Bahagia bukan pada umur - Harris Alif - Utusan Malaysia

Bahagia bukan pada umur – Harris Alif

HARRIS masih belum tahu bagaimana majlis pernikahannya akan berlangsung Sabtu ini, namun berharap semuanya berjalan lancar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAKAL melangsungkan perkahwinan dalam tempoh beberapa hari lagi, ketika ini tiada apa yang merusingkan.

Menghargai setiap detik yang dilaluinya sebagai kenangan indah sebelum bergelar seorang suami, kongsi Harris Alif, bukan soal bersedia atau tidak yang perlu ditanya.

Sebagai seorang lelaki yang cukup dewasa, dia yakin pilihan berkahwin dengan Intan Ladyana adalah keputusan terbaik yang pernah dibuat.

“Soal bersedia atau tidak, sepatutnya soalan ini tidak ditanya sekarang. Sebelum buat keputusan berkahwin lagi saya sudah bersedia. Keputusan untuk berkahwin bukan sesuatu yang remeh jadi persiapan diri sebelum membuat keputusan perlu dibuat.

“Fasa itu saya sudah lalui dan fokus sekarang adalah untuk melangsungkan perkahwinan ini,” katanya.

Jika ada yang melihat di umur 21 tahun terlalu muda untuk dia mengemudi sebuah perkahwinan, Bagi Harris, dia sentiasa yakin dengan laluan kehidupan yang bakal ditempuhinya. Tidak menjanjikan bulan dan bintang, ketika ini harapannya agar semuanya dipermudahkan buat dia dan bakal isteri.

“Bagi saya tidak perlu fikir tentang apa yang orang kata. Kalau fikir memang tidak habis memandangkan semua sudut mahu dipertikai. Saya yakin dengan soal rezeki dan kenapa perlu bersangka buruk.

“Macam saya sendiri tidak perlu jelaskan apa-apa. Dalam keadaan sekarang saya sangat mementingkan soal privasi. Jadi setiap pertikaian di laman sosial bukan kewajipan saya untuk leraikan,” ujar penyanyi lagu Anugerah ini.

Perkahwinan yang bakal berlangsung Sabtu ini juga turut menerima tajaan barangan kemas bernilai RM13.5 juta oleh Ceres Jewel. Namun, Haris menjelaskan dia turut mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk majlis tersebut.

“Ada yang kata untunglah dapat tajaan untuk berkahwin, tetapi mereka tak faham erti ‘tajaan’ itu. Memang nilainya besar tapi bukan untuk majlis.

“Sebagai bakal pengantin tentu saya turut mengeluarkan wang sendiri untuk hari bahagia kami,” katanya.

ADA APA DENGAN UMUR?

Terus dipersoalkan mengenai perbezaan umur dengan Intan, bagi Harris atau nama sebenarnya Nor Harris Alif Nor Rashidi, dalam perkahwinan bukan umur yang menjadi penentu kebahagiaan tetapi cara berkomunikasi yang betul dalam mengharungi setiap cabaran.

“Bila orang cakap soal umur, saya tidak tahu nak jawab macam mana. Saya yakin dengan jodoh yang sudah ditentukan. Selain itu, dalam perkahwinan bukan umur yang menjadi penentu kebahagiaan.

“Dalam setiap hubungan apa yang penting adalah komunikasi yang baik. Saya dan Intan sendiri menitikberatkan soal ini untuk hubungan yang sihat,” jelasnya.

Berkongsi sebab dia memilih Intan sebagai wanita pilihan, ternyata sikap wanita yang dicintainya itu banyak menyumbang kepada keberaniannya kini. Selain matang, Intan juga dilihat cukup besederhana dalam menjalani kehidupan.

“Saya suka wanita yang sederhana sahaja.Apa yang penting bagaimana dia mampu menjadi dirinya sendiri pada bila-bila masa. Tidak perlu berselindung di sebalik apa-apa.

“Tentunya sebelum berkahwin kita memerlukan seorang wanita yang memahami diri kita. Intan juga tidak dinafikan cukup matang dan ini memudahkan kami bertukar pendapat dalam setiap hal,” tambahnya.

 

INTAN diakui Harris sebagai wanita yang cukup istimewa.

TUNGGU SOP

Bercakap soal majlis perkahwinan, ketika ini tidak dinafikan Harris sendiri dia juga masih belum mampu berkongsi apa-apa perkembangan terkini mengenainya.

Masih menunggu arahan pihak berwajib mengenai prosedur operasi standard (SOP), jelasnya, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ada undang-undang yang perlu mereka patuhi.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana majlis ini akan berlangsung. Memang dalam tempoh sekarang saya sendiri masih menunggu SOP baharu yang mungkin akan diumumkan.

“Soal persiapan semuanya sudah hampir mencapai seratus peratus. Saya dan Intan juga berada pada tahap yang cukup bersedia kini. Cuma itulah kalau ada apa-apa saya akan umumkan,” jelasnya.

Bercakap mengenai persediaan selepas perkahwinan, sebagai seorang anak seni tiada apa yang akan melambatkan proses kariernya untuk terus berkembang. Masih selesa untuk bergelar seorang penyanyi dan pengacara, tambah Harris ketika ini dia turut merancang untuk bergelar seorang usahawan.

“Saya akan teruskan kerjaya dalam bidang seni seperti biasa. Soal nyanyian dan dunia pengacaraan adalah minat utama saya sejak dari dulu.

“Memang ada rancangan untuk memulakan perniagaan. cuma buat masa ini tiada apa yang boleh saya kongsi lagi. Kalau sudah sampai waktunya akan ada pemberitahuan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×