Ramai ulama tafsir pada kurun ke-14 hijrah yang mempunyai kefahaman tentang pembaharuan mendapat pengaruh daripada pemikiran Sheikh Muhammad Abduh.
Jika dilihat dalam aspek menghasilkan kitab tafsir boleh dikatakan kebanyakan kitab tafsir selepas era Muhammad Abduh mempunyai aliran pemikiran dan kesan perubahan tersebut.
Kitab tafsir yang dihasilkan oleh Sheikh al-Maraghi, Sheikh Ibn Asyur, Rashid Redha dan begitu juga dengan Sheikh Jamaluddin al-Qasimi turut menerima pengaruh daripada Sheikh Muhammad Abduh. Walaupun begitu setiap tafsir tersebut mempunyai kelebihan dan kekuatan yang berbeza antara satu dengan yang lain.
Muhammad Jamaluddin al-Qasimi dilahirkan pada 1866 di bumi Syam. Beliau berketurunan Husin Ibn Ali r.a. Seorang yang alim dan tokoh ulama bumi Syam. Muhamad Rashid Redha berkata:
“Beliau adalah seorang yang amat alim, amat jarang ilmu setaranya, membawa idea pembaharuan dalam kaedah ilmu, penghidup sunnah dengan ilmu, amal dan pengajaran, menghasilkan karya dan menggabungkan petunjuk agama dengan kemajuan yang diperlukan untuk semasa.”
Walaupun usianya hanya 48 tahun namun beliau meninggalkan satu legasi ilmu. Banyak perkara yang baik dilakukan dan dapatan ilmu yang berjaya diketengahkan demi menghidupkan amalan para ulama terdahulu semisal Imam Nawawi.
Dalam usia yang sedikit tersebut ia menghasilkan kitab yang terus menjadi rujukan dan sumber kepada pengkajian oleh ulama mutakhir.
Seorang alim pada zamannya iaitu Muhammad Bahjat al-Baitar berkata: “Satu kecanggihan Sheikh Jamaluddin al-Qasimi ialah meninggalkan karya penulisan hampir 100 judul kitab atau lebih sedangkan usianya tidak sampai 50 tahun”.
Perkara ini tidak mungkin tercapai tanpa usaha yang kuat, berterusan mengkaji dan menulis. Sudah tentu penulisnya Sheikh Jamaluddin al-Qasim amat alim dan rajin merujuk kepada kitab-kitab induk dalam ilmu tafsir, fiqh, lughah, hadis, asbab nuzul dan lain-lain.
Muhammad Bahjat Baitar menyatakan lagi, “amat nadir sekali kamu lihat satu kitab dalam maktabahnya yang amat luas itu sama ada kitab yang dicetak atau manuskrip yang tidak ada ulasan atau pembetulan dengan tulisan tangannya”.
Ilmunya yang luas dan kajiannya mendapat kepercayaan kerajaan ketika itu yang melantiknya sebagai pemberi kuliah di serata bumi Syam. Beliau menjalankan tugas tersebut selama empat tahun.
Sepanjang zaman ramai ulama menghadapi dugaan dan cabaran dalam menjalankan tugas dakwah. Tidak terkecuali Sheikh Jamaluddin al-Qasimi, beliau berhadapan rasa tidak puas hati penghasad dan pendengki.
Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk berada di rumah sahaja melakukan kajian, penulisan dan pengajaran secara khas atau umum dalam subjek tafsir, ulum, syariah dan adab.
Sheikh al-Qasimi amat aktif dalam penulisan dan penerbitan artikel sama ada di akhbar atau majalah pada ketika itu. Kaedah penulisannya segar dan membawa ke arah memperbaiki dalam beramal dengan arahan agama.
Usahanya berterusan sehinggalah beliau meninggal dunia di kota Damsyik iaitu tempat kelahirannya. Namun namanya terus kekal hasil peninggalan karyanya. Antara yang terpenting adalah Dalail Tauhid, Diwan Khutab, Al-Fatwa fi Islam dan Mahasin Takwil.

al-Qasimi masih diulang cetak sehingga hari ini.
MAHASIN TAKWIL
Tafsir Mahasin Takwil atau Tafsir al-Qasimi ini masih diulang cetak sehingga hari ini dengan pelbagai cetakan sama ada 17 jilid atau 11 jilid.
Seorang tokoh ulama iaitu Syakib Arsalan memberi satu taujih kepada generasi muda supaya bersegera melakukan kajian dan rujukan terhadap Mahasin Takwil.
Beliau berkata: “Sesungguhnya aku mewasiatkan kepada generasi muda umat Islam yang mahukan kefahaman terhadap perundangan syarak dengan fahaman yang menyenangkan dhamir hatinya hendaklah mendahulukan bacaan terhadap karya penulisan al-Marhum Sheikh Jamaluddin al-Qasimi”.
Di permulaan Mahasin Takwil, Sheikh al-Qasimi memberitahu, kaedah penulisannya yang diberi nama ‘Permulaan yang bahaya dalam kaedah tafsir’.
Kaedah utama yang diguna pakai ialah: Penaqalan daripada Nabi SAW dengan berhati-hati terhadap riwayat daif dan mauduk. Mengambil pendapat sahabat r.a kerana pentasiran mereka adalah pada kedudukan marfu’ kepada Nabi SAW.
Mengambil kira struktur bahasa Arab yang tepat di mana al-Quran diturunkan melalui bahasa Arab. Demikian juga tafsir melalui kehendak kalam yang mana penafsirnya perlu kepada kefahaman yang luas sebagaimana doa Nabi SAW kepada Ibn Abbas r.a: Ya Allah fahamkan dia pada urusan agama dan alimkannya dalam ilmu tafsir.
Ali ibn Abi Talib juga mengambil perhatian dalam isu kefahaman ayat ini dengan berkata, “… kecuali kefahaman yang dianugerahkan kepada sesiapa tentang al-Quran.”
Dari sinilah sebenarnya punca khilaf dalam kalangan para sahabat r.a dalam memberi makna ayat. Setiap mereka berusaha memberi tafsiran sehabis baik.
Perlu diingat, tidak harus menafsir al-Quran mengikut pandangan semata-mata atau ijtihad tanpa asal kerana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu ikut sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.” (al-Isra: 36) dan firman Allah SWT: Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu melakukan perbuatan yang mungkar dan perbuatan yang keji, dan dia juga menyuruh kamu mengatakan tentang Allah apa yang kamu tidak tahu. (al-Baqarah: 169).
Sheikh al-Qasimi menyatakan, pandangan semata-mata terhadap ayat al-Quran tanpa ilmu dan kajian adalah dicela. Tetapi jika berusaha untuk memahami mengikut disiplin yang betul berasas kepada bukti dan dalil maka ia diharuskan.
Sheikh al-Qasimi juga banyak merujuk kepada pendapat Imam Syatibiy iaitu penulis kitab al-Muwafaqat dan beberapa ulama lain.
Ketokohan Sheikh Jamaluddin al-Qasimi mendapat penyaksian daripada tiga tokoh ulama ketika itu iaitu Sheikh Muhammad Bahjat Baitar tokoh ulama Syam yang unggul, Muhammad Rashid Redha tokoh reformis dan Sheikh Syakib Arsalan iaitu tokoh jihad yang melawan segala konspirasi barat dan zionis terhadap negara umat Islam.
Akhirnya rebutlah peluang dengan anugerah usia yang sedikit ini dengan melakukan perkara yang bermanfaat yang boleh menjadikan saham yang berterusan mengalir kepada kita walaupun sudah meninggal dunia.
- PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.










