Mahu mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah tentang kepentingan cecair pembasmi kuman, pelawak popular Achey dan syarikat pengeluar produk minyak wangi dan cecair pembasmi kuman, SugarBomb Worldwide Sdn. Bhd. menyumbangkan 10,000 botol cecair berkenaan kepada sekolah menengah dan tadika sekitar Lembah Klang.
Menurut Achey menerusi program SugarBomb Care For You, dia turut berpeluang bertemu sendiri guru-guru yang kini turut bergelar petugas barisan hadapan dalam membendung penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar sekolah.
“Saya turun padang bukan hanya kerana sebahagian kerja duta SugarBomb, tetapi inilah peluang saya mendekati dan mendengar luahan hati guru-guru.
“Sebelum ini, kakak saya yang juga seorang guru pernah memberitahu prosedur operasi standard (SOP) yang ditekankan di sekolah. Dalam hati, saya macam tak percaya. Tetapi, saya baru tahu betapa ketatnya kawalan keselamatan apabila saya sendiri turun padang ke sekolah.
“Guru tidak akan membiarkan tetamu, mereka sentiasa memantau dan mengikut hingga sanggup menghantar kami ke kereta ketika pulang. Ini bagi mengelakkan orang luar bertembung dengan pelajar sekolah.
“Besar betul pengorbanan guru dalam menjaga keselamatan pelajar, berpeluh-peluh mereka turun naik menyambut tetamu, selain membantu mengangkat barang,” katanya.
Mengakui turut gusar dengan peningkatan kes Covid-19 kebelakangan ini, Achey atau nama sebenarnya, Mohd. Nasir Hamzah, 34, berkata ini bukan alasan untuk dia tidak turun padang dalam memberikan bantuan kepada golongan sasaran ini.
“Siapa tak gerun keluar rumah pada saat pandemik dalam tahap membimbangkan. Tiada simptom pun boleh positif Covid-19.
“Bagaimanapun, saya melihat guru tidak pernah patah semangat apabila berkunjung ke PPD Klang, baru-baru ini. Dalam keadaan risau, saya diberitahu mereka tetap menjalankan tugas dengan baik.
“Kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini lebih mencabar apabila dilakukan pada saat pandemik dengan penekanan norma baharu. Walaupun artis, tetap kena ikut SOP ketat. Sebagai selebriti, saya perlu ada rasa tanggungjawab bagi membantu mencegah penularan Covid-19. Orang melihat petugas barisan hadapan berisiko tinggi, tetapi golongan guru juga sama,” jelasnya.

HARGAI PENGORBANAN GURU
Menolak persepsi sebahagian masyarakat yang beranggapan pekerjaan guru kini lebih mudah. Jelas Achey menyaksikan sendiri pengorbanan yang perlu dilakukan golongan ini turut menjentik dirinya untuk sentiasa bersyukur.
“Tanggungjawab seorang guru lebih besar apabila bertugas. Kita boleh lihat bagaimana sukarnya golongan guru ini membendung perkara yang tidak dingini daripada berlaku. Saya sendiri melihat bagaimana SOP ketat ditekankan dalam taska.
“Saya juga mahu berterima kasih kepada SugarBomb Worldwide kerana tidak kisah berkongsi rezeki pada saat kebanyakan syarikat mengambil langkah berjimat cermat.
“Difahamkan juga SugarBomb Worldwide turut merancang mengedarkan cecair pembasmi kuman
untuk kegunaan sekolah, setiap bulan. Bagi sekolah yang memerlukan cecair pembasmi kuman bolehlah menghubungi SugarBomb Worldwide. Bagaimanapun, ia mengikut kuota yang disediakan syarikat,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Urusan SugarBomb Worldwide, Ahmad Azhari Rosli berkata, program SugarBomb Care For You adalah sebahagian usaha mendekati golongan sasaran menerusi program CSR.










