Terus kibar panji grunge - Utusan Malaysia

Terus kibar panji grunge

MADDAME ... - MINGGUAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU sebut grunge di Malaysia, kita tak dapat lari daripada mengaitkan genre muzik itu dengan Butterfingers.

Nama Butterfingers terlalu besar sehingga ia menyukarkan peminat menerima kugiran baharu.

Namun, ada juga beberapa kugiran yang bersama membawa panji grunge dan berjaya keluar daripada bayang-bayang Butterfingers. Antaranya ialah maddame…, kugiran asal Kuantan yang dikepalai Josiah Hogan.

Ditubuhkan pada 2005, maddame… sebenarnya sudah melalui beberapa peristiwa perpecahan yang hampir menguburkannya tetapi seperti tapak sulaiman, tiap kali anggotanya putus ia diganti dengan yang baharu.

Bermula hujung tahun lalu, kugiran itu dianggotai Josiah sebagai vokalis dan gitaris, Azri di posisi bass dan Megat bermain dram.

Sesuatu yang menarik tentang maddame…, mereka terus setia dengan genre grunge walaupun kurang mendapat sambutan sekarang.

Berbeza dengan 29 tahun lalu, satu dunia dirasuk semangat grunge melalui penerbitan album Nevermind oleh Nirvana. Kurt Cobain menjadi pujaan dan lagu Smells Like Teen Spirit menjadi antem anak muda.

Bercerita tentang grunge, Josiah mengakui semangat muziknya hadir selepas menonton persembahan Butterfingers buat pertama kali di Kuantan.

Ada yang istimewa pada grunge, menurut Josiah. Ini kerana grunge lebih sederhana dan tidak begitu menonjol dari segi fesyen berbanding satu lagi subbudaya yang menjadi ikutan anak muda ketika itu, iaitu punk.

“Mudah kata, grunge ini punk yang lebih arus perdana, lebih pop,” katanya.

Bukan sahaja fesyen, dari segi muzik juga ada perbezaan antara grunge dengan punk, menurut Josiah.

“Grunge lebih teknikal. Macam dulu banyak pengaruh daripada kugiran old school hardcore macam Black Flag, Skid Row.

“Dari segi lirik, grunge lebih banyak kepada meluahkan perasaan, rasa tak puas hati. Benda-benda yang senang orang faham macam kena buli di sekolah; lebih peribadi,” jelasnya.

Mengakui kesukaran untuk mencipta lagu kerana susah untuk keluar daripada bayang-bayang nama besar grunge seperti Nirvana, Soundgarden dan termasuk Butterfingers sendiri, Josiah dan ahli kugirannya akhirnya menemui keunikan mereka yang tersendiri.

“Macam aku sendiri, aku dari Amerika Syarikat. Jadi ada minat pada cowboy, bunyi-bunyi country.

“Ahli lain pun akan menyumbang. Macam sekarang ada Megat yang lebih kepada metal, Azri pula lebih kepada stoner rock dan pernah main kugiran pop.

“Cuma ini satu proses yang panjang (untuk membina bunyi tersendiri),” katanya.

Pada 27 September lalu maddame… mengadakan persembahan secara strim langsung bagi melancarkan dua video muzik lagu terbaharu mereka selain untuk memperkenalkan barisan anggota baharu.

Dua lagu tersebut, The Vow dan Everything To Gain ternyata menarik minat pendengar mereka yang sekian lama menantikan buah tangan terbaharu daripada kugiran ini.

Lebih menarik lagi, The Vow adalah percubaan maddame… untuk menarik pendengar baharu dengan lagu yang lebih perlahan, berbeza dengan lagu-lagu yang menjadi single utama mereka sebelum ini.

The Vow dah dicipta lama, pada 2017 cuma ketika itu tak sempat rakam. Jadi, apabila Azri dan Megat masuk, aku rasa kena siapkan lagu itu.

“Kami nak buat lagu yang ramai orang boleh dengar. Itu yang istimewa tentang grunge, ia lebih fleksibel,” kata Josiah.

“Dalam dua lagu ini juga boleh dilihat perbezaan dalam maddame… apabila kami berdua masuk. Lebih jelas nanti dalam album baharu,” kata Azri.

Megat juga berkongsi tentang proses rakaman dua lagu itu dan album baharu maddame… yang lebih tersusun dan teknikal.

“Bunyi pun dah tak mentah sangat,” katanya.

Mereka dalam proses menyiapkan album baharu yang akan mengandungi 13 buah lagu.

Melihat kepada suasana industri ketika ini, tampil dengan album 13 lagu adalah satu langkah berani.

“Kalau lagu sikit, tak puas. Aku sendiri pun kalau minat satu kugiran, aku akan nak dengar banyak lagu mereka,” kata Josiah. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya