fbpx

Cabaran ulama muda dalam berdakwah

USTAZ ABDUL KHAIR AYOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNTUK menggelar diri sebagai ulama bukanlah sesuatu yang mudah kerana perlu memikul tanggungjawab besar selain sebagai pewaris nabi, ia juga menjadi orang yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat.
Ustaz Abdul Khair Ayob, 53, dari Maahad Tarbiah Islamiyah, Derang, Pokok Sena, Alor Setar, Kedah berkata, peranan ulama muda kini semakin penting apatah lagi dunia kini sudah berhijrah ke zaman millenium terutamanya berkaitan teknologi maklumat.
“ Jadi, ulama muda hari ini walaupun mereka sudah menamatkan pengajian di institusi pengajian, namun mereka perlu terus menimba ilmu kepada ulama yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang.
“Oleh itu mereka perlu berdamping dengan ulama sedia ada serta bergaul dengan masyarakat supaya dapat mendengar nadi keluhan golongan tersebut. Kemudian mereka juga perlu peka dengan isu semasa supaya ulama muda ini tidak ketinggalan dalam arus kepimpinan tanah air,” katanya.
Jelasnya, semasa kebangkitan Islam di zaman Rasulullah SAW, peranan barisan hadapan perkembangan Islam kebanyakannya diterajui golongan muda seperti Saidina Ali, Anas Malik, Abdullah Omar, Abdullah Abbas dan Usaimah Zaid.
Tambahnya, peranan mereka dalam mengembangkan syiar Islam bukan sahaja sanggup berada di barisan hadapan dalam peperangan tetapi turut meletakkan nyawa mereka demi agama.
“Oleh itu ulama muda perlu berani dalam mengetengahkan kebenaran dan bersifat terbuka setiap kali dikritik. Mereka perlu bijak mendekati masyarakat dalam mengembangkan dakwah dan tidak mengambil sikap sembrono apabila mendekati golongan muda.
“Oleh itu, ulama muda ini perlu ada fikrah dan semangat serta idea bagi menarik golongan itu mendekati agama,” katanya.
Katanya, mengadakan program realiti TV untuk mencungkil pendakwah muda adalah antara langkah bijak dalam persaingan dengan golongan artis pada hari ini.
Katanya, ulama muda ini perlu dijadikan ikon kepada generasi muda sebagai contoh yang baik kepada masyarakat. Sebelum ini golongan remaja banyak disogokkan dengan ikon artis yang menjadi pujaan.
“Dalam mengimbangkan hiburan dan dakwah, pihak berkenaan juga perlu meluaskan lagi siaran agama terutamanya mengenai syariat, siasah, muamalat dan sebagainya.
“Ini menunjukkan skop agama kita boleh meluas lagi dan tidak hanya berbicara mengenai solat, syurga dan neraka sahaja,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga ahli Persatuan Ulama Kedah, berkata, fahaman Islam liberal kini ada yang berselindung di sebalik slogan Rahmatan Lil Alamin yang akhirnya membawa kerosakan kepada umat Islam.
“Oleh itu, dakwah pada hari ini bukan sahaja hanya statik di meja kuliah atau di mimbar masjid tetapi fungsi ulama muda yang kini mempunyai asas dalam teknologi maklumat bagi memperhebatkan lagi dakwah dalam media sosial.
“Pada usia muda serta mesra dengan teknologi masa kini, maka sewajarnya ulama muda mengisi ruang maya itu dengan kerja-kerja dakwah terutamanya menyentuh isu-isu masyarakat semasa,” ujarnya.

ABDUL KHAIR AYOB
» Usia: 53
» Pendidikan: Maahad Tarbiah Islamiyah Al Islamiyah, Derang, Pokok Sena, Alor Setar
 Fakulti Hadis, Abu Bakar Islamik Umir, Pakistan.
 Institut Al Falah Al Islami, Damsyik, Syria.
» Jawatan: Timbalan Mudir Maahad Tarbiah Islamiyah, Derang, Pokok Sena.

POPULAR

KOSMO! TERKINI