sosial sebagai satu medium memasarkan diri, selain berinteraksi, penting untuk saya tahu bagaimana mahu merangka diri sebagai satu jenama.
“Tetapi ia tidak cuma untuk tujuan populariti , sebaliknya apa yang boleh saya berikan semula kepada masyarakat dari aspek seorang selebriti dan pempengaruh,” katanya.
Turut menjadi rebutan pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa, Daiyan dilihat bijak menggunakan kelebihannya sebagai seorang selebriti sehinggakan dia boleh dianggap antara persona kesukaan ramai pada waktu ini.
ANXIETY BAWA WATAK BUDAK SEKOLAH
Menarik perhatiannya untuk berbicara mengenai buah tangan terbaru iaitu drama bersiri Projek Anchor SPM arahan Razaisyam Rashid, Daiyan yang memegang watak Aaida gembira kerana masih dianggap sesuai untuk menggalas karektor gadis sekolah menengah.
Terharu dengan kepercayaan yang diberi oleh pihak pengarah dan Astro, kata Daiyan, Aaida adalah gambaran seorang gadis yang menerima tekanan hebat untuk menjadi pelajar cemerlang di sekolah oleh orang sekelilingnya.
“Jujurnya, saya sehingga tak dapat tidur lena kerana diserang anxeity sehari sebelum penggambaran dilakukan. Watak Aaida ini memiliki cabaran yang sukar untuk diungkapkan kerana ia antara tunjang utama drama.
“Nak tahu, untuk memastikan watak ini dibawakan dengan emosi yang tepat, saya menjadikan kakak sendiri, Dayana yang kebetulan merupakan seorang ‘budak pandai’ sejak di bangku sekolah,” katanya.

Bercerita lanjut, kata Daiyan, ketika di sekolah, kakaknya itu pernah mendapat tekanan dalam aspek pelajaran namun semua itu ternyata berbaloi sementelah dia kini berjaya menjadi doktor.
“Memang saya terbayangkan dia sahaja ketika mendapat watak ini. Saya juga pasti, ramai sahaja pelajar lain yang mengalami situasi sama macam kakak dan Aaida ini dan boleh kait dengan drama ini.
“Saya pula semasa di sekolah, bukanlah kata tak pandai, cuma lebih relaks. Cuma apabila masuk ke dunia pengajian di universiti saya mula terasa ada tekanan itu. Alhamdulillah, semuanya berjaya dilalui,” katanya.
BAD GENIUS? TAK ADALAH
Dalam pada itu, sengaja menarik minatnya untuk melontarkan pandangan mengenai sesetengah pendapat yang mengatakan drama ini cuba meniru filem dari negara jiran berjudul Bad Genius, Daiyan mencuba memberi jawapan terbaik.
Katanya, sungguhpun nuansa cerita dilihat lebih kurang sama dengan filem dari Thailand itu, Projek Anchor SPM bagaimanapun tidak sama dengan naskhah popular tersebut.
“Bad Genius sudah berada di satu tahap lain. Apa yang dikatakan sama itu barangkali kerana ini juga adalah kisah di dalam dewan peperiksaan. Tetapi yang dibandingkan itu, sedikit sangat.
“Bagi saya tak adil lah kalau nak kata sama sebab dari aspek genre pun berbeza. Bad Genius adalah sebuah filem, manakala Projek Anchor SPM pula adalah sebuah drama bersiri.
“Tetapi drama ini ada banyak sisi lain yang diceritakan melalui setiap watak yang ada,” katanya.
Meminati filem-filem berona remaja dan alam persekolahan, Daiyan melihat industri juga lebih bergerak dan berdaya saing apabila wujudnya lebih banyak naskhah yang memaparkan kisah golongan muda dan remaja khasnya.
“Macam di Indonesia, banyak naskhah seperti ini dihasilkan dan mendapat sambutan yang baik daripada penonton di usia tersebut. Ia menunjukkan memang terdapat permintaan yang tinggi untuk naskhah filem seperti ini.
“Saya harap di Malaysia juga akan ada lebih banyak naskhah buat golongan muda. Lagipun tentulah semua orang boleh berasa terkait dan berasa dekat sebab kita semua pernah berada di alam persekolahan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan karier nyanyiannya, Daiyan terpaksa mengetepikannya dahulu buat masa ini lantaran mahu fokus dengan Projek Anchor SPM.
Bagaimanapun, seakan memberi isyarat, kata penyanyi lagu Kita dan Stargazing ini, dia akan kembali bergelumang dengan muzik selepas Aidilfitri ini.
Selain Daiyan, drama lapan episod terbabit turut menampilkan Aedy Ashraf, Sasha Abedul, Nadhir Nasa dan Adlin Aman Ramlie.
Projek Anchor SPM akan bersiaran menerusi Astro Citra saluran 108 (HD)/ 128 (SD) bermula 15 Mac ini.










