Aiman Tino ‘hilang’ arah? - Utusan Malaysia

Aiman Tino ‘hilang’ arah?

AIMAN TINO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAH bergelar antara penyanyi lelaki paling popular sekitar 2014, figura seni ini pernah bikin peminat histeria apabila mata bertemu mata. Itu antara kisah yang sampai kini masih terpahat dalam memori.

Bukan mudah sebenarnya mahu kekal popular dalam industri seni. Radar populariti itu boleh turun naik mengikut arus. Adakala sehebat mana pun percaturan, namun kalau nama bukan rezeki maka siapa kita mahu menidakkan.

Bagi Aiman Tino, dia sedar ada pasang surut dalam industri. Namun itu bukan bererti bendera putih harus dikibar. Masih terlalu awal untuk dian menyerah kalah. Perjuangan harus diteruskan.

Persaingan sengit pendatang baharu bukan sesuatu yang harus dirisaukan. Dia sudah ada tapak sendiri. Berdiri teguh. Namun, dia berperang dengan kemahuan diri dan permintaan industri.

Seringkali dilabel penyanyi lagu sendu, Aiman mengakui dirinya juga sudah mula ‘hilang’ arah. Dia mahukan pembaharuan. Impian sesuatu yang berbeza namun dia tahu belum masanya.

“Memang saya dilihat lebih senang di zon selesa. Menyanyikan lagu-lagu jiwang, sendu dan meleweh. Namun, jauh di sudut hati, saya juga mahu mengubah genre. Mencuba sesuatu yang berbeza.

“Banyak kali juga saya menyuarakan permintaan itu kepada pihak pengurusan namun, mungkin bagi mereka belum masanya. Peminat masih mendambakan lagu-lagu sebegitu daripada saya.

“Tetapi satu hari nanti saya akan cuba juga. Kena berani ambil risiko. Kalau tidak selamanya saya akan selesa sebegitu. Mungkin peminat juga akan mula bosan dan hilang minat,” kata pemuda berusia 22 tahun ini.

 

AIMAN tidak malu berniaga Char Kuetiau di AEON Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

DENDAM SIMPATI

Mahu cuba mencipta lagu sendiri, Aiman menyimpan hasrat merakamkan lagu-lagu yang kini mula menjuarai carta. Mengagumi beberapa komposer seperti Ippo Hafiz dan Akim Ahmad, Aiman mahu mencuba genre mereka.

Tampil dengan single baharu, Dendam Simpati, Aiman harus memberi fokus kepada lagu tersebut sebelum mencuba sesuatu yang baharu. Malah, dia baharu sahaja merakam lagu yang bakal dilancarkan Januari ini.

“Memang saya nak sangat cuba buat lagu sendiri. Mungkin ketika itu saya akan mula yakin untuk mengubah genre. Tetapi saya memang berjiwa orang lama. Suka lirik puitis dan kiasan.

“Pernah juga bertemu Ippo dan menyuarakan hasrat menyanyi lagu ciptaannya. Namun, disebabkan pandemik dan beberapa halangan lain, hasrat itu terpaksa ditangguh,” katanya.

Tidak mahu sekadar bergelar penyanyi, Aiman makin selesa berlakon. Mengakui turut menerima beberapa tawaran tahun ini, dia seronok mencuba sesuatu yang bukan impiannya.

“Saya perlu beri fokus kepada mempromosi single baharu juga. Saya juga bakal terlibat dalam drama bersiri, Mok Cun dan sebuah program di Astro Ceria,” katanya.

KENAPA NAK MALU

Baru sahaja melancarkan kedai Char Kuetiau di AEON Wangsa Maju baru-baru ini, sudah ada cerita kurang enak yang berlegar. Entah kenapa, ada sahaja mereka yang ‘dengki’ dengan pencapaian Aiman Tino.

Diaju soalan apabila ada yang mengatakan tindakan Aiman membuka kedai adalah kerana sudah tidak laku, penyanyi itu tergelak sendiri. Bagi pelantun lagu Ku Rela Dibenci ini, masih ada rupanya manusia berfikiran kolot.

Apatah lagi di kala pandemik ini, sesiapa pun perlu berusaha mencari pendapatan demi kelangsungan hidup. Maka, kata-kata sini seperti itu dihiraukan sahaja. Tidak perlu berkecil hati.

“Sebagai anak seni, pastinya kita mahu menggunakan nama untuk mempromosikan produk. Itu adalah perkara biasa. Rata-rata artis kini mula berniaga. Mencari wang untuk masa depan.

“Kalau ada yang tanya ‘tak malu ke jual Char Kuetiau’, saya buat bodoh sahaja. Itu adalah pendapat daripada mereka yang tidak berfikiran jauh. Tidak usah kita kisahkan sangat.

“Saya sendiri pernah berniaga Char Kuetiau sebelum bergelar artis. Jadi kenapa kena malu? Malah, dari situ peminat juga dekat dan boleh merasa sendiri air tangan saya,” katanya.

KONTROVERSI JADI PEDOMAN

Berdepan beberapa kontroversi sepanjang empat tahun bergelumang dalam dunia hiburan, Aiman banyak memperbaiki diri. Tidak mudah rebah kerana kontroversi, penyanyi muda ini bangkit terus melangkah.

Sedar diri masih muda dan banyak kesilapan yang dilakukan, Aiman bagaimanapun mahu semua memberi peluang kepadanya dan melupakan episod hitam yang pernah tercoret dalam kanvas seninya.

“Memang sehingga sekarang masih ada yang menggunakan kontroversi yang berlaku itu sebagai bahan jenaka atau sekadar soalan panas. Tidak mengapa, saya tidak marah pun. Apa yang berlaku itu satu pengalaman.

“Kita belajar daripada kesilapan. Alhamdulillah, kontroversi tidak menutup periuk rezeki saya. Cuma kesan itu masih ada. Terutama haters. Tetapi benda dah lepas, jangan dikenang-kenang,” katanya.

Mengakui masih solo, Aiman tidak mahu fokusnya dalam dunia seni terganggu dek kisah cinta. Baginya, di tangga usia 22 tahun ini, lebih baik dia berkerja keras mencari wang untuk simpanan masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×