Azmyl Yunor berbicara tentang folk dan kekuatannya - Suara satu orang - Utusan Malaysia

Azmyl Yunor berbicara tentang folk dan kekuatannya – Suara satu orang

AZMYL YUNOR - MINGGUAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA minggu lalu, sedang saya berbaring dalam bilik sewa, Facebook menghantar notifikasi.
Kata Facebook, ada seseorang menambah saya sebagai rakan. Biasanya saya akan buat tak endah tetapi nama yang menambah saya itu saya kenal.
Seseorang itu ialah Azmyl Yunor. Buat seketika, saya rasa seperti sedang berhalusinasi. Macam tak percaya.
Saya tidak pernah kenal Azmyl Yunor secara peribadi. Saya juga tidak pernah melayan karyanya secara serius sebelum ini tetapi saya tahu, dia nama besar dalam scene underground.
Sebelum saya kenal Meor Pesta Jiwa dan Nik Jidan, saya dengar nama dia dahulu. Selepas Kembara dan Kopratasa, Azmyl Yunorlah penyanyi folk Malaysia yang saya tahu.
Peluang mewawancaranya untuk artikel ini saya gunakan sebaiknya untuk memerah sebanyak mungkin pengetahuan dan pengalamannya tentang folk.
“Folk ini penting sebab dia suara satu orang, suara seseorang. Kalau kugiran, ramai.
“Folk ini lagu rakyat dan ia datang daripada seorang rakyat. Itu yang buat aku rasa, ia menakjubkan. Hanya dengan satu tubuh, dia boleh bersuara,” kata Azmyl ketika diminta menjelaskan, mengapa dia memilih folk?
Walaupun ada kugiran yang menyanyikan lagu folk, Azmyl melihat kepuasan dirinya dapat dicapai dengan tampil sebagai penyanyi solo. Berdiri menyampaikan lagu seorang diri dengan hanya ditemani gitar dan kadang kala harmonika bagai satu terapi diri untuk melawan ketakutan dan membentuk keyakinan.
“Kalau kita lihat sejarah perlawanan terhadap kezaliman, hero biasa seorang. Nelson Mandela, seorang. Cuma dia tak ada gitar.
“Bob Dylan, imejnya sebagai seorang lelaki dengan gitar sangat kuat. Itu yang buat aku tertarik. Aku teroka hal ini semasa busking dan ia buat aku yakin yang aku boleh buat benda ini: bersuara seorang diri,” katanya.
Selain Dylan, Azmyl juga dipengaruhi R.E.M., The Beatles, Nirvana, Iwan Fals dan Meor Pesta Jiwa.
Bagi saya, kejayaan terbesar Azmyl adalah menghasilkan bunyi folk Malaysiana. Ia sukar kerana pengaruh folk dari Amerika Syarikat dan Indonesia sangat kuat. Seseorang penyanyi perlu ada jati diri yang sangat kuat untuk keluar dari pengaruh itu, jika mahu bermain folk.
Lagu-lagu Azmyl mewakili suara masyarakat Malaysia 2000-an. Dari segi gaya bahasa dan kandungan liriknya, kita berasa dekat dengan karyanya.
September lalu, Azmyl melancarkan album baharunya, John Bangi Blues. Ia sebuah penghargaan terhadap bandar Bangi yang didiaminya sejak puluhan tahun lalu.
Lagu-lagu dalam album itu sangat sederhana tetapi memikat. Topiknya tidak berat (kalaupun berat, ia disampaikan dengan ringan). Ia membawa suara masyarakat pertengahan separa urban.
Lebih menarik lagi, album kali ini lebih rock n roll tanpa meninggalkan asas folk. Ia mengingatkan kita tentang kontroversi ‘Dylan went electric’ 55 tahun dahulu, apabila legenda folk itu merakamkan separuh daripada lagunya dalam album Bringing It All Back Home dengan iringan instrumen elektrik.
Bagi Azmyl, apabila Dylan menolak untuk terikat dalam ‘doktrin gitar akustik’ oleh komuniti folk ketika itu, itulah folk yang sebenar.
Kesemua 10 lagu John Bangi Blues diringi ‘gorengan’ Telecaster menjadikan album ini sesuatu yang segar dan bertenaga.
Satu hal tentang Azmyl, dia terbuka terhadap perubahan muzik dan peredaran zaman. Kami banyak berbual tentang penyanyi baharu yang turut memainkan genre folk dan tiada kecaman yang keluar dari mulutnya. Tiada bau-bau elitis mahupun purist.
Folk zaman kini yang dibawa oleh penyanyi dan kugiran seperti Bayangan, Mafidz dan Dewataraya lebih ke arah perasaan, tidak lagi pekat dengan kritik sosial juga politik. Bagi Azmyl, ia berpatutan dan tidak menyalahi mana-mana ‘doktrin’ tentang folk.
“Folk sangat luas. Macam aku lebih kepada folk rock. Macam Bayangan, ada yang panggil itu neo-folk. Dia folk tetapi gelap, ada mood. Kita kena terima spektrum yang berbeza ini,” katanya. –Rondivu, Pancaindera

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya