Lawak biar bertempat, beradab

Lawak biar bertempat, beradab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Lawak seumpama garam dalam masakan. Ada sedikit menyedapkan rasa. Tiada masin masih boleh ditelan. Terlebih masin membawa mudarat jangka masa panjang. Itulah analogi mudah berkenaan lawak yang dimainkan sesetengah orang.”

Belum pun reda perihal kejijikan cubaan merosakkan nama logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan ham yang kononnya halal di sebuah pasar mini dalam Universiti Malaya, timbul pula cubaan mengejek isu ini oleh seorang pelawak beragama Islam yang sudah di usia senja.

Komen sinis si pelawak melalui media sosialnya yang menaikkan gambar produk kopi yang ada tulisan ham jelas menyinggung sensitiviti umat Islam di Malaysia.

Dalam komen itu si pelawak menyindir nama kopi tersebut boleh menggugat iman, mengelirukan serta melemahkan logiknya sebagai seorang Muslim.

Tambah parah apabila cetusan sindiran si pelawak mengundang komen biadab seorang pengguna media sosial bernama Cecilia Yap yang mengaitkan nama ham dengan nama

Nabi Muhammad SAW yang kita imani, sanjungi dan hormati.

Si pelawak mungkin memberi alasan, dia tidak berniat mempersenda agama apatah lagi memalitkan nama nabi kita dengan penghinaan, namun jika anda berani melanggar lampu isyarat merah secara semberono jangan pula disalahkan kereta yang mungkin merempuh anda sehingga cedera parah.

Islam tidak melarang lawak atau senda gurau yang biasa berlegar dalam kehidupan manusia. Inilah cantiknya Islam sebagai suatu syariat yang sangat manusiawi.

Tidak dinamakan manusia jika hidupnya kosong tanpa cerminan emosi yang merangkumi lawak, gurau, ketawa, gembira, sedih dan tangis. Allah sendiri menegaskan yang ketawa dan tangis antara bukti kehebatan-Nya.

Ertinya: Dan bahawa sesungguhnya, Dia (Allah) lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis. (al-Najm 53:43).

Perlu diingat, gurau dan lawak boleh menjadi sebab bahagia atau duka di akhirat kelak. Kalau kena cara guraunya, kegembiraan yang berputik daripada senda gurau akan menjadi sebab ikatan silaturahim dan persaudaraan Islam bertambah erat. Pastinya ia menjadi saham ke syurga.

Sebaliknya, jika sesuatu lawak dan senda gurau meruntuhkan pegangan agama, apatah lagi mengundang cerca kepada manusia mulia seperti Rasulullah SAW, maka ia bakal menjadi bahan bakar yang akan menghangus-rentungkan si pelawak dalam neraka kelak.

Jika anda ‘terpaksa’ melawak juga untuk mengekalkan anugerah ‘lelaki paling kelakar’ yang diperolehi pada 2016, patuhilah beberapa syarat ini agar lawak anda membuah pahala, bukannya menempah lubang neraka:

1) Lawak tidak boleh mempersendakan isi agama. Agama bukanlah bahan gurau. Silap bergurau dengan isi agama boleh mendatangkan musibah dosa yang berat. Allah pernah mencela munafik Madinah dahulu yang memberi alasan ejek mereka sebagai sebuah gurauan agama. Firman Allah: Ertinya: Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek gurau mereka) tentulah mereka (orang munafik) akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanya berbual dan bermain”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah, ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu persenda dan ejek?” (al-Tawbah 9:65).

2) Tidak boleh berdusta untuk melawak. Mungkin ada berkata, apa salahnya sedikit dusta dalam gurauan bagi menceriakan suasana. Islam menegaskan, matlamat tidak menghalalkan cara. Cukuplah hadis ini mengingatkan kita: Ertinya: Rasulullah bersabda: Celaka (biasalah) bagi orang yang berbicara secara berdusta untuk menimbulkan gelak tawa orang. Celaka baginya! Celaka baginya! (Sunan Abu Dawud, 4990).

Islam agama yang mendokong kebenaran hatta dalam gurauan sekalipun. Pernah sahabat bertanya Rasulullah SAW: Ertinya: Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah! Tuan pun bergurau dengan kami?” Baginda menjawab: “Aku tidak berkata (walaupun dalam gurauan) melainkan yang benar sahaja.” (Sunan al-Tirmidhi, 1990).
Soalan para sahabat itu berdasarkan gurauan baginda sebagaimana disebut sebuah hadis lain: Ertinya: Seorang wanita tua bertemu Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, doakan kepada Allah agar Dia masukkan aku ke dalam syurga.” Baginda menjawab (secara gurauan): “Wahai Ibu si fulan, syurga itu suatu tempat yang tidak dimasuki orang tua.” Wanita tua itu pun berlalu pergi sambil menangis. Nabi kemudiannya berkata: “Khabarkan kepada wanita itu bahawa dia tidak akan dimasukkan ke dalam syurga dalam keadaan tua, kerana Allah berfirman bahawa penghuni syurga semuanya anak muda. (petikan ayat 35 surah al-Waqi’ah) (Syama’il Muhammadiyah oleh Imam al-Tirmidhi).

3) Tidak boleh mengejutkan atau menakutkan seseorang dalam sebarang lawak. Pernah para sahabat bermusafir bersama Rasulullah. Apabila mereka singgah di sebuah tempat, beberapa sahabat bergurau dengan mengambil barang milik seorang lelaki yang sedang tidur. Apabila lelaki itu sedar dan mendapati barangnya hilang, dia sangat terkejut dan kumpulan yang menyembunyikan barangnya ketawa besar. Setelah tahu perihal gurauan tersebut, baginda menegur keras dengan sabdanya: Ertinya: Tidak halal (tidak patut) bagi seorang Muslim mengejutkan (menakut-nakutkan) saudara Muslimnya yang lain (walaupun sekadar gurauan) (Sunan Abu Dawud, 5004 & Musnad Ahmad, 23064).
Pernah dahulu beberapa pengacara stesen radio tempatan membuat panggilan palsu bagi menimbulkan rasa cemas si mangsa atas alasan lawak atau gurauan.
Tambah parah apabila gurauan ini disiar secara meluas sehingga mengaibkan mangsa gurau. Ia bukan hanya dosa gurau palsu tetapi turut diiring dosa mengaibkan orang.

4) Lawak tidak dilakukan dengan niat mengejek atau merendahkan mangsa gurau. Ia diterang jelas oleh Allah melalui firman-Nya (al-Hujurat 49:11).
Akhir sekali, kepada peminat lawak dan pelawak, carilah lawak yang bijak, membina minda, kritis, budiman dan tidak menunggang agama sebagai bahan lawak. Cukuplah firman Allah ini sebagai amaran kepada kita:
Ertinya: Dan jauhkanlah diri dari orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia. (al-An’am 6:70).

Kepada si pelawak yang sedang hangat dikecam ini, masuklah ‘tadika agama’ balik untuk mengenali Islam.
Anda belum terlambat! Apabila dipanggil menghadap Allah kelak, malaikat pencabut nyawa pasti tidak akan terhenti tugasannya kerana lawak hambar anda.

-Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim (al-Hafiz) Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN