Polis siasat kesahihan kilang stoking ada kalimah Allah di Batu Pahat - Utusan Malaysia

Polis siasat kesahihan kilang stoking ada kalimah Allah di Batu Pahat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Dakwaan kilang yang membuat stoking mempunyai kalimah Allah berada di Batu Pahat kini disiasat oleh pihak polis bagi membuktikan kesahihannya. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, pihaknya telah menghubungi Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah supaya melakukan siasatan. 

Menerusi makluman balas diterima, pihak polis mengesahkan tindakan awal sudah dibuat. 

“Kita percaya bahawa polis akan melaksanakan tugas mereka dan saya berharap agar semua orang Islam bersabar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, di sini hari ini

Mohd. Fared turut menyifatkan penjualan stoking yang tertera kalimah Allah sebagai  perbuatan tidak bermaruah serta tidak berakhlak.

Pihaknya mengambil serius isu berkenaan dan memberi amaran kepada semua pihak agar jangan memainkan sentimen keagamaaan seperti itu.

“Bukan sahaja kita mengutuk, malah kita menggunakan seluruh kekuatan orang Islam untuk menunjukkan bencinya kepada sikap menghina agama kita, apatah lagi kalimah Allah dipermainkan.

“Saya menyeru kepada orang Islam supaya bersatu padu untuk menyuarakan pendapat dan pada masa sama mengikut lunas undang undang dalam kita membuat semua tindakan,” katanya.

Mohd. Fared berkata, sentimen agama sangat dekat bahkan ia adalah hati nurani umat Islam dan beliau percaya kerajaan Persekutuan khususnya di bawah agensi seperti Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan tugas mereka dengan baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN