Secara peribadi, Poklip merasakan Hun Haqeem bakal menjadi pelapis barisan hero-hero Malaya dambaan gadis-gadis di luar sana. Bukan setakat bersandar pada rupa, tetapi Hun punya bakat yang tidak boleh disangkal.
Jika dilihat, perjalanan karier Hun cukup lancar. Walaupun pernah berdepan dengan episod hitam tahun lalu, namun Hun berjaya membuktikan dia masih punya peminat yang sentiasa memberi sokongan.
Tidak dinafikan, percaturan pihak pengurusannya, Metrowealth International Group (MIG) banyak membantu Hun mewarna kanvas seninya. Bagaimana mereka mengendali kontroversi dan menyusun langkah pelakon lelaki itu.
Namun lain pula khabar angin yang disampaikan rakan Poklip ini. Dakwanya, pelakon tinggi lampai ini sudah angkat kaki daripada MIG? Betul ke? Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba sahaja dia melangkah keluar. Dakwa rakan Poklip, Hun menamatkan kontraknya hujung Januari lalu dan menguruskan diri sendiri tanpa syarikat pengurusan. Wow! Satu keputusan yang berani kalau benar dia meninggalkan MIG.
Tidaklah kita menyifatkan Hun sebagai lupa daratan atau kacang lupakan kulit (teringat pula lagu Kacang oleh Datuk David Teo), tetapi kalau betul dakwaan tersebut, kenapa? Ada yang berkecil hati ke?
Bukan apa, kita kena tanya juga Hun sebab dan alasan dia keluar dari MIG. Pastinya itu bukan satu keputusan mudah dan dia punya alasan sendiri jika benar dakwaan itu.
Apa pun, Poklip doakan yang terbaik untuk Hun. Jika benar, semoga ada rezeki terus menerus di dalam industri seni. Sayang jika Hun ‘terkandas’. Di kala industri kekurangan hero sejati, Hun boleh menjadi pelapis yang baik. Semoga berjaya!
Masih dikongkong keluarga
Hendak dikatakan terlalu muda tidak juga, tetapi tidaklah juga terlalu tua. Pendek kata, umur pelakon dan penyanyi ini memang sudah sangat sesuai untuk mendirikan rumah tangga.Cik Bunga ada juga sesekali terfikir, agaknya kenapa pelakon lelaki ini masih belum mahu berkahwin? Cik Bunga yakin, duit bagi dia bukan masalah pun.
Menipu sangatlah kalau dia kata tak mahu kahwin sebab duit.Aiyoo, ibaratnya PKP atau tidak, tawaran kerja itu ada sahaja buat dirinya, itu belum kita sebut dia ada bisnes yang boleh tahan hangat sambutannya.
Nak kata tidak bersedia? Hmm…kalau tidak silap Cik Bunga, si artis ini pernah sahaja menyatakan kesediaannya untuk berkahwin. Hah! Kenapa berlengah-lengah lagi? Orangnya pun bukannya tidak tampan. Elok dan manis sahaja di mata Cik Bunga.
Tapi rupa-rupanya, dia ini jenis yang taat benar pada kata orang tuanya. Selagi belum dapat lampu hijau calon menantu yang terbaik, kononnya artis ini tak boleh memandai-mandai buat keputusan sendiri.
Alamak, mesti hidupnya selama ini banyak makan hati ek. Bukanlah Cik Bunga menggalakkan supaya jangan dengar kata orang tua, tetapi hasrat untuk berkahwin dan keputusan itu bukankah terletak pada tangan empunya diri?
Kalau sudah ada calon dan kemampuan, jalan sahajalah. Takut makin dihalang, sama ada tak kahwin langsung, atau dunia ni sudah tak ada Covid-19, dia pergi kahwin lari di siam silap hari bulan.
Syamsul ‘bantai’ siapa itu?
Ingin diingatkan, tiada mana-mana individu yang cedera parah, patah riuk tulang-temulang atau lunyai ‘dikerjakan’ Syamsul Yusof secara fizikal.
Sebaliknya, Cik Bunga tengah bercakap mengenai lagu Jangan Langsi yang dihasilkan oleh pengarah dan pelakon terkenal ini yang baharu sahaja dilancarkan awal minggu lalu.
Entah mengapa, secara peribadi Cik Bunga rasa kali ini lagu yang dihasilkan oleh Syamsul sangat memberi impak. Tolong sikit ya, Cik Bunga bukan orang yang senang-senang nak bagi pujian ya.
Kalau tak bagus, kita kata tak bagus. Kalau ada wow faktor, maka tiada sebab untuk Cik Bunga menafikan naskah yang bagus seperti ini. Lagipun semua orang tahu, ini bukan kali pertama Syamsul buat lagu rap. Cuma buah tangannya kali ini memang berbeza.
Cik Bunga rasa, Syamsul seolah-olah telah menyalurkan segala kemarahannya atas yang berlaku sebelum ini kepada satu medium yang tepat. Maka terhasillah sebuah karya bukan main-main seperti ini.
Iyalah, bukan seorang dua yang ‘mengusik’ dirinya sebelum ini, menguji kesabaran sebagai seorang manusia, hatta membuatkannya terjebak ke kancah kontroversi.
Mungkinlah bunyinya macam dia sedang menyindir mana-mana pihak tertentu dan dizahirkan dalam bentuk lagu rap. Kalau betul, baguslah. Sekurang-kurangnya bukan bergaduh secara fizikal.
Pendek kata, kalau ada pihak yang terasa, sesuailah dengan muka. Siapa suruh langsi? Kepada Syamsul, Cik Bunga harap awak terus menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti dan ada isi macam ini.
Jangan patah semangat jika ada lagi kontroversi mendatang. Tak perlu pandang belakang, jalan terus, buat duit lagi bagus.










