fbpx

8 Mac 2021, 6:13 pm

  TERKINI

Kenangan tahun pandemik

KEJAYAAN Margosa dan Fazleena Hishamuddin memenangi Anugerah Lagu Indie 2020 melalui lagu Penawar adalah antara perkara yang paling diingati sepanjang 2020. MINGGUAN/ SHAHRIL AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang berkata, tahun 2020 ini bagai tidak terasa kehadirannya. Akibat pandemik Covid-19 dan majoriti tahun ini dihabiskan dalam sekatan pergerakan pelbagai versi, tak banyak kenangan yang dapat dikumpul.
Begitu juga untuk scene independen tempatan. Paling terasa apabila sangat sedikit gig yang dapat dianjurkan.
Tahun 2019 ditutup dengan sangat baik buat scene independen. TAPAUfest kembali dan dilangsungkan dengan sangat meriah. Nusantarocks menggegar kemudian ditutup dengan penganjuran kali pertama TAPAUawards. Kugiran seperti Toko Kilat melangsungkan jelajah seluruh negara. Harapan baharu scene seperti No Good dan A. Limin melancarkan abum dan EP masing-masing.
Tahun 2020 juga dibuka dengan baik apabila Kugiran Masdo berjaya membawa panji independen ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu (AJL).

Norma baharu scene
Banyak juga artis independen tempatan melancarkan album atau EP mereka tahun ini. Antara yang perlu diberi perhatian adalah Jalan Abbey oleh Kugiran Masdo, Perang Halimunan oleh Monoloque, Patah Hati oleh Edy J. Herwan dan Emo Department oleh Pasca Sini. Tidak ketinggalan rilisan saat akhir sebelum 2020 menutup tirai seperti Vantablack oleh LUST.
Namun, ada juga pelancaran album yang terpaksa ditangguhkan kerana korona. Antaranya, album ketiga Sekumpulan Orang Gila (SOG), 2nd Voyage yang sepatutnya dilancarkan tahun ini bersama jelajah mereka ke seluruh Asia. Begitu juga dengan album terbaharu Couple. Setakat ini, kedua-dua kugiran itu hanya sempat melancarkan single bersama video muzik masing-masing.
Lebih menarik adalah bagaimana artis-artis independen ini mengetepikan halangan akibat norma baharu Covid-19 dan terus menghiburkan peminat dengan cara mereka. 2020 menyaksikan kebanjiran acara digital setelah acara fizikal tidak lagi dibenarkan (kecuali untuk acara-acara yang mendatangkan banyak duit seperti Gegar Vaganza, Anugerah Bintang Popular dan Anugerah Meletop Era).
Kugiran Masdo menutup tirai tahun pandemik dengan konsert secara strim langsung dari Istana Budaya, anak-anak emo menganjurkan acara strim langsung Sadtember pada September dan legenda Oi! Malaysia, ACAB mengadakan gig dalam talian ACAB 1312 dua minggu lalu.
Begitu juga dengan penganjuran The Platform Live oleh Skesh Entertainment yang memberi peluang kepada peminat menikmati persembahan secara langsung walaupun secara strim langsung.
Paling diingati pastilah penganjuran Anugerah Lagu Indie (ALI) yang menjadi penyelamat pada tahun pandemik ini. ALI menghidupkan semula kemeriahan scene independen dan membantu banyak artis memperkenalkan karya mereka. Tidak keterlaluan mengatakan ALI adalah perkara terbaik terjadi kepada scene independen tahun ini.

Comeback!
Tidak dijangka juga, 2020 menjadi tahun untuk beberapa kugiran lama membuat kemunculan semula.
Bermula dengan pengumuman pembentukan Pohon Sidra oleh bekas gitaris Komplot, Amrud. Ia diteruskan dengan ACAB yang kembali aktif, malah salah seorang penggeraknya, Edy J. Herwan menghasilkan album solo.
Massacre Conspiracy melancarkan single, Nothing Lasts Forever setelah sekian lama sepi dengan rilisan baharu. Killeur Calculateur juga akan mengumumkan album baharu tapi hanya akan dilancarkan pada tahun hadapan.
Dua singer-songwriter, Reza Salleh dan Azmyl Yunor juga tampil dengan rilisan baharu tahun ini manakala Modread cemerlang dengan dua single yang keras dan nakal, Mengarut serta Melarayu. Dua bekas ahli kugiran Roti, Amran dan Aliff masing-masing menghasilkan produk tahun ini. Aliff bersama The Alif dan Amran bersama Blocksevenfive.

Tahun penuh warna
Untuk senarai rilisan terbaik atau apa-apa anugerah tahun ini, anda boleh rujuk beberapa media independen seperti Junklist, Muzik Kita dan Music Addicts Malaysia. Senarai finalis TAPAUawards 2020 juga cukup untuk menjadi gambaran produk-produk terbaik scene independen tahun ini.
Cuma yang boleh saya simpulkan, scene independen tidak juga mati walaupun diserang pandemik yang gila. Tahun ini adalah tahun untuk artis-artis independen mengumpul kekuatan. Saya percaya, tahun hadapan akan menjadi tahun yang lebih gemilang untuk scene independen.
Tahun pandemik rupanya bukanlah tahun yang gelap, atau kelabu. Ia tahun yang penuh warna dan menjanjikan seribu satu potensi buat scene independen.  – Rondivu, Mingguan Malaysia