Soalan
Apakah hukumnya makan di restoran yang menggantung ayat-ayat yang diketahui bukan dari ayat suci al-Quran dengan perhiasan meragukan seperti berlatar kain kuning atau seumpamanya.
Sara
Kelantan
Jawapan
Makan di situ adalah tidak terlarang selagi makanannya halal pada sangkaan kita. Tetapi jika dapat dielakkan adalah lebih baik. Dalam pada itu, hukum menggantungkan ayat-ayat diragui adalah terlarang kerana ia bukan ada keberkatan.
Suami kedekut
dengan isteri
Soalan
Apa hukum suami yang memberi alasan tidak mampu memenuhi permintaan isteri kerana di luar kemampuannya, tetapi apabila kawan-kawan atau teman wanita meminta tolong, suami sanggup penuhi.
Su
Perak
Jawapan
Memenuhi keperluan isteri yang merupakan haknya adalah wajjb seperti nafkah. Bagaimanapun, yang bukan keperluan adalah tidak wajib. Pun begitu, apa-apa yang dia belanjakan kepada kawan-kawan perlu dia pastikan tidak mengganggu nafkah wajib kepada isteri. Sebaik-baiknya, dahulukan keperluan isteri dan keluarga, dan kalau ada lebih baru boleh bantu atau belanja kawan-kawan.
Tayang ibadah
di media sosial
Soalan
Apa hukumnya melakukan ibadah untuk dirakam sekadar untuk dikongsi dalam media sosial?
Hamba Allah
Kedah
Jawapan
Hukum asal kita tidak boleh merakamkan ibadat untuk ditunjukkan kepada orang ramai bimbang terdapat rasa riak. Namun sekiranya ia ada makna untuk pengajaran, keinsafan dan menunjukkan kebesaran Allah SWT, maka ia diharuskan sebab ada manfaat yang besar.
————————————————————
Orang ramai boleh mengemukakan soalan kepada
Ustaz Fauwaz Fadzil dengan menghantar e-mel kepada
[email protected]
———————————————————–










