“Pegang si pembuli dan tekap balik badannya dengan seterika panas atau ikat si pembuli dan terajang balas rusuknya sehingga patah! Ia baru sepadan dengan jenayahnya. Jalankan hukuman ini secara terbuka agar si pembuli lain berasa gentar untuk terus membuli.”
Terbaharu, negara digemparkan dengan dua kes buli di sebuah universiti berlatar ketenteraan. Satu kes pelajar ditekap dengan seterika, manakala yang satu lagi patah rusuk diterajang pelajar tua.
Sebelum ini, universiti sama mengejutkan negara dengan kes kematian seorang pelajar akibat didera beramai-ramai atas tuduhan mencuri komputer riba.
Dalam syariat Nabi Musa a.s dahulu, sebarang deraan badan dibalas secara setimpal! Bahkan sebahagian ulama Islam mengatakan kaedah yang sama turut terpakai kepada umat Islam (Tafsir al-Munir). Lihat maksud firman Allah ini: Dan kami tetapkan atas mereka dalam kitab Taurat itu, bahawa nyawa dibalas dengan nyawa, mata dibalas dengan mata, hidung dibalas dengan hidung, telinga dibalas dengan telinga, gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang yang zalim (al-Ma’idah: 45).
Jangan main-main! Buli boleh membawa derita seumur hidup jika tidak dirawat awal. Saya pernah baca kisah seorang pemuda yang menderita skizoafektif (sakit mental gabungan halusinasi, delusi, kemurungan dan mania luar biasa) akibat buli semasa kecil.
Semasa darjah dua ketika beratur mahu membeli makanan di kantin sekolah, pelajar darjah enam bergurau menarik seluarnya sehingga terbogel. Semua pelajar di kantin sekolah mentertawakan dia.
Apabila dilaporkan kepada ibu bapa dan guru di sekolah, mereka ambil mudah dan anggap itu sebagai gurauan anak kecil. Kesannya, dia membesar dengan rasa malu dan dendam yang menebal. Perasaan tersebut membungkam dan akhirnya mencetus perang emosi yang parah.
Membaca kisah tragis itu membuatkan saya terfikir, bagaimana agaknya audit para penzalim anak itu di akhirat kelak? Satu gurauan bodoh ketika kecil, membawa kepada sakit berpanjangan yang tidak kunjung sembuh. Sepanjang sakit, pemuda ini sudah beberapa kali cuba membunuh diri, namun diselamatkan Allah dengan berbagai peristiwa.
Jenayah buli berlaku di mana sahaja! Di rumah, sekolah, tempat kerja dan sebagainya. Yang lemah biasanya mudah dibuli oleh yang kuat atau lebih berpengaruh. Pekerja baharu dibuli dengan timbunan kerja luar biasa oleh pekerja tua yang malas.
Tidak kurang juga pembuli yang buta akal merampas parkir Orang Kurang Upaya (OKU) sehingga menyusahkan mereka. Kesannya kesihatan fizikal dan mental mangsa buli jatuh merudum.
Budaya buli perlu segera dicegah kerana ia bertentangan dengan fitrah manusia dan semua agama.
Membuli orang ialah penyakit jiwa yang parah. Si pembuli berasa berhak menindas orang lain kerana sedikit kelebihan atau kekuatan yang dimiliki.
Ini sebenarnya perangai orang yang zalim. Allah sangat benci kepada manusia yang zalim. Ia ditegah dengan tegas melalui sebuah hadis qudsi yang bermaksud: Allah berfirman: Wahai hamba-Ku! Aku (selaku Tuhan) mengharamkan kezaliman pada diri-Ku sendiri dan Aku jadikan ia juga haram pada kalian. Oleh itu, janganlah kalian saling menzalimi antara satu sama lain (Sahih Muslim, 2577).
Duhai pembuli! Jangan ingat anda boleh lepas begitu sahaja di dunia apatah lagi di akhirat! Allah mampu menghukum anda dengan lebih dahsyat lagi! Lihat teguran Nabi SAW kepada seorang sahabat bernama Abu Mas’ud al-Badri yang memukul hambanya seperti haiwan.
Hayati sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Ketahuilah Wahai Abu Mas’ud! Sesungguhnya Allah sangat mampu menyeksamu lebih daripada tindakanmu menyeksa hamba ini.” Selepas nasihat Nabi itu, Aku (Abu Mas’ud) tidak lagi memukul hambaku selama-lamanya (Sahih Muslim, 1659).
Buli juga sejenis dosa besar yang melibatkan hak orang lain. Dosa ada dua jenis iaitu dosa dengan Allah dan dosa sesama manusia. Dosa dengan Allah boleh dihapus dengan taubat yang tulus kepada-Nya (al-Tahrim:8) tetapi dosa sesama manusia perlu dilunas dengan manusia. Jika yang dizalimi tidak melepaskan hak ampunannya, deritalah anda di akhirat kelak.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang melakukan kezaliman kepada saudaranya yang melibatkan maruah atau apa sahaja (hak temannya), maka mohonlah halal (ampunan daripadanya semasa di dunia ini sebelum sampai waktu (kiamat) yang dinar atau dirham tidak mampu menebus. Sebaliknya jika dia (penzalim temannya) memiliki amal soleh (sedikit kebaikan), ia akan diambil (untuk diberikan kepada mangsanya) pada kadar kezaliman yang dia lakukan. Jika dia tidak memiliki kebaikan, kejahatan mangsanya akan diambil lalu dipikulkan padanya (Sahih al-Bukhari, 2269).
Juga sabda Baginda yang bermaksud: Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kalian siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: “Orang yang muflis dalam kalangan kami adalah orang yang tidak miliki dirham atau harta.” Rasulullah menyambung: “Orang yang muflis daripada umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat membawa pahala solat, puasa dan zakat.
Namun, dia juga membawa dosa kezaliman. Dia pernah mencerca, tuduh tanpa bukti, makan harta bukan hak, menumpahkan darah orang lain dan memukul orang. Maka sebagai tebusan atas kezalimannya, kebaikannya diberi kepada mangsa-mangsanya. Apabila kebaikannya habis dibahagikan kepada orang yang dizaliminya sedangkan kezalimannya belum tertebus, diambil pula kesalahan yang dimiliki oleh orang yang dizaliminya lalu ditimpakan kepadanya, kemudian ia dicampakkan ke dalam neraka.” (Sahih Muslim, 4678).
Kadangkala si pembuli menganggap tindakannya sekadar hiburan. Ingatlah! Hiburan pada anda boleh menjadi trauma seumur hidup pada mangsa anda. Jangan pandang enteng jenayah yang anda anggap kecil itu kerana ia pasti dibawa untuk audit akhirat oleh Allah.
Cukuplah ayat ini menjadi pisau tajam menusuk hati anda yang jahat mahu membuli orang itu. Firman Allah yang bermaksud: Dan “Kitab (rekod) Amalan” akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu, berasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakalah kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun. (al-Kahfi: 49)
Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz), Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










