Platform e-dagang kutip zakat, Jakim tidak terlibat - Utusan Malaysia

Platform e-dagang kutip zakat, Jakim tidak terlibat

DR. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tengah) beramah mesra dengan sebahagian pendakwah selebriti yang hadir pada Program Tausiyah Bersama Pendakwah Selebriti di Movenpick Hotel, Sepang, Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak terlibat dalam sebarang keputusan bagi penetapan saluran pembayaran zakat dalam mana-mana platform e-dagang atau dalam talian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, sebaliknya saluran pembayaran zakat itu bergantung keputusan Majlis Agama Islam Negeri masing-masing.

“Setiap kali keputusan berkenaan dengan pungutan zakat khususnya dalam menetapkan ejen kutipan zakat yang dilantik, wakil atau seumpamanya itu biasanya datang daripada keputusan Majlis Agama Islam Negeri masing-masing.

“Bahkan pengalaman saya menjadi ahli majlis termasuk mufti pun, keputusan itu datang daripada Majlis Agama Islam Negeri dan Pejabat Agama Negeri masing-masing. Jakim tidak terlibat sama sekali dalam perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Tausiyah Bersama Pendakwah Selebriti di Movenpick Hotel Covention Centre di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan persoalan pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah terhadap Jakim yang dikaitkan dengan platform e-dagang, Shopee. 

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, katanya, beliau teruja dapat bertemu dengan pendakwah-pendakwah selebriti, pemain-pemian utama media khusus dalam hal ehwal agama.

“Saya juga sering mengingatkan diri saya untuk bersama bekerja semata-mata kerana Allah SWT demi mengangkat agama Islam di samping memberi kefahaman sejelasnya kepada khalayak.

“Jadi penyatuan selebriti-selebriti amat perlu dari segi fikrah demi hala tuju ke arah yang jauh lebih baik,”katanya.

Dalam pada itu, berkenaan dengan imej pendakwah yang tercalar baru-baru ini, Zulkifli berharap sinar 2021 tidak lagi kedengaran sebarang isu mahupun konflik yang melanda membabitkan pendakwah.

Oleh sebab itu, kata beliau, salah satu caranya, majlis seperti ini dapat saling mengingati antara satu sama lain.

“Daripada situ harap sinar 2021 tidak ada dengar lagi sebarang isu atau konflik yang berlaku. Bahkan ketika saya cakap dalam nada bergurau tadi, tidak payahlah berlaku kalau perlu kahwin dua, tiga atau empat ke… itulah maksud saya. Jadi kita kena ikutlah sebaiknya,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya