Konsert maya: Ella mahu kualiti, kesempurnaan - Utusan Malaysia

Konsert maya: Ella mahu kualiti, kesempurnaan

Ella tidak mahu ambil mudah soal kualiti sesebuah konsert yang mampu mencalar namanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGENALI ratu rock negara, Ella, dia sememangnya cukup comel dan manja. Setiap butir kata disusun dengan santun supaya tiada tersinggung tatkala berbicara. Itu adalah rahsia penyanyi yang sudah 35 tahun mewarnai dunia seni kita. Dia kalis kontroversi.

Kalau dikira dengan jari, mungkin tidak cukup untuk kita menghitung berapa konsert sudah dijayakan penyanyi Retak ini. Saban tahun, ada sahaja konsert dan persembahan berskala besar pasti pecah panggung.

Peminatnya hadir dari setiap lapisan masyarakat, tiada yang terkecuali.
Tidak hairan, tatkala negara berdepan pandemik Covid-19, ramai menawarkan penyanyi bersuara emas ini untuk mengadakan konsert secara maya.

Apatah lagi, pasti ramai peminat merindui persembahan penuh tenaga bintang seni ini setelah hampir dua tahun tidak mengadakan konsert.

Jauh di sudut hati, benar dia mahu menyempurnakan hasrat peminat. Beraksi di pentas walaupun secara maya. Namun, ada beberapa hal yang perlu dititik beratkan. Dia tidak mahu sekadar asal boleh sahaja. Semuanya harus sempurna, walaupun secara maya.

“Memang ada pihak menawarkan saya mengadakan konsert secara maya namun, banyak perkara perlu diambil kira. Banyak juga masalah terutama melibatkan kualiti bunyi semasa konsert berlangsung. Kalau boleh saya tak nak perkara itu berlaku.

“Peminat membayar untuk menonton konsert, tidak kira secara depan atau maya. Kepuasan mereka adalah keutamaan. Jadi saya tidak boleh ambil mudah lebih-lebih lagi kekuatan konsert adalah dari segi bunyi dan muziknya. Kalau sekadar asal boleh, minta maaf saya tidak akan kompromi.

“Buat masa ini saya tidak tolak, cuma meminta masa untuk fikirkan terlebih dahulu. Kalau masalah kualiti bunyi boleh diselesaikan, apa salahnya kan.

“Kita tunggu dan lihat sahaja. Mungkin sahaja tahun depan kita buat konsert secara langsung,” kata penyanyi berusia 54 tahun ini.

AINA SUDAH TERBANG TINGGI

Pernah menjadi tenaga pengajar kepada penyanyi meningkat naik, Aina Abdul dalam program Mentor Legend sekitar tahun 2014, Ella cukup bangga melihat anak didiknya kini terbang tinggi. Dia percaya, bakat Aina tidak seharusnya dipersia dan akhirnya, bintang penyanyi muda itu kini bersinar.

 

AINA ABDUL

 

Mengakui kekuatan vokal dan suara Aina adalah kunci kejayaannya, Ella mengharapkan agar bekas protegenya itu mampu bertahan lama. Malah, pemilihan lagu dan strategi seni harus selari supaya populariti serta kejayaan hadir sekali tanpa perlu kontroversi.

“Dari awal saya memang lihat bakat Aina itu cukup luas. Saya cukup bangga melihat dia kini semakin terbang tinggi dalam dunia seni. Saya percaya, dengan bakat dan lagu ciptaannya, dia mampu untuk terus berlari dan mencipta kejayaan sendiri kelak.

“Mungkin satu hari nanti, kami akan keluarkan lagu duet bersama. Mungkin sahaja. Tetapi lebih baik dia fokus bina kerjayanya terlebih dahulu.

“Saya kalau boleh nak dengar suara dia sahaja. Memang sedap sangat. Dia cukup berbakat. Susah nak cari penyanyi seperti dia.

“Dia tak buta muzik dan tahu apa yang terbaik untuk dirinya. Itu adalah kualiti seorang penyanyi untuk bertahan lama. Saya doakan agar bintangnya terus bersinar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×