MENERJAH ke tahun baharu, pastinya ada perubahan yang mahu dibawa pelawak ini. Dia tidak mahu sekadar berdiri selesa dalam satu zon sahaja. Dia perlu mencuba sesuatu yang baharu untuk kekal relevan.
Ramai yang tahu pelawak, Danial Zaini boleh menyanyi. Malah, suaranya bukan sekadar membasahi tekak. Dia juga bukan sekadar mahu jadi penyanyi atas dasar pujian rakan-rakan yang suaranya sedap ketika berkaraoke.
Lantas percubaan pertamanya, Siti Bilang benar mengubah landasan seninya. Tidak hanya bergelar pelawak, dia mencorak kanvas seni sebagai penyampai radio dan penyanyi. Berlakon pun dia tapau juga.
Namun dia masih belum puas. Mencuba nyanyikan sebuah lagu bergenre balada, itu memerlukan keberanian yang bukan calang-calang. Apatah lagi, ramai yang sudah melabel dia sebagai seorang pelawak dan penyanyi lagu-lagu rancak sahaja.
“Sebenarnya saya sudah rekod dan lancarkan lagu Ku Tak Rela ini sudah lama. Tetapi saya pakai topeng dahulu. Biar peminat berteka-teki. Tetapi akhirnya, saya tampil dengan muzik video yang menunjukkan siapa sebenarnya penyanyi lagu itu.
“Selama ini orang kenal saya sebagai pelawak. Jadi hidup saya perlu sentiasa gembira. Kalau saya berlakon sedih pun orang akan anggap saya melawak. Orang tak mahu tahu sedih dan derita saya.
“Jadi semua yang saya pendam selama ini diterjemah menerusi Ku Tak Rela. Saya juga manusia. Ada kala saya sedih dan derita. Tidak selamanya hidup saya berlangitkan awan biru dan pelangi indah,” katanya memulakan bicara.
Benar, bukan sesuatu yang mudah untuk seorang pelawak menukar tanggapan peminat. Namun bagi Danial, selagi tidak mencuba, dia tidak akan tahu untung rugi dalam mencatur strategi seninya sendiri.
Mengakui pernah sekali rasa mahu berhenti sahaja sebagai anak seni, Danial bulatkan semangat dan percaya kepada percaturan Tuhan. Maka perlahan dia mula merancang, bagaimana untuk kekal berdiri dalam industri.
“Memang saya pernah give up dalam industri. Selepas menang Lawak Solo, harapan peminat terlalu tinggi. Ketika itu, pelawak dalam negara memang ramai. Jadi peluang untuk saya ke depan agak sempit dan sukar.
“Ada yang masih belum kenal saya. Saya akui itu. Namun tidak mengapa, perlahan-lahan saya akan bina jenama diri. Mungkin karakter diri saya masih belum cukup kuat. Tak apa, saya beranikan diri untuk terus melangkah,” katanya.
BERDEPAN KONTROVERSI
Berbicara soal muzik video Ku Tak Rela, sorotan kehidupannya di awal penglibatan sebagai anak seni sekitar 2016 dibingkaikan dalam satu video. Namun, dia turut menyelitkan penderitaan ditinggal kekasih ketika itu.
Berdepan dengan kontroversi kononnya dia masih belum boleh melupakan bekas kekasihnya, Danial menarik nafas perlahan. Baginya, itu hanyalah sekadar mengimbau apa yang pernah dia lalui, bukan tanda belum move on!
“Saya sudah lama memendam rasa selama bergelar anak seni. Jadi saya kumpulkan semua kenangan dan jadikan satu penceritaan dalam muzik video itu. Ketika itu juga, saya putus cinta.
“Saya tidak ada isu dengan bekas kekasih. Masing-masing sudah ada kehidupan sendiri. Cuma itulah realiti yang berlaku. Kisah hidup saya yang mungkin tidak ramai tahu dan tidak sangka sama sekali,” katanya.

Membayangkan dirinya lima tahun lagi, Danial mahu dia berdiri sebagai seorang usahawan. Malah, dia juga sudah mula merancang untuk mengeluarkan produk makanan segera yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Dia akui, hayat hidup sebagai anak seni tiada jaminan. Maka, dia perlu segera merancang untuk membina jenama perniagaan sendiri. Sementelah, ramai anak seni sudah mula berniaga demi kelangsungan hidup.
“Dalam tiga hingga lima tahun lagi, saya mahu jadi seorang usahawan berjaya. Sekarang ini pun saya sudah ada produk makanan mee segera yang bakal masuk pasaran tidak lama sahaja lagi.
“Malah, saya juga mahu menjadi seorang produser. Mahu kerja belakang tabir, menerbitkan drama atau telefilem sendiri. Itu adalah antara impian saya yang bakal direalisasikan dengan izin Tuhan,” katanya.
Bercakap soal kerjaya, Danial bakal muncul dengan karya Selamat Hari Tak Jadi bergandingan bersama Janna Nick dan ramai lagi artis. Malah, dia juga bakal menjalani penggambaran telefilem selain meneruskan tugas sebagai penyampai radio.
“Saya juga sudah menyambung kontrak dengan stesen radio untuk dua tahun lagi. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya ada gaji bulanan. Saya juga terbuka untuk mencuba pelbagai watak. Kalau bukan sebagai pelawak pun boleh,” katanya.










