MTVAB seimbang agama dan vokasional - Utusan Malaysia

MTVAB seimbang agama dan vokasional

PARA pelajar maahad tahfiz menjalani pengajian seperti biasa dengan prosedur operasi standard yang ketat sepanjang PKP di Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bestari di Wang Tepus, Jitra, Kubang Pasu. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAAHAD tahfiz yang berfungsi sebagai institusi pendidikan Islam dalam membangunkan karakter generasi muda tidak dapat disangkal lagi. Ramai ibu bapa menyerahkan anak-anak mereka untuk menuntut ilmu agama dan belajar mengetengahkan akhlak mulia.

Dengan reputasi tersebut bukan sesuatu menghairankan jika institusi tahfiz terus menjadi perhatian.

Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bestari (MTVAB) yang beribu pejabat di Puchong, Selangor adalah antara yang meraih perhatian ibu bapa.

Sesuatu menarik tentang MTVAB yang ditubuhkan pada 2009 oleh bekas pekerja sektor minyak dan gas, Mohd. Asri Yunus adalah ia adalah maahad tahfiz pertama memperkenalkan kursus latihan kemahiran vokasional.

Perkembangan itu membuktikan pendidikan agama di maahad tahfiz tidak mengalami kemunduran. Sebaliknya terus berkembang dengan fokus yang lebih meluas demi kelangsungan anak-anak lulusannya dalam dunia pekerjaan yang kian mencabar.

Sehingga kini, ada tujuh cawangan MTVAB di seluruh negara termasuk cawangan Kedah di Wang Tepus, Kubang Pasu yang ditubuhkan pada 2015. Ia bermula daripada sebidang tanah wakaf seorang dermawan negeri ini.

MOHD. ASRI YUNUS

Seperti cawangan lain, MTVAB Kedah memfokuskan kepada ilmu agama seperti hafazan, tauhid dan fikah serta kemahiran vokasional.

Maahad tahfiz ini cukup terkenal kerana sudah menghasilkan ramai lulusan yang bukan sahaja berkualiti dari segi ilmu agama tetapi juga pendidikan yang mendepani kemahiran vokasional.

Pendidikan bersifat strategi dual track iaitu yang sudah lama dipraktikkan di Eropah yang diterapkan di sini bertujuan menghasilkan huffaz yang berdaya saing.

Menurut Mohd. Asri yang juga Pengerusi MTVAB, ketika ini, MTVAB Kedah menyelenggara program vokasional seperti kulinari, jahitan dan automotif dalam mengasah minat serta bakat penghuninya yang terdiri daripada pelajar lelaki berusia antara 13 hingga 27 tahun.

Menurutnya, sepanjang empat tahun pengajian, pelajar perlu menguasai dua kemahiran tersebut.

“Cawangan Kedah ditubuhkan untuk mengembangkan operasi MTVAB setelah seorang dermawan mewakafkan sebidang tanah di sini.

“Di sini kami menempatkan pelajar lelaki sahaja yang akan belajar menghafal al-Quran dan ilmu agama lain serta memahirkan diri dalam bidang vokasional selama empat tahun.

“Pada tahun kelima mereka akan berpindah ke Selangor untuk didedahkan dengan dunia pekerjaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di MTVAB cawangan Kedah di Wang Tepus, Kubang Pasu baru-baru ini.

Setakat ini, ada kira-kira 30 penghuni di situ yang datang dari seluruh negara. Dalam pada itu, pelajar juga disyaratkan menjalani latihan dalam kerja setiap tahun dalam usaha memantapkan kemahiran mereka.

Mohd. Asri berkata, setiap tahun pihaknya akan mencari peluang kepada pelajar untuk bekerja dalam bidang kemahiran mereka daripada syarikat automotif, hotel dan katering.

“Ada pelajar yang berusia 17 tahun sudah boleh berdikari dan ini amat menggembirakan ibu bapa mereka. Setakat ini 23 lulusan maahad tahfiz ini berjaya menempatkan diri mereka dalam pelbagai bidang pekerjaan.

“Namun apa yang penting selain ilmu kemahiran vokasional mereka juga mahir ilmu agama dan seorang hafiz. Itu yang kita mahukan,” katanya.

Menurut Mohd. Asri, proses pendidikan di maahad tahfiz tersebut tidak hanya menitikberatkan pembelajaran agama dan vokasional itu malah memberi pengajaran berkaitan disiplin, karakter dan keterampilan hidup.

