MANUSIA memerlukan dakwah Islamiah dan menjadi tanggungjawab pendakwah untuk memenuhi hasrat manusia lain.
Pendakwah merupakan pembimbing kepada kebaikan, membantu manusia menuju jalan Allah SWT dan mengkhabarkan kepada manusia tentang keesaan dan keagungan Allah SWT dalam menciptakan makhlukNya.
Pendakwah turut menyeru manusia lain ke agama diredai Allah SWT iaitu Islam.
Minoriti seperti mualaf memerlukan pemantapan akidah Islamiah, menghasratkan prinsip hidup Islam, ingin mendalami syariat Allah SWT dan ingin mengenal pasti sistem sosial Islam yang dikatakan dapat memberikan perlindungan kepada setiap umatnya dan memberi kehormatan serta kemuliaan kepada manusia, selain mendatangkan kedamaian serta ketenangan bagi penganutnya, keluarga, masyarakat serta bangsa dan negara.
Pendakwah harus mampu meningkatkan kemampuan mereka dalam berdakwah kepada mualaf di Malaysia.
Pendakwah adalah pewaris dakwah Rasulullah SAW.
Kesempurnaan sifat-sifat seorang pendakwah bermula dengan kesempurnaan diri, yang muncul dari hubungan yang kuat dengan Allah SWT dan hubungan yang erat dengan manusia.
Hubungan kuat pendakwah dengan Allah SWT melahirkan keimanan yang teguh, mempunyai ikatan teguh denganNya, bertawakal kepadaNya dalam setiap usaha dakwah dan mencegah yang mungkar melaksanakan perkara suruhanNya.
Pendakwah juga perlu memberikan penghargaan kepada manusia lain, berdakwah secara mesra dan penuh kasih sayang serta menzahirkan ciriciri kepimpinan yang berketrampilan dan berkaliber merupakan sifat-sifat hubungan pendakwah dengan manusia lain.
Sikap jujur atau benar serta empati pendakwah berdasarkan kata-katanya yang benar maknanya lisan yang bertutur dengan benar dan betul.
Ia tidak bertutur dengan apa-apa jua kebatilan.
Kejujuran dalam perbuatan iaitu perbuatan itu mengikut metod-metod atau kaedah-kaedah syarak serta mengikut Rasulullah SAW.
Apabila terdapat kejujuran kepada Muslim dalam niatnya dan perbuatannya, maka ini akan membawanya ke satu martabat dalam kejujuran dan mengotakan apa yang dikatakan.
Pendakwah yang bersikap sabar akan mengarahkan kesabaran dalam mentaati Allah SWT dengan selalu memelihara ketaatan dengan ikhlas melakukan dakwah. Ketaatan itu berlaku mengikut syarak.
Antara faktor yang boleh membantu seseorang memperolehi sabar, yang pertama dengan mengenali Allah SWT dan mengenali hakNya kepada hamba dan balasan yang baik terhadap mereka yang taat.
Sekiranya sabar itu diperlukan oleh setiap Muslim maka, pendakwah Muslim lebih-lebih lagilah perlu bersabar daripada orang lain.
Ini kerana pendakwah ini bergiat di dalam dua medan.
Medan dirinya dan nafsunya, di mana dia berjihad untuk nafsu tadi memaksa nafsu itu supaya taat kepada Allah SWT dan menghalangnya dari membuat maksiat.
Satu lagi, medan di luar nafsunya iaitu medan berdakwah kepada Allah SWT dan juga berucap kepada manusia tentang isu dakwah.
Maka dia memerlukan kesabaran yang besar dalam kedua-dua bidang tadi, iaitu bidang nafsu dan bidang dakwah.
Selain daripada itu, seorang pendakwah perlu mempunyai bekalan ilmu mencukupi, bekalan keikhlasan hati dan niat yang benar untuk menjalankan dakwah Islamiah.
Metodologi hikmah, memberi nasihat dan membincang mengenai sesuatu perkara apatah lagi melibatkan kejiwaan dalaman mualaf perlu dibincangkan secara baik.
Masyarakat perlu membuang segala prejudis terhadap Islam, mempertikaikan niat mereka memeluk Islam dan menerima seterusnya mendekati serta membimbing mualaf dengan sepenuhnya demi membina masyarakat yang harmoni, aman, damai dan tenteram dalam kedudukan negara Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum, bangsa dan agama.
Keutamaan bagi masyarakat Islam adalah memberi didikan dan bimbingan agama kepada mualaf.
Kajian membuktikan mualaf menghadapi tekanan spiritual dalam penghayatan agama Islam.
Didikan dan bimbingan agama akan melestarikan pembangunan jiwa, mental dan pemantapan akidah yang menatijahkan keimanan dan ketaqwaan dalam kalangan mualaf.
-PENULIS adalah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM.










