Perjalanan Nabi SAW rentas langit tujuh - Utusan Malaysia

Perjalanan Nabi SAW rentas langit tujuh

Perjalanan mikraj Nabi SAW dari Masjid Aqsa melepasi tujuh lapis langit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hadis-hadis sahih dengan jelas mengisahkan perjalanan Rasulullah SAW yang penuh keajaiban merentas lokasi yang tak terjangkau dek adat kebiasaan. Perjalanan dari Masjid Aqsa ini adalah luar biasa yang sangat sarat dengan pengajaran dan pendidikan yang berguna buat kita semua di samping membuktikan kekuasaan Allah Yang Maha Esa.

MENGENDERAI BUROQ

Buroq adalah kenderaan yang dinaiki oleh Rasulullah SAW sepanjang perjalanan baginda pada malam Israk dan Mikraj.

Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab sahih beliau bahawa Nabi SAW telah bersabda: Saya telah didatangi dengan Buroq. Ia adalah binatang yang putih yang panjang. (Ia) lebih besar daripada keldai dan lebih kecil daripada baghal. Ia meletakkan kakinya di sisi penghujung (pandangan) matanya.

Kelajuan Buroq ini sebagaimana disebutkan oleh guru kami al-Sheikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy adalah kelajuan cahaya. Ini kerana Rasulullah SAW sendiri menjelaskan bahawa Buroq dapat berada di jarak sejauh mata memandang hanya dengan sekelip mata.

Pernah orang bertanya kepada bekas Mufti Mesir, Syeikh Ali bin Jum’ah: “Mengapa Rasulullah SAW tetap mengenderai Buroq semasa peristiwa Israk dan Mikraj sedangkan Allah Maha Berkuasa untuk memindahkan baginda dari Mekah ke langit dengan sekelip mata”?

Lalu Sheikh Ali bin Jum’ah menjelaskan, keyakinan bahawa Allah Maha Berkuasa sama sekali tidak menafikan tindakan seseorang yang mengambil sebab. Maka seorang peladang contohnya hendaklah menanam benih di tanah kerana ini adalah sebab kepada tumbuhnya tanaman tersebut dalam keadaan si petani hendaklah memohon kepada Allah agar menumbuhkan benih tersebut.

Guru kami Sheikh Yusri bin Rushdi al-Hasani berkata, keyakinan bahawa Allah Maha Berkuasa adalah ibadah hati manakala usaha yang dilakukan oleh seorang hamba adalah ibadah jasadi.

PENDUDUK LANGIT ALU-ALUKAN KEDATANGAN NABI SAW

Rasulullah SAW telah menceritakan bahawa apabila baginda dan Saidina Jibril tiba di pintu setiap langit, para malaikat yang menjaga setiap pintu sebelum membuka pintu langit akan bertanya terlebih dahulu siapakah yang tiba.

Maka apabila Saidina Jibril memberitahu yang tiba adalah beliau dan Rasulullah SAW, para penjaga pintu langit bertanya lagi: “Adakah baginda telah diutuskan ke langit”?

Maka apabila Saidina Jibril menjawab bahawa Rasulullah SAW diutuskan ke langit, barulah pintu setiap langit dibuka dan para penjaga setiap pintu terus mengalu-alukan kedatangan baginda.

Menurut Sheikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy, para malaikat yang tinggal di langit sebenarnya sudah mengetahui Rasulullah SAW bakal dibawa melawat ke langit.

Disebabkan bukan semua malaikat pernah bertemu dengan baginda kerana ada malaikat yang diperintahkan oleh Allah untuk terus berada di langit dan tidak diizinkan untuk turun ke bumi.

Maka dengan kehadiran Rasulullah SAW di langit pada malam Mikraj, seluruh para malaikat ketika itu dikurniakan kemuliaan dapat menatap wajah Nabi SAW yang sangat dirindui.

KEDATANGAN NABI DITUNGGU-TUNGGU

Sepanjang perjalanan ke langit, Rasulullah SAW telah disapa dan dialu-alukan oleh beberapa rasul di setiap langit yang dilalui oleh baginda.

Baginda bertemu dengan Nabi Adam a.s di langit yang pertama. Nabi Muhammad SAW di langit yang kedua bertemu pula dengan Nabi Yahya dan Nabi Isa a.s.

Sewaktu tiba di langit yang ketiga, Rasulullah SAW bertemu dengan Nabi Yusuf yang telah dianugerahkan oleh Allah separuh daripada keindahan. Sewaktu tiba di langit yang keempat, Nabi Muhammad SAW telah menemui Nabi Idris a.s.

Sewaktu tiba di langit yang kelima, Rasulullah bertemu pula Nabi Harun a.s. Apabila Rasulullah SAW tiba di langit yang keenam, baginda telah menemui Nabi Musa a.s. Setelah Rasulullah SAW tiba di langit yang ketujuh, baginda menemui Nabi Ibrahim a.s.

Setiap para nabi yang ditemui oleh Rasulullah SAW tersebut telah mengalu-alukan kedatangan baginda dengan ucapan mesra yang berbunyi: “Selamat datang kepada saudara yang soleh dan nabi yang soleh”.

Bagaimanapun, Nabi Adam dan Nabi Ibrahim memberikan ucapan selamat datang dengan aluan yang berbunyi: “Selamat datang kepada anak yang soleh dan nabi yang soleh” kerana Rasulullah SAW adalah daripada zuriat keturunan Nabi Ibrahim dan Nabi Adam a.s.

Ucapan kemesraan daripada setiap para nabi yang ditemui oleh Rasulullah SAW sepanjang menaiki ketujuh-tujuh langit menunjukkan betapa mulianya Nabi SAW.

Baginda bukan sahaja dimuliakan dengan perhimpunan seluruh nabi dan rasul di bumi al-Quds bahkan baginda turut diagungkan dan dimuliakan oleh beberapa para rasul ternama di setiap langit yang dilalui oleh baginda.

Menurut al-Imam al-Nawawiyy, sikap para nabi tersebut yang mengalu-alukan kedatangan Rasulullah SAW menunjukkan bahawa kita disunatkan untuk bertemu dengan orang soleh dengan wajah yang manis, ucapan alu-aluan, bicara yang bagus dan doa buat mereka.

Sikap para rasul tersebut juga menunjukkan bahawa tidak salah kalau kita memuji seseorang secara berhadapan sekiranya yang dipuji tidak terkesan dengan pujian tersebut.

BUKAN PETANDA ALLAH DI LANGIT

Setelah Rasulullah SAW melepasi langit yang ketujuh, baginda telah berada di satu lokasi khusus yang menjadi tempat bicara dan munajat antara baginda dengan Allah Rabbul Jalil.

Namun ini tidak menunjukkan bahawa Allah Yang Maha Suci daripada sifat-sifat makhluk berada di lokasi tersebut. Menurut akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah, langit dan sebarang lokasi yang lain adalah makhluk ciptaan Allah yang sebelum diciptakan adalah tidak wujud sedangkan Allah telah wujud semenjak azali lagi.

Maka sebagaimana Allah sebelum wujudnya sebarang tempat adalah wujud tanpa bertempat, begitu jugalah Allah SWT selepas Allah menciptakan langit, bumi dan sebarang lokasi yang lain.

Sheikh Yusri bin Rushdi menjelaskan, semasa Rasulullah SAW melihat Allah dan berbicara dengan-Nya di lokasi khusus tersebut, Rasulullah SAW sahajalah yang bertempat kerana makhluk memerlukan tempat sedangkan Allah SWT pula suci daripada bertempat.

  • PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN