Yonnyboii hadiahkan peminat Salahku 3.0 - Utusan Malaysia

Yonnyboii hadiahkan peminat Salahku 3.0

YONNYBOII
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nama penyanyi ini kini tidak lagi asing bagi peminat muzik tanah air. Muncul dengan pelbagai idea berbeza untuk setiap karya, Yonnyboii dilihat sebagai satu lagi bakat yang cukup bernilai.

Baru sahaja muncul dengan lagu Boleh Bla pada September lalu, kini penyanyi yang mesra disapa sebagai Yonny ini sekali lagi membuat kejutan dengan melancarkan versi terbaharu single terdahulunya, Salahku.

Memilih judul berbeza, Salahku 3.0, Yonny yakin tiada sebab untuk peminat berasa keliru dengan kelainan yang dibawakan dalam dua lagu Salahku sebelum ini.

“Saya tidak rasa peminat akan keliru pun sebab melalui Salahku 3.0 ini ibarat hadiah buat peminat. Istimewanya mengenai lagu ini bagaimana ia menerima 100 peratus sentuhan saya berbeza daripada lagu sebelum ini.

“Apa yang saya tekankan dalam lagu Salahku 3.0 melalui gubahan muzik, tetapi tidak ada masalah sebenarnya jika masih ada yang suka versi terdahulu. Saya hanya wujudkan pilihan yang dalam masa yang sama mahu versi ini juga didengar peminat di luar sana,” katanya.

Tidak kisah jika ada yang terus mempertikaikan keputusannya untuk muncul dengan Salahku versi baharu ini, bagi Yonny atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, walaupun perubahan yang dilakukan ke atas ini kecil namun ia membawa makna yang besar untuk dirinya.

“Lagu yang siap dicipta pada Jun 2019 ini sebenarnya mempunyai dua versi terdahulu, versi demo berdurasi dua minit yang pernah dikongsikan di media sosial dan versi penuh berdurasi empat minit yang dilancarkan pada April tahun ini.

“Dalam versi terbaharu ini, lagu ini bukan sahaja diberi gubahan yang lebih segar malah lirik lagu ini juga dirombak sedikit bagi menyuntik semangat dan jiwa berbeza kepada lagu ini.
“Walaupun perubahannya nampak kecil namun ia membawa makna yang sedikit berbeza. Saya menyerahkan kepada peminat untuk menilai apa yang cuba saya sampaikan menerusi versi terbaharu ini,” katanya.

Sementara itu, video muzik rasmi Salahku sehingga kini sudah berjaya menjana lebih 6 juta tontonan sejak dilancarkan pada Ogos lalu.

Bakal muncul dengan album pertamanya tahun hadapan, Yonny memberitahu, ada mesej yang ingin disampaikan melalui lagu-lagu dalam album ini kelak. Enggan lagi dikenali sebagai penyanyi yang menjadikan lagu-lagu sedih sebagai identiti, dia yakin album ini bakal mengubah perspektif tersebut.

“Setakat ini hampir 60 peratus album ini sudah disiapkan, kalau tiada apa mungkin akan dilancarkan tahun hadapan. Jika sebelum ini saya dikaitkan dengan lagu-lagu sedih sahaja, tetapi melalui album ini saya mahu buktikan sesuatu yang berbeza.

“Saya memuatkan 20 lagu dalam album ini termasuk lagu demo. Kita tidak tahu, kadang-kadang lagu demo ini tidak disukai kita yang menciptanya tetapi mungkin ada orang di luar sana yang boleh menghargainya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×