Baja kompos lebih praktikal, selamatkan alam sekitar - Utusan Malaysia

Baja kompos lebih praktikal, selamatkan alam sekitar

Hasil tanaman lebih segar selepas menggunakan kompos.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap hari pasti ada lebihan makanan di rumah, bukan? Daripada dibuang begitu sahaja lebih baik dimanfaatkan menjadi kompos. Bukan sahaja berguna untuk diri sendiri, malah membantu alam sekitar.

Menurut Ketua Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Susilawati Kasim, kompos mampu mengurangkan pencemaran alam sekitar melalui penjerapan logam berat.

Selain itu, penggunaan kompos boleh mengurangkan penggunaan baja kimia di kawasan pertanian.

Kajian turut menunjukkan 60-80 peratus baja kimia akan mampu dikurangkan dengan penggunaan bahan organik ini. Pengurangan penggunaan baja kimia, sekali gus mengurangkan pencemaran udara, air dan tanah secara tidak langsung.

Bukan itu sahaja, alternatif ini turut menggalakkan pertumbuhan tanaman selain menghasilkan produk pertanian yang berkualiti.

Nutrisi makanan seperti kandungan serat, vitamin dan mineral boleh ditingkatkan dengan penggunaan yang betul.

“Kompos biasanya mengandungi asid humik yang tinggi yang penting untuk menyokong pertumbuhan tanaman secara menyeluruh. Asid humik membantu di dalam pertumbuhan akar dan pucuk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

 

DR. SUSILAWATI KASIM

Oleh itu, bagi mereka yang gemarkan pertanian atau baru mahu menjinakkan diri dalam bidang ini bolehlah mencuba membuat kompos sendiri. Mudah saja!

PERKARA PENTING SEBELUM PENGKOMPOSAN

Namun, sebelum melakukan pengkomposan ada beberapa penting yang perlu diketahui dan dilakukan. Antaranya ialah:

1. Mengasing sisa organik dan sisa bukan organik. Ini akan membantu di dalam proses penghasilan kompos yang berkualiti.
Jika tidak diasingkan di peringkat awal, agak sukar untuk menjalankan proses pengkomposan dengan berkesan disebabkan oleh adanya bahan yang tidak dapat digunakan oleh mikrob untuk menjalankan proses berkenaan.

2. Sebaiknya bahan yang ingin digunakan untuk penghasilan kompos ini terus dimasukkan ke dalam tong penghasilan kompos dan tidak dibiarkan sehingga berbau atau rosak kerana ini akan menjejaskan proses pengkomposan itu sendiri.

3. Kurangkan atau elakkan penggunaan bahan-bahan yang mempunyai kandungan protein tinggi bagi mengelakkan masalah lalat serta bau yang kurang menyenangkan.

Namun, jika ada bahan-bahan ini di dalam sisa makanan, campuran bahan yang tinggi kandungan karbon seperti sisa daun kering, habuk kayu dan lain-lain adalah diperlukan.

 

Bahan buangan yang sudah jadi kompos.

LANGKAH MELAKUKAN KOMPOS

  1. Masukkan bahan yang tinggi kandungan karbon seperti habuk kayu sebagai asas dalam tong yang mempunyai pengudaraan baik. Ia penting untuk mempertingkatkan aktiviti mikrob baik semasa proses penghasilan kompos. Sebaiknya 1/3 daripada kandungan bahan di dalam tong perlu diisi dengan bahan ini.

2. Kemudian masukkan sisa makanan/sisa dapur. Bahan yang bersaiz besar perlu dikecilkan bagi memudahkan mikrob menjalankan fungsinya.
3. Gaulkan campuran kesemua bahan hingga sekata.
4. Sembur dengan larutan yang mengandungi mikrob baik supaya sentiasa lembap untuk membantu proses pengkomposan.
5. Campurkan sisa bahan makanan sehingga kapasiti tong penuh.

BAHAN DAN PERALATAN YANG DIPERLUKAN

  • Tong yang bertutup, tidak kedap udara atau yang mempunyai pengudaraan.
  • Bahan yang tinggi kandungan karbon seperti habuk kayu, jerami padi, dan lain-lain. Tujuannya untuk menstabilkan kandungan air dalam sisa makanan selain menggalakkan proses pengkomposan berlaku secara optimum.
  • Penambahan mikrob seperti Mikroorganisma Efektif (EM) akan membantu.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×