fbpx

30 Jun 2022, 9:15 am

  TERKINI

Ramai membazir tanpa sedar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAYA hidup masa kini sering membawa individu melakukan pembaziran tanpa sedar. Keinginan dan hawa nafsu mendorong untuk melakukannya. Apa lagi kemewahan hidup yang memberi kemampuan untuk berbuat sesuatu.
Amaran Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “ Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.”
(Surah a; Isra’ ayat 27).
Mengimbau kembali sepanjang Ramadan dan menjelangnya Syawal baru-baru ini, Imam Masjid Mukim Permatang Sungkai, Ustaz Azmi Husin berkata, teguran perlu diberikan kepada umat Islam agar menyedari batas-batas yang tidak sepatutnya diamalkan sekali pun mereka mampu berbelanja lebih.
Menurutnya, Firman Allah SWT sebagaimana ayat di atas adalah satu peringatan agar tidak menjerumuskan diri kepada perkara-perkara yang boleh membawa kepada pembaziran.
“Cukup jelas orang yang membazir itu mempunyai sikap yang ditamsilkan dengan amalan syaitan yang sejak azali menjadi musuh nyata kepada manusia. Lantas, apakah kita tidak pernah mengambil iktibar agar tidak digolongkan menjadi ‘saudara’ kepada syaitan?
“Ramadan sebagai bulan untuk mengekang hawa nafsu dan selera, tetapi pada bulan itulah juga pembaziran dan sikap berlebih-lebihan seperti menjadi suatu kebiasaan.
“Sepatutnya Ramadan mendidik manusia bersikap sederhana, berjimat cermat dan tidak melampaui batas tetapi sebaliknya pula berlaku,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Menurutnya, alangkah baiknya, kesederhanaan hidup diamalkan dan perbelanjaan yang lebih dikongsikan kepada asnaf, fakir miskin serta anak-anak yatim yang memerlukan sumbangan serta bantuan.
“Ulama terkenal, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menggariskan sembilan jenis pembaziran yang seringkali dilakukan antaranya pembaziran masa, amalan , kekayaan, hati dan tubuh badan yang seharusnya direnung kembali dalam mengejar keredaan Allah SWT.
“Paling jelas dan perlu ditegur adalah cara menyambut kehadiran 1 Syawal yang jauh bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.
“Hanya ahli masjid yang menggambarkan kegembiraan menyambut Syawal dengan bacaan tasbih dan solat sunat tasbih, selebihnya bergembira dengan gaya hidup Barat yang menjurus kepada pembaziran,” ujarnya.
Tegasnya, bermain bunga api dan mercun bagaikan satu budaya yang sinonim setiap kali tibanya musim perayaan dan tidak sah kalau tidak berbuat sedemikian.
Katanya, pelbagai bentuk serlahan percikan bunga api dan bunyian pada malam hari raya mungkin menggambarkan kegembiraan buat segelintir masyarakat yang berkemampuan namun harus diinsafi bahawa perbuatan itu termasuk dalam bab pembaziran yang telah dinyatakan Allah SWT sebagai ‘tamsil’ kepada syaitan.
“Ia bukan budaya Islam. Perlu diinsafi untuk tidak melakukannya lagi pada hari raya yang akan datang. Kenapa perlu wang ringgit dibakar dengan pembelian dan kos mercun atau bunga api yang pastinya mahal,” katanya.
Dr. Yusuf Al-Qardhawi ada mengatakan bahawa: “Sebahagian umat Islam kini kerap mendahulukan perkara yang kurang penting berbanding perkara yang penting. Perkara penting adalah urusan -urusan wajib yang termaktub dalam syariat Islam. Antara perkara tersebut ada yang besar, penting dan utama dan ada pula yang kecil, ringan, kurang penting dan kurang utama iaitu asasi, cabang ( furu ‘), dan rukun.
Justeru, kata Azmi, badan dakwah dan keagamaan perlu bangkit menyedarkan semula kealpaan ini kerana Aidilfitri tidak perlu disambut dengan dentuman dan percikan bunga api sebagaimana perayaan agama lain.
Menurutnya, aktiviti membakar mercun di negara ini adalah diharamkan seperti mana termaktub dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991 namun dentuman terus berkumandang serata negara yang menunjukkan berapa banyak kos hangus tanpa sebarang manfaat.

USTAZ AZMI HUSIN
» Umur: 57
» Tempat tinggal: Lot 559, Kampung Permatang Sungkai, Pasir Puteh, Kelantan.
» Pendidikan awal:
 Sekolah Kebangsaan Sokor, Tanah Merah
» Pendidikan Menengah:
 Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah, Kelantan.
» Pendidikan lanjutan:
 Institut Pertanian Semenanjung Malaysia
 Sarjana Komunikasi Universiti Putra Malaysia
» Pendidikan agama:
 Pondok Hj. Mat Padang Siam. Tanah Merah
 Pondok Sri Permai, Pasir Puteh.
» Tugas hakiki: Imam Muda Masjid Mukim Permatang Sungkai, Pasir Puteh, Kelantan.

POPULAR

KOSMO! TERKINI