BUKAN sekali dua Jabatan Netizen ‘berang’ dengan senario komedi pelawak sekali yang didakwa tidak sensitif. Malah, kekerapan menggunakan lawak berunsur lucah juga sememangnya memualkan ramai pihak.
Tular di media sosial apabila salah seorang daripada ahli sebuah kumpulan lawak mengguna jenaka berunsur lucah sehingga ramai yang mengecam dan meminta permohonan maaf secara terbuka daripada pelawak tersebut.
Insiden itu akhirnya membawa kepada persoalan, adakah pelawak sekarang hanya mahu berjenaka tanpa memikirkan soal sensitiviti? Atau sebenarnya pemikiran kita belum cukup ‘dewasa’ untuk menerima lawak sebegitu?
Hits terus mendapatkan pelawak veteran, Hamid Gurkha yang dahulu pernah mewarnai hidup kita dengan lawak-lawak jenakanya. Dia selayaknya dianggap sebagai antara pelawak berpengaruh satu ketika dahulu.
Menyifatkan segelintir pelawak zaman kini tidak sensitif dalam berjenaka sehingga boleh mencalarkan dan memberi pandangan buruk terhadap dunia komedi tempatan, Hamid melontarkan pandangan.
Baginya, tugas pelawak bukan sekadar membawa gelak tawa namun lebih daripada itu. Pelawak juga harus memberi pengjaran dan mesej baik dalam berjenaka. Tidak boleh syok sendiri.
“Pelawak sekarang (segelintir) banyak buat komedi syok sendiri. Tidak fikir sensitiviti orang. Kami buat lawak dulu ada mesej, bukan komedi kosong sekadar nak buat orang ketawa semata-mata.
“Kadang-kadang ada segelintir pelawak yang buat jenaka syok sendiri. Tak ada mesej. Kelakar kosong sahaja. Kita buat lawak kena ada mesej dan jangan membuat penonton berkecil hati,” katanya.

Bukan mahu mendabik dada, jauh sekali menganggap diri lebih baik daripada pelawak lain, namun pengalaman hampir separuh abad dalam dunia komedi cukup menjadikan dia sebagai ‘garis panduan’ untuk bergelar pelawak.
Mengimbau zaman kegemilangan, pelawak berusia 89 tahun ini memang cukup terkenal dengan gelaran ‘pelawak kerajaan’.
Bukan kerana politik, namun kerana lawaknya sering kali disulamkan dengan mesej dan teladan baik.
“Sebab itu orang dahulu gelar kami ‘pelawak kerajaan’. Kita bantu menyalur mesej baik walaupun dalam berjenaka. Tapi itulah, kita ini hanya mampu beri pandangan. Siapa nak dengarkan.
“Jangan anggap pelawak sekadar penyeri industri. Kita juga mampu membentuk sahsiah masyarakat menerusi komedi bermoral,” katanya.
Berbicara tentang kehidupannya kini, Hamid lebih selesa duduk di rumah menikmati kehidupannya. Bukan tidak mahu berlakon atau melawak namun dia tahu, hayat seninya juga seiring ‘tua’.
“Saya okay sahaja kalau ada yang nak panggil berlakon sebagai cameo pun. Soal bayaran itu bukan keutamaan, tetapi biarlah berbaloi. Terpulang kepada produser.
“Saya juga selesa duduk di rumah anak-anak sahaja. Bukan hendak beli baju cantik-cantik pun. Pakai apa ada. ‘Zaman’ itu sudah berlalu,” katanya.










