MUNGKIN sudah menjadi trend apabila kebanyakan produser filem tidak kira tempatan atau luar negara menerbitkan naskhah dengan berkonsepkan zombie. Malah, kebanyakan filem pecah panggung juga lebih berunsurkan zombie.
Mungkin itulah salah satu sebab penerbit filem Zeta: When The Dead Awaken, Swan Studios yakin karya itu mampu menarik peminat filem bergenre thriller atau seram menontonnya.
Bakal menerjah ke pawagam rumah anda menerusi strim On Demand dan Astro First bermula Khamis ini, filem sentuhan pengarah popular Indonesia, Amanda Iswan ini bakal ‘mengigit’ peminat agar terpaku menonton.
Zeta membawa kisah seorang anak, Deon lakonan Jeff Smith, yang terpaksa menempuh pelbagai cabaran mendapatkan ubat untuk emaknya, Isma (Cut Mini) di kala negaranya berdepan wabak zombie.
Isma yang menderita Alzheimer tahap pertama menyerahkan tugas berat itu kepada anaknya yang baru berusia 16 tahun. Mereka anak-beranak terperangkap dalam apartmen ketika zombie mula menyerang.
Namun malang tidak berbau, usaha Deon tergendala apabila dia diserang zombie dan beberapa kelompok lain yang mementingkan diri. Sepanjang pencariannya, anak muda itu menempuh pelbagai serangan.
Malah, demi mempertahankan diri, Deon juga terpaksa menyerang Reza (Dimas Aditya), seorang pekerja binaan semata-mata untuk mendapatkan bekalan makanan. Namun, hati Reza tersentuh apabila mengetahui kisah sebenar Deon.
Selain nama-nama pelakon hebat, filem sentuhan skrip Amanda Iswan ini juga turut menampilkan Edo Borne membawa watak Reyhan, Joshua Pandelaki (Kolonel Vito)dan Willem Bevers (Richard).
FILEM ZOMBIE PERTAMA INDONESIA
Berbicara dengan pengarah filem Zeta: When The Dead Awaken, Amanda, filem zombie pertama Indonesia ini menerima sambutan menggalakkan daripada penonton negara republik itu.
Malah jelasnya, walaupun ada yang mengkritik filem tersebut namun, bagi Amanda, dia yakin filem Zeta bakal memberi kepuasan dan hiburan kepada penonton terutama dunia yang sedang berdepan pandemik.
Bercerita tentang cabaran mengarahkan filem zombie pertama Indonesia, Amanda berterima kasih kepada barisan kru produksi dan pelakon yang telah banyak membantu proses penggambaran filem tersebut.
Malah, Zeta: When The Dead Awaken merupakan filem pertama arahannya dan pastinya, tanggung jawab itu dipikul dengan bersungguh-sungguh apatah lagi itu merupakan filem yang dinanti ramai.
Namun soal sekuel filem itu, Amanda belum ada jawapannya lagi.
“Saya rasa aspek yang paling sukar adalah kenyataan bahawa kita harus mengambil hampir 13 adegan setiap hari, kerana masa penggambaran yang pendek. Namun, di sebalik kesukaran itu saya timba banyak ilmu.
“Banyak kru saya seperti pengarah fotografi, Amalia Trisnasari, pengarah seni, Benny Lauda dan solekan, Chaery Wirawan pernah memenangi anugerah. Jadi pengalaman itu cukup berharga,” katanya.










