
Al-Quran adalah firman Allah SWT sebagai pedoman dan mukjizat yang kekal untuk umat. Terkandung di dalamnya ilmu pengetahuan dan petunjuk yang menerangkan keperluan manusia dari seluruh aspek kehidupan.
Dalam hidup berkeluarga, masalah yang sering dihadapi ialah bagaimana mendidik anak remaja. Daripada 114 surah yang terkandung di dalam Al-Quran terdapat surah Luqman yang menerangkan kaedah mendidik anak.
Firman Allah yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. ( Luqman: 13)
Ayat ini menerangkan kewajipan orang tua dalam mendidik anak pada umumnya, dan remaja secara khusus. Walaupun dalam ayat ini Luqman sebagai ayah bukan bererti ibu terkecuali, akan tetapi kedua-duanya berkewajipan.
Mengajarkan erti iman kepada Allah pada anak-anak adalah penting dalam pertumbuhan anak agar terpelihara dari fahaman ateis (tidak percaya akan kewujudan Tuhan).
Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci) iaitu bersedia menerima kebenaran. Oleh sebab itu, ibu bapa diperintah untuk memelihara fitrah ini dengan memperkenalkan mereka kepada Allah SWT.
Antara punca ateisme dalam kalangan remaja ialah kurangnya didikan agama, sehingga remaja terdedah dengan penyebaran fahaman melalui media sosial yang bebas mengkritik dan mempersoal ajaran Islam dengan menerbitkan idea-idea liberalisme dan pluralisme agama. Ini akhirnya menyebabkan kepada pendustaan terhadap agama.
Ada sebahagian anak-anak muda yang disebut generasi Y mempunyai hubungan kompleks dengan agama, memandang sinis terhadap segala perkara yang menggunakan imej agama disebabkan kekeliruan dalam memahami agama.
Kekeliruan ini berpunca daripada ketiadaan pendidikan agama di rumah dan lingkungan yang tidak sihat khususnya pengaruh media sosial.
Perlu diketahui bahawa mengajarkan ilmu agama untuk anak bukan tanggungjawab agamawan atau ustaz sahaja. Sebaliknya ia menjadi tanggungjawab ibu bapa semenjak anak-anak di awal usia.
Seterusnya Luqman menasihati anaknya dengan berkata: Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi. (Luqman: 16)
Ayat ini menerangkan akan pentingnya menanamkan rasa tanggungjawab diri sendiri kepada anak terhadap Allah SWT atas perbuatannya dan tidak bersifat berpura-pura (hipokrit) pada kelakuan.
Adalah satu kekeliruan apabila orang tua menganggap kebaikan pada anaknya hanya ketika berada di hadapannya. Ini kerana terkadang anak bersikap baik bila di hadapan orang tuanya kerana segan atau takut, namun bila bersendirian atau berada di luar pengetahuan mereka justeru mereka bertukar sikap yang tidak baik.
Disebutkan dalam peristiwa Sheikh Abdul Qadir Al-Jaylani berhasrat belajar di negeri Baghdad. Ibunya berpesan “Hendaklah engkau berkata jujur dan jangan berdusta”. Beliau pergi ke Baghdad bersama para pedagang.
Di tengah-tengah perjalanan datang sekumpulan perompak merampas harta para pedagang tadi. Salah seorang dari mereka menanyakan kepada Sheikh Abdul Qadir adakah beliau membawa wang, lalu beliau menjawab: “Ada”.
Ditanya “berapa yang kamu bawa?” Beliau menjawab 20 dinar. Di mana kamu simpan duit tersebut? Dijawab dengan jujur: “Di dalam poket baju yang dijahit oleh ibuku”.
Ketua perompak yang hairan kerana melihatnya tenang dan berkata jujur bertanya lagi: “Mengapa kamu menjawabnya dengan jujur?” Al-Jaylani menjawab: “Saya dipesan oleh ibu saya untuk berkata jujur”. Perompak itu pun berkata: “Bagaimana ibu kamu akan tahu kalau kamu berdusta?” Al-Jaylani menjawab: “Saat ibu saya berpesan kepada saya Allah menjadi saksi”.
Lalu ketua perompak berkata: “Anak remaja ini taat pada ibunya walaupun di luar pemerhatiannya, sementara kami (para perompak) sudah sekian lama merompak dan tidak merasa takut diperhatikan oleh Allah!” Akhirnya para perompak tadi bertaubat kepada Allah, lalu mengembalikan seluruh harta yang dirampas daripada para pedagang tadi.
Seterusnya Luqman menasihati anaknya: Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. (Luqman: 17)
Inti pati daripada nasihat ini adalah membangun sahsiah remaja dengan solat dan memperkuat hubungannya dengan Allah dan istiqamah dalam melakukan ketaatan dan menjaga akhlak serta menghindari dari maksiat.
Tidak hanya itu, bahkan ia dapat mempengaruhi remaja lain untuk berbuat kebaikan dan menjauhkan diri dari kemungkaran.
Krisis keruntuhan akhlak remaja lebih berkait dengan permasalahan sahsiah atau jati diri sebagai muslim sejati, manakala ibadah solat sering dikaitkan dengan faktor pembentukan sahsiah remaja.
Oleh sebab itu, Rasulullah mengingatkan agar orang tua memerintahkan anaknya untuk melakukan solat pada usia tujuh tahun agar terbentuk sahsiah seorang remaja bermula di usia tersebut.
Seorang remaja yang menjaga amalan solat sering dikaitkan memiliki sahsiah mulia.
Sebaliknya mereka yang cuai dengan pelaksanaan solat, ramai dari mereka yang jiwanya kosong dari nilai-nilai kerohanian sehingga mereka terjerumus kepada maksiat seperti mengambil dadah, seks bebas atau jenayah-jenayah yang lain.
Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah










