
SEJAK sekian lama, media memainkan peranan penting dalam industri muzik. Media dengan pengaruhnya tersendiri berfungsi menghebahkan berita, cerita dan mengetengahkan bakat untuk diteroka pendengar.
Memang menjadi lumrah, scene muzik yang lebih eksplisit dan ‘bawah tanah’ sukar mendapat perhatian media arus perdana. Sering kali mereka disisih kerana kurang komersial dan tiada tarikan massa.
Sudah menjadi lumrah juga, apa-apa gerakan yang bersifat alternatif dan mandiri akan membangunkan ekosistem mereka sendiri. Jika tiada media, mereka bikin media sendiri.
Budaya ini telah mengakar lama. Kalau sebut scene independen atau underground, ia tidak dapat dipisahkan dengan budaya zine. Sejak penghujung 70-an, budaya zine telah mengakar di Malaysia.
Pastilah ia tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat dan dari segi perniagaan pula, jual zine tak boleh buat anda kaya. Sebab itu scene zine itu sendiri pernah berada pada zaman kemuncak dan pernah juga jatuh ke lembah dalam.
Salah satu zine yang bertahan lama adalah Mosh Zine. Sejak 1999, ia telah mewarnai scene muzik independen dan underground dan sehingga hari ini tidak pernah berhenti.
Sosok yang bertanggungjawab menghasilkan zine legenda itu ialah Ahmad Nizamuddin Abdullah atau Nizang, nama yang tidak asing lagi dalam scene zine.
Tempoh hari, saya mempertemukan Nizang dengan seorang lagi pendokumentasi scene muzik yang sedang menempa nama, Azwadi Zairi Rozaini atau Awad.
Apa yang dilakukan Awad dan Nizang hampir sama, cuma mediumnya berbeza. Seiring peredaran zaman, Awad menggunakan medium yang lebih terkini, iaitu Youtube.
Saluran Awad Studio yang dibangunkannya bermula pada tahun 2019, 20 tahun selepas keluaran pertama Mosh Zine, dan ia cepat menarik perhatian ramai apabila menampilkan nama-nama besar dalam scene muzik independen.
Paling popular ialah segmen #CantikSikitDer yang berbentuk wawancara. Awad menggunakan rangkaiannya sebaik mungkin bagi mendapatkan nama-nama besar dan berbicara tentang hal-hal dalam serta luar kain scene independen.
Dua medium berbeza ini mungkin kelihatan seperti pertembungan generasi tapi sebenarnya tidak. Malah, lebih ironi lagi, walaupun Awad guna medium orang muda tapi dia lebih tua berbanding Nizang.
Platform dokumentasi, pendidikan
Mudah kata, kedua-dua sosok ini adalah ‘orang lama’ yang berjuang menggunakan senjata berbeza. Nizang dengan pena dan papan kekunci manakala Awad dengan kamera dan suara serak-garau yang kadang-kadang bernada tinggi tanpa amaran.
“Aku nak kongsi apa yang aku dengar. Aku suka kugiran ini, aku nak orang dengar kugiran ini, jadi aku temu bual,” kata Nizang.
“Sama juga, aku nak berkongsi. Satu lagi, aku rasa rugi sangat sebab kita dulu, kalau nak sembang pengalaman sekadar cerita saja, tak ada bukti. Tak ada dokumentasi. Itu motivasi aku,” kongsi Awad pula.
Motivasi dan matlamat yang sama dalam dua medium berbeza.
Lebih menarik, saya belum nampak motivasi kedua-dua mereka ini akan pudar.
Selepas 21 tahun, Nizang masih menerbitkan Mosh Zine dan dia masih merancang untuk menerbitkannya secara konsisten setiap tahun.
Awad Studio pula semakin berkembang dengan segmen baharu. #CantikSikitDer yang sudah memasuki musim kedua dan satu lagi segmen, #AwadKongsi mula dilancarkan minggu lalu.
Daripada dokumentasi, ia berkembang kepada platform pendidikan. Hal sama juga pernah dilalui Mosh Zine yang bermula dengan perkongsian santai kepada platform memperkenalkan kugiran yang sekali gus mendidik pendengar tentang muzik yang pelbagai.
Muzik dan media tidak mungkin boleh dipisahkan. Muzik tanpa media seperti menyanyi dalam gua. Sedap mana pun suara, kita saja tahu.
Kita perlu berdoa ramai-ramai supaya orang seperti Awad dan Nizang terus bermotivasi untuk menjalankan peranannya sebagai media independen. Selain doa, kita juga perlu sokong usaha mereka dengan membeli dan melanggan produk mereka supaya kerja ikhlas mereka terbayar dengan sedikit pulangan wang.
Panjang umur Mosh Zine dan Awad Studio. Amin. – Mingguan Malaysia










