Rahsia populariti Mark Prin - Utusan Malaysia

Rahsia populariti Mark Prin

Walaupun tahu kisah cintanya dengan Kimberley Anne Woltemas menjadi perhatian, Mark enggan mengulas lanjut. Gambar/Dimsum Entertainment
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dinafikan kebangkitan drama Thailand di negara ini juga setanding dengan drama Korea. Malah kebelakangan ini nama-nama pelakon negara jiran ini juga sudah mula meniti di bibir penonton kita. Melalui kekuatan skrip dan para pelakon yang kini terkenal di seluruh dunia perlu diakui industri lakonan Thailand sudah bersifat antarabangsa.

Bagi yang sudah menonton drama bersiri Thailand berjudul My Husband In Law pasti tidak menolak ini antara drama yang cukup menghiburkan.

Malah gandingan Prin Suparat dan Nittha Jirayungyurn boleh dikatakan antara yang dinanti peminat drama Thailand. Menjadi antara drama bersiri paling ditonton kini, populariti drama ini juga turut melonjakkan nama dua pelakon utamanya ke seluruh dunia.

Utusan Malaysia melalui kerjasama Dimsum Entertainment secara eksklusif berpeluang menemu ramah Prin Suparat atau lebih dikenali dengan nama Mark Prin.

Mengakui terkejut mempunyai ramai peminat di Malaysia, jejaka berusia 30 tahun ini juga berterima kasih kepada mereka yang sentiasa menyokong kerjanya.

Bagaimanapun ketika diajukan soalan mengenai hubungan cinta popularnya dengan seorang lagi pelakon terkenal Thailand, Kimberley Anne Woltemas, Mark nampaknya lebih senang untuk berahsia.

“Saya sangat gembira untuk diberi peluang untuk ditemu ramah akhbar Utusan Malaysia yang dalam masa yang sama dapat mengenali peminat saya di Malaysia.

“Jujurnya saya sangat penat tetapi dalam masa yang sama bersyukur dengan sambutan yang diterima melalui lakonan saya dalam drama bersiri My Husband In Law. Sesuatu yang menggembirakan bila mengetahui drama ini menjadi kesukaan penonton bukan sahaja dari Thailand, tetapi juga negara jiran lain antaranya Malaysia, China, Myanmar dan Laos,” katanya.

Berkongsi kisah awalnya bergelar pelakon, siapa sangka pelajar yang cukup aktif sebagai atlet judo ini bernasib baik apabila menerima tawaran stesen televisyen terkenal Thailand Channel 3 pada usia 20 tahun. Bermula dari situ, Mark terus mencipta kejayaan demi kejayaan melalui drama-drama lakonannya.

“Semuanya bermula apabila saya diberi peluang berada di bawah Channel 3 dan berlakon drama pertama saya berjudul Ngao Ruk Luang Jai atau Love in the shadow.

“Saya selalu beranggapan saya antara mereka yang sangat bertuah untuk berada di bawah pengurusan Channel 3 yang sekali gus membuka peluang untuk saya berlakon di samping ramai pelakon-pelakon hebat lain,” kongsinya gembira.

Memiliki wajah yang kacak, Mark tidak menafikan ini antara sebab untuk dia berada dalam dunia lakonan. Namun bercakap melalui pengalamannya sejak 10 tahun lalu, kongsi pelakon yang berasal dari bahagian utara Thailand ini yakin penampilan sahaja tidak mampu menjamin kemampuan seorang pelakon.

“Bagi saya penampilan dan bakat memainkan peranan penting untuk menjadi seorang pelakon. Namun bagi saya sendiri, lebih senang memberikan fokus kepada kemampuan dalam lakonan.

Memandangkan ini adalah faktor yang menentukan selama mana kita akan berada dalam industri.

“Selain daripada itu sikap menghormati juga perlu ada dalam setiap pelakon, sebab kita dalam industri ini kita tidak akan bekerja seorang diri. Jadi disiplin yang tinggi perlu dalam memastikan kerja berpasukan dapat disampaikan dengan baik,” ulasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×