Shidi disingkir...tidak cukup pakej sebagai penyanyi - Utusan Malaysia

Shidi disingkir…tidak cukup pakej sebagai penyanyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aku rela
Hidup denganmu
Demi bahagia
Hanya tuhan bisa memisahkan kita

Bait-bait lagu Permaisuri ciptaan LY dan lirik oleh Baiduri ini cukup puitis dan menyentuh perasaan. Tidak keterlaluan menghakimi lagu inilah yang menjadi siulan peminat seterusnya menjulang nama Data yang berasal dari Pulau Pinang ini.

Seawal bangku sekolah lagi kumpulan ini sudah aktif bermain muzik. Dikenali dengan nama Emilia, semua anggotanya sudah memasang impian dan cita-cita untuk bergelar artis rakaman. Mereka lantas mengeluarkan demo tape dan mengedarkan ke beberapa syarikat rakaman di Kuala Lumpur.

Penantian itu satu penyiksaan. Sekian lama menunggu namun masih tiada khabar berita. Mereka buntu! Adakah kerana mereka tidak cukup bagus atau sememangnya tidak layak untuk bergelar artis?

Menutup tirai 2020, Mingguan Malaysia berpeluang menemu bual vokalisnya, Rashidi Rashid, 48 atau lebih dikenali dengan Shidi, mengenai sejarah awalnya dalam mengharungi onak ranjau sebelum bergelar anak seni.

“Pada awalnya penyanyi utama kumpulan ini ialah Oney. Saya hanya penyanyi kedua. Namun Oney akhirnya ambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menyertai Lipan Bara, sekali gus saya mengambil alih tempatnya,” katanya memulakan bicara.

Menurutnya, demo tape yang mereka hantar ke beberapa syarikat rakaman tidak dilayan.

“Waktu itu kami mula faham dan sedar diri, maklumlah siapa yang hendak ambil kami ini. Sudahlah dari kampung, selekeh dan tak handsome pula.

Kecewa

“Suatu hari Adnan Abu Hassan datang ke Pulau Pinang. Atas jemputan seorang rakan, dia datang ke studio untuk melihat kami audition. Katanya, kami cukup berbakat, lantas menyarankan supaya ke Kuala Lumpur dan berjanji akan mengatur perjumpaan dengan sebuah syarikat rakaman di sana,” jelasnya.

Dipendekkan cerita, kata Shidi, ketika di Kuala Lumpur syarikat rakaman Sony Music bersetuju mengambil mereka sebagai artis naungan mereka tetapi dengan syarat mereka mahu dia digantikan dengan penyanyi lain.

“ Ini kerana mungkin dari sudut pandangan mereka saya tidak cukup pakej atau muka saya tidak boleh dijual’ untuk menjadi seorang penyanyi,” ujarnya panjang lebar.
Shidi berasakan keputusan tersebut cukup tidak adil dan kejam baginya. Bayangkan selama ini dia dan rakan-rakan bekerja keras mencari tapak buat kumpulan ini, tetapi di saat akhir dia pula disingkirkan atas alasan yang tidak munasabah.

Walaupun sedih dan kecewa, namun demi impian rakan-rakan lain yang sudah sebelah kaki melangkah, dia akur lantas membawa diri pulang ke kampung di Pulau Pinang.

Impiannya untuk bergelar artis musnah. Hatinya benar-benar hancur ketika itu. Dia tidak sangka terpaksa berpisah dengan rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa bersama dengannya.

“Saya hanya mengikuti perkembangan rakan-rakan dari jauh. Ketika itu saya diibaratkan seperti orang jatuh ditimpa tangga. Sudahlah impian untuk bergelar artis berkecai, teman wanita juga pergi meninggalkan saya. Apa yang saya impikan semuanya terkubur dan hilang sekelip mata,” terangnya.

Namun katanya, pada suatu hari semua rakannya pulang semula ke Pulau Pinang. Mereka beritahu tidak boleh meneruskan perjuangan jika saya tiada bersama. Mereka dah cuba, tetapi tidak boleh.

