KONTROVERSI demi kontroversi yang berlaku seakan memberi kelebihan buat perniagaannya ketika ini.
Malah dalam waktu yang sama nama pelakon ini juga turut tular di laman sosial yang sekali gus melonjakkan kembali popularitinya.
Walaupun kejadian yang berlaku dianggap negatif sesetengah pihak, namun bagi Zoey Rahman dia lebih senang untuk tidak melayan sebarang provokasi.
Menolak merancang kontroversi demi keuntungan diri, balas Zoey, sebagai seorang usahawan dia mempunyai prinsip tersendiri.
“Bermula dengan tular saya dihadiahkan kereta oleh pekerja kemudian melakukan aksi sujud di billboard produk saya memang tidak dinafikan apa yang berlaku ini bertalu-talu. Ikutkan ramai yang memberi komen negatif di laman sosial dengan apa yang berlaku.
“Jujurnya apa yang berlaku ini bukan satu perancangan daripada pihak saya. Tiada niat untuk saya tular dengan kejadian seperti ini. Memang apa yang berlaku di luar kawalan kami dan apa yang berlaku juga adalah sesuatu yang tidak dirancang,” katanya.
Terkenal sebagai seorang usahawan produk kecantikan kini, kongsi Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Abdul Rahman, sehingga ke saat ini dia tidak pernah terfikir mahu menggunakan sebarang laluan mudah untuk melonjakkan jualan produknya.
“Saya tidak akan menggunakan publisiti murahan untuk menjual produk. Memang itu yang saya praktikan sejak dahulu lagi. Jika ada yang beranggapan ini sekadar untuk memperkenalkan produk saya ,memang itu tidak pernah berlaku.
“Ketika ini juga produk saya, Mikaseries sudah berada di kedai-kedai utama. Jadi saya tidak perlukan cara pemasaran yang hanya akan mencalarkan jenama produk saya untuk dikenali,” katanya bersungguh-sungguh.
Menolak persepsi sesetengah pihak yang melihat pengasas produk sering menggunakan kekayaan untuk menarik perhatian.
Berbeza dengan Zoey, dia sentiasa melihat apa yang dimilikinya dalam bentuk yang berbeza. Enggan menyandang gelaran jutawan ketika ini, jelasnya dia lebih senang bagaimana perniagaannya ini mampu membantu lebih ramai orang.
“Mungkin ada yang berpendapat kalau pengasas produk sahaja kena mengaku jutawan dan tunjuk kekayaan. Bagi saya itu pendapat orang sahaja, gelaran jutawan itu masih jauh untuk saya capai ketika ini.
“Macam saya katakan tadi jenama Mikaseries sudah dipercayai, jadi saya tidak perlu terlalu menonjol selain memastikan produk saya ini ke hadapan. Cuma apa yang akan jadi masa akan datang kita tidak tahu, tetapi kalau ikutkan saya, memang tidak ke arah mempromosi diri seperti itu,” jelasnya.
MASIH SOLO
Pernah melalui episod percintaan lima tahun lalu, ketika ini Zoey akui masih selesa tanpa kehadiran kekasih. Namun di usia 36 tahun, dia tidak menolak turut menyimpan impian untuk bertemu seorang wanita suatu hari nanti.
“Ikutkan keluarga memang ada tanya soal ini, saya fikir pada usia sekarang bukan soalan luar biasa untuk ditanya. Cuma memang saya tidak nafikan masih belum bertemu dengan mana-mana wanita yang sesuai untuk dijadikan isteri lagi.
“Cuma bila fikir kembali, mungkin Allah bagi saya ruang untuk tumpukan kepada keluarga dahulu berbakti kepada ibu bapa. Tetapi dalam waktu yang sama saya tahu kena juga berusaha ke arah ini dan harapnya ada rezeki untuk berkahwin suatu hari nanti,” jelasnya.

Ditanya sama ada dia bersetuju penampilanya yang sentiasa nampak sempurna membuatkan wanita takut untuk mendekatinya, ketika ini Zoey tidak melihat itu sebagai suatu masalah untuk dirinya.
Sebagai pengasas produk kecantikan, menjadi keperluan untuk dia mempunyai penampilan yang meyakinkan dan dalam masa yang sama turut memberi imej yang baik buat jenama produknya.
“Saya tidak fikir sampai wanita takut mahu mendekati kerana penampilan. Namun perlu saya jelaskan penampilan adalah perkara utama yang dititik beratkan memandangkan saya turut mewakili jenama sendiri. Logiknya siapa yang akan percaya produk yang dikeluarkan pemilik yang tidak menjaga penampilan sendiri.
“Penampilan bukan sekadar pakaian sahaja, tetapi termasuk penjagaan kebersihan, kesihatan dan macam-macam lagi. Saya memang perlu luangkan masa dalam menjaga penampilan termasuk ke gim dan sebagainya,” katanya lagi.
Berkongsi apa yang belaku dalam percintaannya sebelum ini, sehingga kini masih belum ada wanita yang berjaya mengetuk pintu hatinya. Menolak trauma menjadi punca, kala ini ada ciri-ciri seorang wanita yang diperlukan untuk melengkapi dirinya.
“Kekasih saya dahulu seorang peguam, kami berpisah atas faktor kesibukan masing-masing. Jadi selepas itu memang tidak fokus lagi untuk bercinta dan bekas kekasih juga sudah berkahwin. Bukanlah trauma cuma masih belum bertemu yang sesuai.
“Kalau bercakap soal ciri-ciri wanita pilihan tidak rumit mana, cukuplah seorang yang pembersih selain memahami kerjaya saya,” katanya yang tidak menolak turut mencari seorang wanita yang ayu.
TERUS BERLAKON
Masih selesa untuk bergelar seorang pelakon ketika ini, balas Zoey, dunia lakonan tidak pernah dilupakan dirinya. Walaupun sibuk dengan kerjaya dalam dunia perniagaan namun dia akan tetap mencari ruang dalam melampias rindu untuk dunia lakonan.
“Memang ada terima tawaran berlakon dan saya tidak kisah dengan watak. Dalam tempoh sekarang saya lebih menghargai apa sahaja yang datang. Jujurnya dunia lakonan adalah sesuatu yang saya tidak akan tinggalkan.
“Tetapi tidak dinafikan dalam tempoh sekarang memang saya perlu bijak bahagikan masa. Memandangkan bidang perniagaan juga penting buat saya,” katanya.
Sementara itu, Zoey kini turut menjalankan kerjasama dengan syarikat Paluts Food Sdn. Bhd. dalam menghasilkan pelbagai produk berasaskan pisang.
Selain dirinya, Achey dan pelakon, Saharul Ridzwan turut melihat kemampuan produk ini untuk dipasarkan secara meluas ke seluruh dunia.
“Saya tak pernah keluarkan produk makanan sebelum ini. Jadi ini adalah percubaan kali pertama.
“Saya bersama Ridzuan yang juga pengasas jenama bersepakat untuk menjalin kerjasama ini dan diharapkan perniagaan makanan saya akan berjaya dan berkembang maju,” katanya.










