fbpx

4 Disember 2020, 4:38 am

  TERKINI

Dulu pemalu, kini penyanyi

Shalma Elliana - MINGGUAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Artis Baharu

Menjadi seorang yang mempunyai personaliti menarik dan mampu menghiburkan orang ramai memerlukan keberanian serta keyakinan tinggi. Walaupun kelihatan seperti mudah, namun ia mempunyai cabaran tersendiri.
Sebagai manusia, menerima kecaman atau kritikan daripada orang sekeliling bukanlah yang dinanti-nantikan. Lebih-lebih lagi di zaman berteknologi tinggi sekarang. Orang boleh mengkritik, mengeji mahupun memuji sambil berselindung di sebalik komputer atau telefon pintar.
Bagi Shalma Eliana Bruhanutheen, itulah antara cabaran terbesar yang perlu diharungi dalam hidupnya selama dua dekad itu.
Katanya, mempunyai keyakinan diri yang tinggi bukanlah sesuatu yang dimilikinya secara semula jadi. Perasaan malu membuatkan dirinya enggan menjejakkan kaki ke luar rumah. Bersembunyi di sebalik alasan dia seorang yang pemalu telah membuatkan dirinya selesa berada dalam keadaan itu waktu zaman sekolah.
Kini, apabila dia sudah mula menapak ke dalam industri seni yang perlukan perhatian ramai untuk berjaya, gadis kelahiran Kuala Lumpur itu rasa seperti dejavu apabila perlu menghadapi kritikan orang ramai tentang dirinya.
“Dalam industri ini pasti ada sahaja orang yang tidak berpuas hati. Saya pernah fikir peminat mungkin tidak boleh menerima diri dan muzik saya. Namun saya tetap cuba perbaiki diri sendiri,” katanya kepada Pancaindera baru-baru ini.
Sentiasa positif selain memikirkan impian dan minatnya dalam bidang seni adalah faktor utama dalam mengatasi masalah yang sentiasa bermain dalam mindanya itu.
“Dulu memang saya sangat pemalu. Tetapi makin lama saya sedar dan tidak mahu teruskan hidup begitu. Buang masa sahaja.
“Sekarang saya hanya mahu mengejar cita-cita dan menjadi wanita berdikari tanpa bergantung kepada sesiapa,” jelasnya dengan mata yang bersinar penuh semangat.
Pada mulanya, minatnya itu sekadar untuk berseronok bersama keluarga. Namun, setelah keluarganya menyakinkan dirinya tentang bakat yang ada, Eliana lebih yakin dengan hobinya itu.
“Setelah mereka berpendapat saya mempunyai suara yang merdu, saya mula beranikan diri untuk membuat persembahan menyanyi di sekolah dan di majlis perkahwinan kakak,” jelasnya yang tampil single pertama berjudul Janji Terindah pada 2018.
Walaupun sudah dua tahun berada dalam industri ini, dia sedar karier sebagai seorang penyanyi belum tentu kekal sampai bila-bila.
“Saya mementingkan pelajaran juga kerana itu adalah tanggunjawab sebagai anak. Ibu bapa izinkan saya menyanyi dengan syarat saya tetap akan sambung belajar,” kata anak bongsu daripada empat beradik itu.
Mengulas tentang perkembangan karier, Eliana berkata, single terbaharunya yang bertajuk Aroma telah dimuat naik dalam laman Youtube.
Selain menyanyi, dia juga sedang bejinak-jinak dalam dunia lakonan kerana baginya ia membantu dari pada segi mengekspresikan emosinya. – Artis Baharu, Pancaindera

BERITA BERKAITAN