Batas aurat dalam keluarga - Utusan Malaysia

Batas aurat dalam keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERGAULAN dalam keluarga mengikut tuntutan Islam menjadi benteng penyelamat berlakunya sumbang mahram dan keterlanjuran hubungan intim dalam keluarga sendiri.
Ahli keluarga terutama ibu bapa perlu memahami batasan yang digarapkan oleh agama terutama dari sudut aurat.
“Wahai anak-anak Adam. Sesungguhnya kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan: dan pakaian yang berupa takwa itulah sebaik-baiknya.
Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (Ayat 26 surah Al-A’raaf).
Imam Tua Masjid Ibrahimi Pasir Puteh, Ustaz Mohamad Sabri Ghani berkata, akhir-akhir ini tular perbuatan-perbuatan sumbang di media elektronik dan media cetak melibatkan perilaku-perilaku ‘haruan makan anak’, seks, liwat, gangguan seksual dan pelbagai lagi perlakuan di luar tabie yang berlaku dalam keluarga sendiri.
Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, katanya, berleluasanya isu yang menjijikkan itu seolah-olah perbuatan tersebut sudah menjadi lumrah sehingga tiada lagi perasaan gerun, malu, marah, simpati dan takut dalam kalangan masyarakat masa kini.
“Segala-galanya berpunca daripada pendedahan aurat. Gaya pemakaian yang mendedahkan aurat dan pergaulan tanpa batasan di antara ayah dengan anak, abang dengan adik, cucu dengan atuk adalah faktor pendorong.
“Ini belum dikaitkan dengan anak-anak tiri berlainan bapa yang tinggal sebumbung yang mana perlu menjaga aurat daripada dilihat dan ada batas-batas pergaulan yang perlu dijaga walaupun bersama dengan keluarga sendiri,” katanya baru-baru ini.
Mohamad Sabri berkata, menurut istilah fikah aurat merujuk kepada bahagian tubuh badan yang tidak boleh dilihat, wajib ditutup dan dilindungi daripada pandangan.
Tambahnya, aurat anak perempuan dengan ibu bapanya dan adik beradiknya yang haram untuk dikahwini (mahram) adalah dari leher hingga ke paras buku lali.
Katanya, aurat anak lelaki dengan ibu bapanya dan adik beradiknya mahram adalah daripada pusat hingga ke lutut dan aurat perempuan dengan sepupu-sepupu lelakinya yang halal untuk dikahwini adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan.
“Begitu halnya aurat adik ipar perempuan dengan abang ipar adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan.
“Ada pula tempat-tempat dalam anggota badan yang tidak boleh disentuh oleh orang lain yang mungkin boleh menimbulkan nafsu syahwat,” ujarnya.
Katanya, kejahilan dalam bab batasan pergaulan, menjaga aurat dan maruah diri menyebabkan berlakunya jenayah seumpamanya kerana menganggap muamalat dalam keluarga tidak perlu dipraktikkan.
Menurutnya, pendedahan mengenai batas aurat perlu diperincikan oleh ibu bapa kepada ahli keluarga tanpa perlu rasa malu agar disiplin kehidupan yang digarapkan oleh Islam dapat ditaati.
“Ini termasuk pengasingan tempat tidur antara ibu bapa dan anak-anak yang telah mencapai usia 10 tahun ke atas wajar diberikan perhatian utama.
“Etika sosial Islam yang menekankan penjagaan aurat dan didikan menjaga maruah diri akan menyelamatkan segala malapetaka keterlanjuran yang terkait dengan isu seksual yang berlaku di bawah satu bumbung,” ujarnya.
Mohamad Sabri berkata, Islam mensyariatkan supaya bilik untuk anak gadis diasingkan dengan bilik anak lelaki apabila mereka akil baligh, serta menekankan batas aurat, pergaulan antara ibu bapa dengan anak dan adik beradik berlainan jantina yang sering diabaikan.
Menurutnya, ramai pelaku sumbang mahram sedar bahawa kelakuan sedemikan adalah berdosa besar. Bagaimanapun, disebabkan kelemahan iman menjadikan gelora nafsu mengatasi kewarasan akal. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.