“Anak-anak muda yang dihantar ke sini datang daripada pelbagai latar belakang termasuk ada dalam kalangan mereka mempunyai masalah sosial yang teruk. Ini adalah cabaran MTVAB, “ katanya.

Menurut Mohd. Asri, pihaknya bercadang membuka sebuah lagi MTVAB cawangan Kedah khusus untuk remaja perempuan pula.

“Pembangunan maahad tahfiz ini dijanakan sebahagian besar oleh derma dan wakaf seperti MTVAB di Wang Tepus ini,” tambahnya.

Dalam pada itu menurut mudir maahad tahfiz itu, Megat Saiful Adam Hazimi, penghuni seawal usia 13 tahun didedahkan dengan disiplin yang tinggi untuk membolehkan mereka berdikari.

“Selain pembelajaran di kelas termasuk menghafal al-Quran mereka akan menyiapkan urusan seharian sendiri. Ini termasuk menyediakan makan minum. Ia bukan sesuatu yang susah kerana mereka memasuki kelas kulinari.

“Di sini pembelajaran adalah 50 peratus agama dan 50 peratus vokasional,” katanya.

 

Pelajar Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bestari (MTVAB) mengikuti kelas automotif yang dikendalikan tenaga pengajar, Muhammad Fadli Abd. Khodir, 43, di Wang Tepus, Jitra baru-baru ini.

Menyentuh tentang penyelenggaraan pusat tahfiz tersebut ketika pandemik Covid-19 kata beliau, pengurusan menetapkan syarat yang ketat untuk semua penghuni.

“Semua penghuni tidak dibenarkan keluar apabila mereka masuk sehingga cuti. Penghuni baharu akan menjalani kuarantin terlebih dahulu sebelum dibenarkan ke kelas,” katanya.

Tidak melupakan dalam hal berkaitan akademik, katanya, maahad tahfiz berkenaan turut menggalakkan penghuninya menduduki peperiksaan awam seperti pelajar sekolah lain.

Maklumat lanjut tentang MTVAB boleh diperoleh dengan melayari laman web, mtvab.com.my.

INGIN JADI HAFIZ BERKEMAHIRAN

KETIKA kebanyakan remaja seusia mereka barangkali berpeleseran entah ke mana-mana, penghuni Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari (MTVAB) Kedah ini sudah didedahkan dengan pelbagai ilmu agama dan vokasional.

Malah lebih penting mereka diajar untuk berdikari pada usia semuda memasuki akil baligh.

Mohd. Syahmie Hakim Mohd. Jefri, 17, dari Subang, Selangor, yang bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia tahun ini, menghuni di pusat tahfiz itu adalah sangat menyeronokkan.

MOHD. SYAHMIE HAKIM MOHD. JEFRI

“Saya ingin keluarga berbangga dengan saya selain jadi hafiz, saya juga ada kemahiran. Saya belajar banyak perkara selain ilmu agama termasuk juga kemahiran vokasional. Kelas kesukaan saya adalah kulinari.

“Setelah tamat pengajian kelak saya berhasrat menceburi bidang ini,” katanya yang sudah dua tahun menghuni pusat tersebut.

Menurutnya yang sudah menghafal tujuh juzuk al-Quran, dia memilih untuk belajar di situ kerana pengajian yang turut menekan aspek kemahiran vokasional.

Ahmad Naseem Amsyar Ahmad Syafri, 15, dari Kubang Pasu, Kedah berkata, setelah tiga tahun menghuni di situ dia bukan sahaja mampu menghafal sembilan juzuk al-Quran tetapi kemahiran dalam automotif.

AHMAD NASEEM AMYSAR AHMAD SYAFRI

“Automotif adalah kesukaan saya dan saya berharap dapat menceburi bidang ini nanti,” katanya.

Bagi Mohd. Anaqi Abdul Majid, 16, yang baru sebulan menghuni di situ, dia membuat keputusan untuk belajar di MTVAB kerana tertarik dengan subjek kemahiran vokasional yang ditawarkan.

“Sebelum ini saya belajar di maahad tahfiz lain. Dengan kemahiran ini saya harap dapat berdikari,” katanya yang sudah menghafal 14 juzuk al-Quran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×