Dulu macam tiada standard - Elizabeth Tan - Utusan Malaysia

Dulu macam tiada standard – Elizabeth Tan

Elizabeth Tan mahu tamatkan zaman bujang ketika usia 30 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIA tidak bercakap mengenai orang lain. Sebaliknya, apa yang disebut dan dimaksudkan itu adalah semata-mata buat dirinya yang sebelum ini pernah gagal membina hubungan percintaan yang berpanjangan.

Bukan soal berapa orang lelaki yang pernah mengisi ruang hatinya, tetapi adakah setiap kali jatuh cinta, dia belajar untuk mengasihani dirinya sendiri.

Pernah mengalami depresi hanya kerana cinta, Elizabeth Tan seboleh-bolehnya tidak mahu menoleh ke belakang, mengenang cerita lama.

Namun sebagai seorang manusia biasa, penyanyi ini mengaku adakalanya pengalaman lampaulah yang menyuntik kesedaran dan menjadikan siapa dirinya sekarang.

“Kalau bukan kerana apa yang berlaku dulu, atau percintaan yang dulu-dulu, mungkin saya tidak belajar untuk lebih menyayangi diri atau meletakkan keutamaan pada diri sendiri.

“Dulu, saya ni macam tiada standard. Lelaki melayan dengan buruk pun saya okay. Bahkan kena pukul pun saya okay. Ya, saya pernah kena pukul dengan bekas teman lelaki,” katanya.

Menurut penyanyi yang mesra disapa sebagai Lizzy ini lagi, dia sendiri sukar mengerti mengapa dia sebegitu tangguh untuk berada dalam perhubungan tidak sihat seperti itu dahulu.

Pun begitu, selanjut usia yang kini sudah mencecah angka 27, dia tidak mahu menjadikan pengalaman hitam dahulu sebagai alasan untuk menutup pintu hati buat mana-mana lelaki baharu yang ingin mendekati.

“Dalam hidup ini, memang ada ketika kita akan berdepan dengan macam-macam perkara yang menguji. Malah, saya sendiri tak dapat memberi jaminan yang saya mungkin tidak akan kemurungan andai kata ditakdirkan bercinta lagi.

“Sebab, kalau pasangan kita itu hendak menipu atau berlaku curang, dia tetap akan buat dan sanggup mengkhianati perhubungan sedia ada.

“Apa pun yang terjadi, saya sendiri kena matang dan tahu di mana letaknya harga diri. Paling penting, sayang diri sendiri dulu,” katanya.

TIGA TAHUN LAGI

Dalam pada itu, mengaku kini sedang mengenali seseorang, Lizzy bagaimanapun enggan memberitahu siapakah jejaka tersebut kerana beberapa sebab.

Pertama, kerana perkenalan itu masih awal dan tentunya kerana dia enggan terlalu gelojoh bercerita mengenai sesuatu yang tidak pasti.

Namun apa yang paling utama, kata Lizzy, dia belum bersedia untuk kehilangan peminat-peminatnya yang tentunya akan luluh hati mengetahui dirinya sudah ada kekasih.

“Tak mahu cakap apa-apa sebab takut jejaskan karier. Nak jaga hati peminat juga kerana rata-rata peminat saya terdiri daripada golongan lelaki.

“Hubungan saya dengan kelompok peminat boleh dikatakan akrab dan antara sebab utamanya kerana kami semua berkongsi minat tentang dunia permainan maya,” katanya.

Bagaimanapun, Lizzy tidak mahu menipu bahawa dirinya sudah memasang angan-angan untuk menutup kisah solonya dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Tetapi jangan salah faham, itu cuma angan-angan. Bukan bermakna saya sudah merancang nak kahwin dalam tempoh itu.

“Kalau sudah jumpa lelaki yang tepat dan andai ada jodoh, memang saya berazam nak tamatkan zaman bujang ketika usia 30 tahun. Itu sasaran saya,” katanya.

 

Filem Gila Gusti akan menyaksikan satu lagi naskhah baharu lakonan Lizzy sebagai seorang gadis gelanggang.

MEMANG GILA GUSTI

Menyingkap perihal kerjayanya pula, kongsi penyanyi yang juga pelakon ini, filem Gila Gusti akan menyaksikan satu lagi naskhah baharu lakonannya sebagai seorang gadis gelanggang.

Bakal ditayangkan pada tahun hadapan, filem tersebut yang menyuntik elemen pertarungan gusti ternyata membuatkan Lizzy tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran tersebut sejak dari awal.

“Tiada sebab lain. Saya memang lekas berikan kata putus untuk menerima tawaran filem ini kerana elemen pertarungan gusti tersebut.

“Saya memang suka gaduh-gaduh atau apa sahaja adegan perlawanan. Pendek kata apa sahaja yang berkaitan dengan sukan lasak atau ekstrem, saya suka,” katanya yang memegang watak Julia.

Menurut Lizzy, ia juga menjelaskan mengapa dia boleh dikatakan obses dengan permainan maya atau dalam talian yang menjadi kegilaan ramai pada masa kini.

“Bagi sesiapa yang mengenali, mereka akan tahu yang saya ni memang kuat main game. Kalau tiada kerja dan duduk di rumah, memang itulah aktiviti yang saya suka buat.

“Saya pernah habiskan masa selama 100 jam untuk main permainan Final Fantasy manakala 500 jam untuk tamatkan permainan Animal Crossing dalam talian.

“Kalau daripada aspek sukan ekstrem pula, rasanya ramai tahu sudah setahun saya secara peribadi menyertai kelas pertarungan seni bela diri campuran (MMA),” katanya.

Berkongsi mengenai dunia lakonan, Lizzy yang nampaknya semakin selesa untuk bergelar seorang pelakon bagaimanapun mengaku dirinya perlu bersikap selektif demi memberikan yang terbaik dalam lakonan.

HARAPAN TAHUN BARU

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sambutan Hari Natal, Lizzy yang lazimnya menyambut bersama keluarga bagaimanapun tidak mengharapkan sambutan yang luar biasa sementelah seluruh dunia masih belum selesai memerangi pandemik Covid-19.

Tidak pula menganggap suasana menjadi membosankan, Lizzy menganggap apa yang paling penting adalah dia dapat berada di samping keluarganya yang tersayang.

“Saban tahun kami akan berkumpul dan makan malam bersama, apalagi dalam keadaan sekarang memang tidak boleh ke mana-mana sangat.

“Saya pun bukan seorang yang gemar berada di tempat keramaian, jadi cukuplah bersama keluarga sahaja. Tidak terasa perbezaaan yang ketara untuk Krismas kali ini.

“Namun mungkin kalau hendak dibandingkan, kemeriahan akan paling kurang dirasakan jika menyambut Tahun Baharu Cina,” katanya.

Meletakkan harapan penuh agar pandemik ini segera berakhir, Lizzy optimis agar kehidupan akan menjadi lebih baik menjelang sinar tahun 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×