“Saya tanya lagi bagaimana dengan proses rakaman yang dibuat sebelum ini, kata mereka belum siap sepenuhnya, malah mereka menyuarakan untuk undur diri dari syarikat berkenaan,” katanya.

Sejak itu mereka berjanji meneruskan perjuangan bersama-sama walau dalam apa keadaan sekalipun. Biarlah susah senang bersama.

Melalui satu perjanjian, Sony Music akhirnya ‘menyerahkan’ mereka kepada syarikat rakaman Happy Record. Mereka juga bersetuju untuk dikenali sebagai Data yang bermaksud ‘dari utara’.

Album pertama berjudul Sayu yang diterbitkan pada 1994 kurang mendapat sambutan. Tidak dinafikan ketika itu Data terpaksa bersaing dengan kumpulan-kumpulan hebat seperti Visa, Slam dan

Ukays yang seawalnya telah berjaya menambat hati peminat dengan lagu-lagu ‘berhantu’ mereka.

Data sekali lagi mencuba nasib dua tahun kemudian dengan mempertaruhkan album kedua berjudul Tunduk Mengalah. Walaupun kurang publisiti namun lagu-lagu mereka sudah mula diputarkan di stesen-stesen radio. Malah mereka juga sudah berjaya mempunyai peminat tersendiri.

“Ketika proses menerbitkan album seterusnya, sekali lagi kami bertukar syarikat rakaman. Data ‘diserahkan’ kepada EMI. Ketika itu EMI menaungi artis-artis bernama besar seperti, KRU, Sharifah Aini, Ella dan ramai lagi.

“Namun timbul rasa ketidakpuasan hati apabila kumpulan kami sering dipinggirkan dalam setiap rangka promosi dan publisiti, mungkin agaknya kami bukan anak emas atau kumpulan yang mampu menjana keuntungan buat syarikat,” jelasnya.

Undur diri dari EMI adalah langkah terbaik, katanya. Mereka sebulat suara pulang ke kampung meneruskan kerjaya di Pulau Pinang kerana pendapatan mereka tidak mampu untuk menampung kos sara hidup yang tinggi di ibu kota.

Di Pulau Pinang, jelasnya lagi, mereka bermain muzik di majlis keraian dan perkahwinan.

Kata Shidi, hampir setahun lebih juga mereka ‘bertapa’ di kampung sebelum seorang rakan lama dari syarikat rakaman menghubungi dan menawarkan peluang untuk mereka merakam album baru di bawah label baru.

Lagu Permaisuri yang dimuatkan dalam album ketiga, Kasih Ku Tetap Abadi diterbitkan pada 1998 sekali lagi meledak walaupun kemunculan mereka sekali lagi dilihat kurang menonjol dan jarang diberikan publisiti.

Mengekalkan corak konsisten dalam setiap album merupakan resepi kumpulan ini mampu bertahan lama sehingga berjaya menerbitkan 12 album termasuk rilisan kompilasi.

Menurut Shidi, kekuatan Data bergantung kepada nilai keakraban dan kerjasama yang cukup erat antara setiap anggota. Dia mengakui sehingga ke hari ini mereka masih bersama dan tidak pernah berpecah.

“Kami berasal dari tempat yang sama. Masing-masing sudah kenal hati budi, jadi setiap rezeki yang kami dapat dikongsi bersama. Ia bukan sekadar persahabatan, malah lebih daripada itu. Jujurnya, kami sudah seperti adik beradik.

“Saya masih ingat, mula-mula bertapak di Kuala Lumpur kami pernah bersama-sama menderita kerana langsung tidak ada duit. Waktu itu hanya Tuhan sahaja tahu betapa daifnya kehidupan kami. Bayangkan waktu itu tiga hari kami tidak jamah nasi. Yang ada hanyalah biskut kering untuk alas perut.

“Waktu itu orang di luar hanya ingat kami ini artis sentiasa loaded dan berduit. Sebenarnya indah khabar dari rupa. Bila show peminat nampak bergaya, pakai baju lawa-lawa ke sana sini, tapi hakikatnya poket kosong,” katanya mengakhiri perbualan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×